Kasihani ibu ayahmu.

Kasihani ibu ayahmu.
Sejak rumah sewa kami pasang Unifi, saya suka buka YouTube. Cari video-video menarik dan bermanfaat. Antara video yang menyentuh hati ialah video (kak) Diana Amir semasa program di Ambang Tahun Baru 2013, hujung tahun lepas.

Saya suka sharing daripada Diana Amir. Antara mesej yang saya dapat,

"Saya cakap dengan ayah, saya sayang dia. Tapi dalam masa yang sama, saya buat dosa di belakang dia. Saya minta ibu saya doakan saya, tapi saya buat benda-benda yang bermaksiat"

Benda ni buatkan saya terfikir.

Semua kita mengaku kita sayangkan ibu bapa kita. Tapi dalam masa yang sama, kita melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan ibu bapa kita masuk ke dalam neraka. Terutamanya anak gadis yang belum bersuami.

Kita tak tutup aurat, kita keluar dengan jantan, dan kita tak menjaga akhlak. Kita berdosa, dan kita telah menyebabkan ibu bapa kita berdosa.

Kita juga telah membusukkan nama keluarga kita, kalau kita sedar. Tapi benda-benda macam ni kita selalunya tak sedar.

Saya ada juga tengok video-video audition Indonesian idol, dan beberapa lagi rancangan realiti Tv berbentuk hiburan. Ramai dalam kalangan ibubapa berasa bangga kalau anak mereka lulus uji bakat nyanyian. Ramai yang seronok dan bangga kalau anak gadis mereka pandai menyanyi dan menari.

Seakan-akan menyanyi dan menari itu suatu kebolehan yang boleh dibanggakan. Seolah-olah itulah benda yang boleh menyebabkan ibubapa tersenyum bila masuk dalam kubur nanti.

Seolah-olah bila berdepan dengan malaikat munkar dan nakir di dalam liang lahad nanti, kita boleh berbangga dengan malaikat-malaikat itu, "Awak jangan nak buat macam-macam pada saya. Anak saya artis. Famous tu!"

Baru-baru ni pun ada kes seorang isteri pemain bola sepak yang kurang ajar kepada seorang pengawal keselamatan yang dah berusia. Kenapa dia nak angkuh sangat? Kerana dia berasa, "Suami aku pemain bola sepak negara!"
Ada sesetengah ibubapa pula memiliki pandangan material yang melampau. Pada mereka, jika anak mereka mendapat no.1 dalam peperiksaan, itulah kebanggaan mereka. Kalau lulus dengan cemerlang di Universiti, dapat anugerah itu dan ini, barulah mereka berbangga, seronok dan gembira.

Sebaliknya jika anak-anak mereka cuma biasa-biasa sahaja, mereka rasa sedih dan kecewa.

"Along tak belajar sungguh-sungguh. Along dah kecewakan mama dan papa"

Kadang-kadang benda ni berlaku bukan hanya kepada orang biasa, tapi juga kepada orang-orang yang baik, yang selalu ikut dakwah, selalu sertai program agama, dan seumpamanya.

Tapi itulah. Kita tak boleh nak salahkan ibubapa kita kerana mereka ialah produk zaman mereka. Didikan mereka, cara hidup mereka, peluang mereka, mungkin tak sama dengan kita. Mungkin pada masa mereka, mereka tak dapat peluang untuk kenal islam macam kita dapat kenal islam.

Bukan semua yang bersalah itu, perlu kita hukum. Lagipun bukan kita yang berhak dihukum.

Cuma kita boleh ubah diri kita. Mungkin kalau satu hari nanti, bila kita sudah jadi ibu dan bapa, perkara pertama yang kita usahakan kepada anak-anak kita ialah akhlaknya.

Biar anak tak pandai pun. Biar anak tak dapat nombor 1 dalam kelas. Biar anak tak dapat anugerah dekan. Biar anak tak pandai menyanyi. Biarlah. Yang penting anak-anak kita baik, cukuplah.

Tak gedik.

Tak menggatal dengan jantan.

Tak merosakkan kesucian fizikal dan jiwa anak gadis orang.

