Haza min fadhli rabbi.

Haza min fadhli rabbi.
Lama saya tak update blog. Bukan sebab sibuk, tapi lebih kepada malas. Tak ada mood, dan tak ada idea.
Lebih-lebih lagi, saya baru sahaja berpindah ke rumah sewa baru. Jadi malas nak keluarkan laptop daripada dalam kotak, pasang atas meja. 

Alhamdulillah. Sebenarnya sudah 2 minggu saya mendapat kerja baharu. Kawan-kawan facebook saya mesti tahulah sebab kasihan mereka, mesti selalu naik atas notification mereka cerita pasal kerja saya. Haha.

Masya-Allah Tabarakallah.

Sungguh, terlalu banyak sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Secara umumnya, kepada kita. Benarlah kata Allah, kalau kita mahu mengira nikmat Allah satu per satu, nescaya kita takkan mampu. Dan kalau daun-daun kering atas muka bumi ini hendak dijadikan pena dan lautan luas pula dijadikan dakwat, pun tetap takkan mampu kita menulis semua nikmat itu sekalipun ditambah dengan dua atau tiga lagi lautan dakwat.

Sebab itulah Allah memberikan amaran,

Jika kita (telah) bersyukur, maka akan ditambah segala nikmat itu. Tetapi jika kita tidak bersyukur (kufur), maka azab Allah amatlah pedih.

Allah tidak menyatakan bahawa jika kita tidak syukur, nikmat itu akan ditarik. Dalam beberapa kes, makin seseorang itu kufur, bongkak, dan makin tidak bersyukur, makin banyak pula nikmat yang Allah beri kepada dia.

Ia dah jadi terbalik. Makin jahat, makin banyak nikmat. Inilah namanya Istidraj.

Nauzubillah.

Istidraj ialah hukuman mati dan siksaan yang ngeri. Wajib kita berjaga-jaga dan mohon perlindungan dengan Allah agar kita tidak diuji atau dihinakan dengan istidraj ini.

Hari ini, cuba kita bermuhasabah. Kita lihat diri kita. Apa nikmat yang Allah beri, dan berapa pula daripada nikmat-nikmat itu telah kita syukuri.

Untuk bersyukur, tidak cukup dengan sekadar lidah kita menyebut kalimah alhamdulillah. Kesyukuran juga perlu dibuktikan dengan amalan dan hati kita. Bagaimana?

Iaitu dengan kita menggunakan segala nikmat yang Allah beri itu di jalan yang Allah redhai. Kita gunakan nikmat Allah itu untuk mendekatkan diri kita kepada Allah.

Contohnya, nikmat pekerjaan.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa memiliki pekerjaan juga ialah sebuah nikmat yang besar. Hari ini, berapa juta orang yang menganggur? Keluar-keluar universiti, tak ada pekerjaan menunggu. Jika ada satu kekosongan, yang memintanya seribu. Maka yang selebihnya hanya bergelap mata dan kembali mencari.

Kalau dapat kerja pula, gaji yang diberikan pula tak seberapa. Gaji yang sedikit itu pula perlu perlu digunakan untuk membayar hutang sini-sana, termasuklah hutang pendidikan dan sebagainya.

Kerana itu saya cukup menyampah dengan segelintir pekerja yang sudah diberikan pekerjaan, tetapi bekerja secara lewah. Masuk kerja lambat, balik kerja awal. Masa bekerja, dia berborak. Lebih buruk, ber-Facebook. Ada pula yang hilang sifat amanah, dengan membuat claim palsu.

Dan seumpamanya.

Jika begitulah kualiti kerja kita, maka berhentilah. Perbuatan kita mengabaikan amanah sebagai pekerja ialah sebuah bentuk kezaliman kita kepada orang lain kerana seolah-olah, di ketika ada orang yang lebih berhak untuk duduk di kerusi kita, kita telah merampasnya daripada mereka!

Ada juga yang tak bersyukur punyai pasangan hidup. Natijahnya, berkahwin tak lama sudah berperang. Mula-mula hanya perang dingin kemudian melarat sampai akhirnya bercerai berai. 

Semuanya kerana hati kita tidak pandai bersyukur. Bersyukurlah kerana Allah berikan kita seorang teman dalam hijrah kita. Perkahwinan ini tujuannya ialah supaya diri seseorang individu itu makin dekat dengan Allah, bukannya makin menjauhkan.

