#42 Pengalaman bercakap dengan Tuhan

Saya nak kongsi sebuah cerita. Mohon baca sampai habis.


Ada seorang lelaki, dia nak pergi kerja. Semasa dalam kereta, dia berkata dalam hati, "Ya Allah, selamatkanlah perjalanan aku. Aku dah lambat ni".

Dia memandu dengan kelajuan sederhana dan berhati-hati. Bila sampai di tempat letak kereta, dia cakap dalam hati, "Ya Allah, ampunilah aku". Sekadar ucapan rawak.

Dia angkat beg dan mula berjalan. Sambil melangkah, hatinya berkata, "Ya Allah, janganlah ada benda yang tak elok berlaku harini".

Dalam perjalanan ke pejabat, dia bersisih dengan ramai orang. Semua orang bergegas untuk 'punch card'. Tiba-tiba dia berpapasan dengan seorang amoi cantik yang memakai skirt paras lutut. Hatinya pun berkata, "Astaghfirullahal azim. Adoi Ya Allah. Pagi-pagi dah ternampak perempuan seksi".

Dia cepat-cepat melepasi perempuan seksi tadi. Walaupun ada keinginan untuk memandang, tapi dia terasa berdosa dan takut kepada Allah.

Di pejabat, dia mula bekerja. Dia bekerja, bekerja dan terus bekerja sehingga dia terasa penat. Dia duduk bersandar dan mencapai botol air mineralnya. Dia berkata dalam hati, "Aduh Ya Allah. Penatnya. Banyak lagi kerja tak selesai ni".

Kemudian mulutnya pun meneguk air.

(Tamat cerita).

Mungkin kita tak perasan bahawa salah satu perbezaan antara Tuhan kita dengan Tuhan agama lain ialah Tuhan mereka merupakan patung-patung yang disembah di tempat-tempat tertentu seperti kuil, gereja, dan tokong.

Tapi Tuhan kita tidak duduk di mana-mana tempat. Tuhan kita wujud tanpa memerlukan tempat. Dia boleh nampak kita di mana-mana kita berada dan Dia boleh dengar kata-kata kita di mana-mana pun kita berbisik. Bahkan Dia boleh baca hati kita, sekalipun kita tidak mengingati-Nya.

Tuhan tak perlu kepada ruang. Masjid besar atau surau usang, itu ruang untuk manusia bukan untuk Tuhan.

Tuhan tak perlukan masa. Subuh, zuhur, isyak, itu semuanya masa untuk manusia. Siang kita bekerja malam kita tidur.

Tuhan sentiasa ada. Bila-bila masa, di mana saja.

Tak seperti orang lain yang perlu ke gereja atau tokong untuk berdoa, kita boleh berdoa dalam setiap keadaan. Orang kata doa itu perbuatan mulut. Saya kata doa itu perbuatan hati. Doa yang sebenar ialah apa yang kita cakap dan minta dalam hati. Bercakap dengan hati, dengan Ilahi.

Kalau kita banyak bercakap dengan manusia, manusia pun boleh jemu. Silap-silap boleh kena marah kalau tersalah cakap. Tetapi Tuhan tidak begitu. Tuhan tidak jemu dan tidak akan bosan dengan kita.

Kalau kita banyak meminta tolong manusia, manusia akan marah. Mula-mula memang tolong tapi akhirnya akan lari. Tetapi Tuhan tidak begitu. Makin banyak kita minta, makin sayang Tuhan pada kita. Makin banyak kita berharap pada-Nya, makin dekat Dia dengan kita.

Sebab itulah HATI ini sangat penting. Kerana hubungan antara manusia dengan Tuhan ialah hubungan hati. Kerana itu sangat penting bagi kita untuk menjaga kesucian hati. Kerana HATI ialah mulut yang tidak berlidah. Cakap-cakapnya akan sampai terus kepada Tuhan.

Itulah zikir dan doa, zat dan nutrisi bagi agama. Supaya bila kita sudah terbiasa bercakap dengan Tuhan, iman kita makin sihat. Agama kita makin kuat. Lalu kita akan nampak yang Tuhan itu hebat.

Jangan sembang lebat.

Tapi bisu di depan Tuhan.
Previous
Next Post »
0 Komentar

Saya boleh dihubungi di emel iqbalsyarie@gmail.com atau 013-6852443