Tak melakukan dosa besar.

Tak melakukan dosa secara terang-terangan.

Tak berbangga dan berseronok dengan maksiat.

Kerana nanti walaupun mereka tak jadi ustaz, tak jadi ulama, setidak-tidaknya mereka boleh mendoakan kita bila kita sudah mati.

Dan bukan hanya akan ziarah ke kubur kita setahun sekali.
  

Fikir Dan Risau

Fikir Dan Risau
 
Saya suka duduk dalam majlis kawan-kawan kita dari jemaah Tabligh. Sejak dari saya kecil lagi, saya dah dengar macam-macam tohmahan dan tuduhan yang tak elok kepada rakan-rakan kita itu. Biasalah manusia. Yang elok-elok, walau sebanyak manapun, pasti dibutakan mata sedangkan yang buruk-buruk, sekalipun kecil, pasti akan dihebahkan dan diperbesarkan.

Betul. Kalau nak kritik, banyak benda boleh kita kritik. Kalau nak komen, banyak benda kita boleh komen. Tapi untuk apa lidah kita jadi setajam itu?

Kalau untuk kita mengutuk usaha orang, maka lupakanlah.

Kalau semata-mata mahu mendabik kononnya kita lebih betul dari mereka, maka bertaubatlah.

 Ada beberapa patah perkataan mereka, yang membuatkan saya asyik berfikir.

"Hari ini kita lihat bagaimana besarnya fikir manusia kepada dunia. Manusia fikir macam mana nak berkomunikasi dari jarak jauh, dari Utara ke Selatan, dari Timur ke Barat. Jadi manusia mencipta telefon. Hari ini manusia berfikir macam mana mereka hendak pendekkan masa perjalanan dari Malaysia ke Arab Saudi, dari London ke Tokyo, jadi mereka mencipta kapal terbang. Manusia juga berfikir bagaimana mereka boleh menyeberangi laut, lalu mereka mencipta kapal laut. Sampaikan manusia berfikir, macam mana mereka hendak dapatkan makanan kalau perut mereka lapar jam 3 pagi, lalu sekarang sudah ada kedai mamak yang buka 24 jam sehari".

"Itu fikir dunia. Fikir para Nabi dan fikir para sahabat, lain. Mereka setiap hari bangkit sahaja daripada tidur mereka, mereka hanya fikir bagaimana islam boleh sampai ke seluruh alam. Bagaimana generasi selepas mereka boleh menerima agama islam. Bagaimana sahabat-sahabat mereka, jiran tetangga mereka, penduduk negeri mereka, boleh mendapat hidayah dan masuk ke dalam agama islam"

"Bahkan mereka sanggup meninggalkan isteri-isteri mereka yang jelitawan, harta-benda mereka yang menyeronokkan, tempat tinggal mereka yang selesa, dan haiwan ternakan mereka yang membiak sihat, untuk menuju ke medan perang dan menyahut seruan jihad, kerana mereka memikirkan tentang agama ini. Mereka mencintai agama ini. Mereka mencintai Allah. Mereka mencintai anak cucu mereka. Mereka mencintai orang-orang yang masih belum menerima islam supaya mereka boleh menyampaikan islam kepada mereka. Mereka mencintai generasi anak cucu Adam yang akan datang seribu tahun selepas mereka"

"Itulah kasih sayang Rasulullah. Fikir risau Nabi Muhammad S.A.W hinggakan Baginda risau dan runsing kepada nasib kita, sampailah kepada bayi terakhir yang akan lahir sebelum kiamat nanti".

Kita? Pernah kita ambil masa kita untuk fikirkan tentang agama?

Fikir tentang bagaimana kita nak ajak kawan-kawan kita yang belum menutup aurat agar dapat menutup aurat, yang jauh dengan agama agar dekat dengan agama, yang gemar bermaksiat agar gerun bermaksiat, yang berbangga dengan dosa agar malu dengan dosa?

Atau adakah kita bangun sahaja daripada lena, kita hanya memikirkan tentang dunia yang akan berlalu, dengan pekerjaan yang akan kita bersara nanti, dengan harta yang akan kita tinggalkan nanti, dengan kekasih yang akan kita berpisah dengannya nanti, dan seumpamanya.