Amat malang sekali seseorang yang jika dahulunya, jauh dengan Allah tetapi selepas berkahwin, jaraknya dengan Allah bertambah jauh.

Bercakap soal nikah, saya mohon kalian doakan saya kerana saya juga menyimpan hajat yang besar untuk menyunting seorang bidadari yang sejujurnya, terlalu tidak layak untuk diri ini untuk menghampiri sekalipun selangkah. Insya-Allah, jika maharnya ialah ketaqwaan, maka diri ini telahpun diserahkan untuk pengabdian kepada Khaliq.

Ok baik. Tinggalkan bab nikah.

Saya selalu bertemu dengan orang-orang yang rabun daripada melihat nikmat Allah keatas dirinya. Rabun dekat, kerana matanya cerah sahaja untuk melihat nikmat Allah kepada orang lain.

Contohnya, apabila mulutnya mengungkap, "Untunglah dia menang hadiah cabutan bertuah", sedangkan dalam masa yang sama, dia sedang menikmati gaji yang besar di posisinya.

Padahal 'cabutan bertuah' yang dinikmati oleh orang itu ialah sebenarnya satu solusi daripada Allah atas doanya agar diberikan kewangan untuk dia ke Mekah dan Madinah.

Dalam bab rezeki dan pemberian, usah kita memandang orang lain. Pandanglah kepada diri sendiri. 

Di saat kita rasakan orang lain lebih bernasib baik, kita kena ingat bahawa kita sebenarnya lebih bernasib baik.

Kerana Allah ada bermacam-macam cara untuk menjaga hamba-Nya, dan Allah ada bermacam-macam cara juga untuk menyisihkan hamba-Nya.

Dahulu, saya pernah berjumpa seorang lelaki yang tempang yang terlalu rajin solat berjemaah. Rupa-rupanya, dahulu dia seorang mat rempit yang sangat jauh dengan islam. Allah 'rezekikan' dia dengan kemalangan yang menghilangkan sebelah kakinya, maka dia segera bertaubat dan kembali kepada Allah.

Dengan harga 'sebelah kaki', dia kembali mendapatkan Islam. Bukan itu sahaja, dapat pula pekerjaan dan isteri serta anak yang baik.

Kita yang tidak kudung pula bagaimana?

Ada masa ke masjid untuk solat berjemaah?

Ada pekerjaan yang halal, atau ada anak-isteri yang solehah dan soleh?

 Ada pula orang yang melewati angka 30 tetapi belum bertemu jodoh. Di saat kerisauannya memuncak, dia sebenarnya sedang dijaga oleh Allah daripada lelaki-lelaki jahat. Dirinya pun tidak tahu kemungkinan jika dia berkahwin, suaminya kaki dadah, kaki mabuk, atau kaki perempuan.

Akhirnya bahagia yang dicari tidak ditemui, duka pula yang menjadi teman abadi.

Oleh itu belajarlah bersyukur. Segala nikmat yang Allah berikan ini ada harganya sekalipun kita mendapatnya dengan percuma. Mata yang celik, mulut yang bersuara, kaki tangan yang merasa, semua itu nikmat daripada Allah.

Gunakan deria ini untuk ketaatan, bukan untuk bermaksiat. 

Paling utama, bukan untuk memberi mudharat kepada orang.

Kerana syukur kita bukanlah untuk kepentingan Allah, tetapi syukur kita ialah untuk kita sedar siapa diri kita sebenarnya.

Tanpa Allah, apakah kita?
  

Kita sembah Tuhan yang sama, bro!

[kredit]
Ada satu persoalan yang berlegar-legar dalam ruang fikiran saya.

Agak-agaknya, boleh tak umat islam ini akhirnya bersatu?

Jika mengikutkan pada hadis, disebutkan bahawa umat islam akan berpecah sampai kepada 73 golongan yang mana hanya satu sahaja akan ke syurga iaitu ahli sunnah wal jamaah. Sedangkan yang lain ialah ahli neraka.

Maka ramai yang ambil hadis ini untuk mereka claim diri mereka sebagai pejuang ahli sunnah sejati dan mengkafirkan serta me-neraka-kan golongan yang tak sehaluan dan tak sependapat dengan mereka.

Wallahu'alam. Saya tak berani nak komen lebih-lebih kerana saya cuma orang awam. Orang biasa-biasa. Ilmu pun tak ada. Orang tak ada ilmu ni kena banyak mendengar dan menilai bukan banyak bercakap dan berdebat. Kalau tak, malu kat orang sebab nanti nampak kebodohan dan 'ke-macai-annya'.

Saya cintakan keamanan. Saya tak suka tengok orang bergaduh. Tengok gusti WWE pun saya tak suka sebab bergaduh. Lagilah saya tak suka tengok video orang bergaduh guna parang, tetak-menetak sampai terkulai tangan.

Saya juga tak suka pergi ke tempat orang serabut. Bising-bising dan berpusu-pusu. Bukan setakat pasar malam atau up-town, tapi juga kalau program yang ada jemput syeikh besar dari luar negara sekalipun, saya sanggup tak bersalam dan menguncup tangan mulia ulama kerana tak mahu bersesak-sesak yang mana akhirnya akan menyusahkan syeikh itu juga sendiri.

Saya akan serabut dengan kekecohan.

Termasuklah demonstrasi.

Saya sukakan perpaduan. Lagi-lagi sesama umat islam. Kita menyembah Tuhan yang sama, berimamkan rasul yang sama, berpandukan al-Quran yang sama, bersolatkan kiblat yang sama, tapi sayangnya hati kita bercabang-cabang.

Pada saya, umat islam perlu bersatu. Kerana dengan perpaduan sahajalah kita akan jadi kuat.

Umat islam hari ini lemah dan ditindas bukan kerana bilangan kita sedikit, tetapi kerana kita ini tidak berpegang kepada ajaran sebenar agama ini.

Kita tak ada semangat persaudaraan. Tak merasa nilai ukhuwah islamiyah. Kita bukan bercakap soal 'mendahulukan kepentingan saudara' kita. Sebab kita memang 'fail' dalam bab tu. Langsung tak macam sahabat-sahabat Nabi. Mereka sangat mencintai saudara seakidah mereka sampaikan nak mati pun, mereka sanggup dahulukan saudara mereka untuk meneguk air (dalam peperangan Yarmuk, boleh google cerita ni).

Kita ni besar kepala dan ego sampaikan untuk berlapang dada pun sudah tak boleh.

Agak-agaknya boleh mati kut kalau tak mencari kesalahan orang.

Agaknya boleh masuk neraka kut kalau kita tak mengungkit perbezaan kita dengan dia.

Agaknya boleh patah kaki, patah tangan kut kalau kita duduk semeja, minum kopi sambil berbual-bual mesra.

Hari ini, kita seakan-akan membiarkan musuh menguasai kita.

Kita tahu musuh kita orang kafir, orang munafik, Yahudi, Syiah,  syaitan dan nafsu. Tapi kita ego, kita masih nak kata musuh kita ialah orang-orang yang bukan dari jemaah kita.

Bukan jemaah aku.

Bukan kumpulan aku.

Bukan grup aku.

Sampaikan anak-anak muda tidak bersolat, kita tak rasakan itu masalah.

Anak orang islam bergomol dalam semak, itu bukan masalah.

Anak orang islam menari bogel di tiang-tiang, itu bukan masalah.

Anak orang islam berjudi, menggadaikan harta mak ayah itu bukan masalah.

Anak orang islam merasuah, merompak harta negara, menyapu licin kekayaan negara itu bukan masalah.

Mungkin inilah yang pepatah melayu kata, 'menang sorak kampung tergadai'.

Saya sangat menyokong agenda perpaduan. Perpaduan yang melepasi parti politik, manhaj pegangan, dan fikrah kumpulan.

Sebab tu ada sesetengah ustaz tu saya boikot sebab mereka bila diberi pentas agama di masjid untuk mengajak umat islam kembali kepada islam, dia mengajak umat islam kepada parti politik.

Sesungguhnya islam itu melangkaui perbezaan bangsa, budaya, politik, sosial, dan juga linguistik.

Jangan kerana perbezaan yang kecil, kita lupa musuh sebenar kita.

Islam pernah mengalami kejatuhan kerana perpecahan dalaman, dan islam juga pernah kembali gemilang dengan penyatuan dalaman. Hari ini jika kita masih ego, tidak mahu menerima persamaan dan tidak mahu berlapang dada dengan perbezaan, maka kita akan jatuh hari-hari.