Fikir dan risaulah. Kerana Allah memerintahkan kita untuk memikirkan tentang nasib kita selepas kita mati nanti.

"Jagalah diri kamu dan ahli (keluarga dan orang bawahan) daripada azab bakaran api neraka"- Surah At-Tahrim.

Taqwa itu takkan sempurna jika kita hanya memikirkan tentang diri kita seorang.
 
Nota Kaki: Lupa nak beritahu yang saya dah ada akaun Formspring yang baru. Jadi kalau nak tanya soalan, tanyalah. Kalau saya boleh jawab saya akan jawab.

Risau pada hidup

Risau pada hidup

Hari tu aku ada buka radio IKIM. Aku sempat dengar seorang perempuan membuat panggilan ke konti untuk bercakap dengan ustaz jemputan. Sambil menangis-nangis, dia bercakap. Lambat-lambat dan sepatah-sepatah.

"Ustaz, saya ni ada mengambil anak tak sah taraf (luar nikah) jadi anak angkat saya. Saya layan dan saya anggap dia betul-betul macam anak saya sendiri. Tapi sekarang ni, saya diuji oleh Allah. Anak kandung saya sendiri pula yang terjebak dengan zina"

Yang menariknya ustaz menjawab luahannya dengan balasan yang langsung tak kena mengena dengan permasalahannya.

Divert habis-habisan.

Tapi inilah dunia. Dunia ini penuh dengan penderitaan. Kalau di belah Afrika sana, deritanya kerana kebuluran tak ada makanan. Kalau di belah Kemboja, derita umatnya kerana miskin papa kedana. Kalau di Timur Tengah, deritanya kerana penguasa yang zalim mencengkam.

Tapi secara generalnya, penderitaan ummat kini ialah kerana ketirisan iman. Iman yang macam buih-buih di lautan. Senang-senang saja ditiup angin.

Aku tak kata orang lain, tapi aku pun macam tu. Iman aku mengikut suasana. Suasana aku baik, maka aku pun baik. Suasana aku tak baik, maka perbuatan aku pun ikut sama tak baik. Mungkin inilah yang orang katakan sebagai survival iman.

Pagi-pagi beriman, petang-petang kufur. Petang-petang beriman, pagi-pagi kufur.

Langsung tak serupa dengan golongan salaf. Jauh sekali menyamai para sahabat, yang tak ada kerisauan langsung di dalam hati-hati mereka melainkan kerisauan pada agama semata.

Para sahabat Nabi dan mereka-mereka yang mengikut petunjuk mereka, tak risau macam kita. Kita ni risau macam-macam. Risau bila petrol naik 20 sen. Risau habis belajar tak ada perkejaan, lebih-lebih lagi yang belajar agama. Risau kalau tak dapat jodoh, dan macam-macam lagi kerisauan.

Akhirnya, kita langsung tinggalkan kerja-kerja agama.

Atau paling buruk... kita tinggalkan amal-amal agama!

Nauzubillah.

Itulah. Kadang-kadang aku kesian tengok diri aku sendiri. Baru 23 tahun tapi dah risau macam-macam. Risau tak ada RM10 ribu nak kahwin. Risau sebab belum dapat progress dalam pelajaran disebabkan orang atasan yang bermuka-muka. Risau pasal harga rumah yang meningkat mendadak terutamanya di Lembah Klang ni. Risau lagi dan lagi.

Tapi tak risau bila dah seminggu aku tak bertahajjud. Tak risau bila minggu ni hanya 2 kali aku sempat solat subuh berjemaah. Tapi tak risau bila sedekah aku berkurang, tilawah aku tak buat, istighfar aku tak sempat, solat sunat aku tak terbuat, study aku tak habis, dan seumpamanya.

Yang itu aku tak risau.

Macam, aku tak risau mati. Aku risau hidup.

Mohon korang doakan aku. Aku ni iman lemah. Aku takut kalau aku mati dalam keadaan hati aku penuh dengan dunia dan bekalan akhirat aku sangatlah sedikit.
   