Sebaliknya jika kita mula boleh berlapang dada dengan perbezaan, maka insya-Allah kita akan kembali kepada zaman gemilang kita. Lagipun dunia sudah di saat-saat hujung. Dah nak kiamat. Tanda-tanda besar kiamat pun sudah tiba. Kita kena yakin bahawa islam pada akhirnya, akan kembali berada di tempat yang tertinggi (iaitu tempat yang selayaknya ia berada sekarang).

Dan di saat itu, kita akan menjadi salah satu daripada dua kumpulan. Kita sama ada akan ikut dajjal atau kita akan ikut Imam Mahdi.

Mari kembali kepada islam. Kita wajib berlapang dada. Jangan cepat mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan kita. Kita perlu banyak bersabar. Ada orang yang menentang kerana jahil, cuma sebahagian yang menentang kerana ego.

Orang jahil perlu dibimbing. Modalnya cuma sabar dan ilmu.

Berlapang dadalah dalam berbeza pandangan.

Ingat pesan Nabi,

"Perkara yang paling memberatkan timbangan mizan di hari kiamat nanti ialah akhlak yang baik"

Jika kepada musuh pun kita disuruh berakhlak, takkanlah sesama saudara seakidah pun kita tak rasa kita perlu berakhlak?
 
(Saya menyokong sebarang agenda penyatuan dan saya menolak sebarang bentuk usaha untuk memecah belahkan kesatuan umat islam di Malaysia, antara bila seorang mufti 'menghalalkan darah' umat islam kerana kejahilannya dalam mengeluarkan pandangan peribadinya)
 

Merancang 2014 dengan terancang

Merancang 2014 dengan terancang
Cepat masa berlalu. Tak sangka sudah berubah tahun.

Tahun 2013 ialah tahun yang istimewa pada saya dan saya optimis, tahun 2014 ialah tahun yang insya-Allah lebih istimewa. Apapun, 2013-2014 cuma adalah angka. Kita tak meraikan dan tak merayakannya kerana kita ummat islam yang telah Allah muliakan dengan kalendar islam.

Tapi tak salah jika kita gunakannya sebagai satu motivasi untuk kita berganjak dan melangkah ke arah hidup yang lebih baik.

Jika ada dosa maksiat yang kita lakukan pada tahun 2013, insya-Allah kita sama-sama usahakan agar tahun 2014 ini, dosa maksiat itu kita tinggalkan.

Kita sama-sama taubat nasuha. Taubat sungguh-sungguh. Biat perancangan yang rapi. Perah otak dan fikirkan langkah-langkah yang perlu kita ambil agar dosa maksiat itu dapat kita jauh dan tinggalkan.

Kadang-kadang kita ni terlalu berfikir panjang tentang soal dunia. Padahal untuk soal akhirat pun sebenarnya kita perlu ada perancangan. Ingatlah pesanan Saidina Ali R.A,

"Kebenaran tanpa perancangan akan dihancurkan oleh kebatilan yang terancang"

Orang kafir berjaya menguasai umat islam hari ini bukanlah kerana bilangan kita sedikit. Bukan juga kerana mereka (orang kafir) itu hebat sangat pun. Mereka tetap manusia. Tetap makan, minum, berehat dan memerlukan sebagaimana kita perlu.

Cuma mereka merancang. Mereka merancang untuk mengalahkan kita.

Sayangnya, kita sendiri tidak merancang bagaimana kita hendak ke syurga.

Masa kita semakin suntuk. Tanda-tanda besar kiamat pun sudah semakin ketara. Sebenarnya kita tak perlu pun kepada tanda kerana pada diri kita ini pun sudah ada petanda. Kita masuk tahun baru masihi inipun sebenarnya ialah petanda bahawa dunia ini semakin berusia.

Bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil oleh Allah untuk bertemu dengan kematian.

Insya-Allah, kita sama-sama berusaha dengan bersungguh-sungguh agar tahun ini, kita menjadi manusia yang lebih beriman, bertaqwa, serta lebih bermanfaat kepada orang lain.

Tapi jangan cuma bermimpi, sebaliknya buat perancangan sendiri dan berusahalah untuk kearahnya.

 Allah tidak memandang kepada hasil, tapi Allah memandang kepada usaha kita.