Nakal VS Jahat

Nakal VS Jahat
Bila orang tak kenal kita maka orang akan ada banyak persepsi pasal diri kita. Biasalah tu. Ada yang baik, ada yang buruk.

Aku rasa ramai yang tak kenal aku. Sebab tu diorang boleh panggil aku ni ustaz. Ada yang tanya aku belajar kat sekolah agama mana dan ada juga yang tanya aku sedang belajar subjek islam apa.

Padahal korang tak tak tahu yang aku ni tak pernah masuk sekolah agama dan tak pernah ambik subjek agama. Aku cuma seorang budak STAR. Sekolah semua lelaki (all boys) yang terletak dekat tengah-tengah bandar Ipoh.

Kat sekolah, aku tak pernah langsung terlibat dengan kepimpinan badan agama. Kalau korang nak tahu, setiap sekolah agama ni ada badan pelajar islam. Kalau sekolah aku, dia panggil BPI. Kalau SBP lain, diorang guna nama BADAR. Tapi fungsinya sama, iaitu untuk menganjurkan program-program keagamaan dan untuk terlibat secara aktif di dalam pengurusan surau sekolah.

Aku dulu budak jahat. Aku rasa, aku pernah cerita dalam entry-entry aku yang sudah lepas. Tapi aku tak keberatan untuk ceritakannya semula sebab bila aku ceritakan sejarah hidup aku, membuatkan aku rasa bersyukur sangat-sangat kepada Allah sebab Allah berikan aku hidayah di usia muda.

Kalau korang belek Sahih Muslim, ada hadis yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abu Sufian r.a, pasal satu kumpulan sahabat yang sedang membuat halaqah. Mereka duduk-duduk, tak buat apa-apa, hanya bersembang. Tetapi apa yang mereka sembangkan?

Mereka bersembang tentang masa silam mereka, iaitu masa mereka belum masuk islam, dan mereka bersyukur atas hidayah Allah. Lalu, malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W bahawa ketika mereka sedang bermuhasabah itu, Allah pula sedang berbangga-bangga tentang mereka itu kepada penduduk di langit.

Aku tak nak cerita satu per satu kejahatan aku, sebab aku tak rasa aku jahat. Aku tak pernah rogol orang. Tak pernah bunuh orang. Tak pernah juga tinggal sembahyang dan tak qada' semula sembahyang yang aku tinggal tu.

Aku cuma, nakal dan tidak baik.

Lebih kurang dua minggu lepas, aku ada ikut kawan-kawan aku, bekas pelajar STAR juga (batch mate aku). Kitaorang buat reunion sambil menziarahi atau memenuhi jemputan kahwin seorang kawan kami yang merupakan orang kedua dalam batch kami yang sudah bernikah.

Batch aku ada 146 orang. Tapi seorang sudah meninggal dunia setahun selepas kami keluar dari STAR.

Bila dah lama sangat tak berjumpa, aku pun bersembang kencang jugalah dengan member-member aku ni. Sebab dah terlalu kencang dan berapi, tiba-tiba ada seorang kawan aku cakap kat seorang lagi, "Kita ni nakal je, tapi tak jahat".

Apa tu nakal dan apa tu jahat? Yang aku faham, nakal tu macam main bola pakai seluar pendek, keluar fly untuk main DOTA malam-malam buta, ponteng prep, sembahyang dekat dalam dorm je, dan seumpamanya.

Manakala jahat pula ialah bila dah mencuri duit orang, belasah budak, berzina, dan seumpamanya.

Di akhir zaman ni, kita tak boleh expect yang orang ramai akan jadi baik macam sahabat Nabi. Maksud aku, orang ramai tu ialah anggota masyarakat. Aku tak nafikan bahawa dalam kalangan kita, memang ada orang yang baik. Dan orang yang baik-baik ini pun sebenarnya ramai. Tapi aku sedang bercakap tentang penduduk Malaysia secara keseluruhannya.

Sebab itulah dalam agama ni, ada hukum hudud.

Hudud ni maksudnya had. Kalau kita naik highway, kita ada speed limit. Kalau kita handle machine, kita ada operating limit. Kalau kita operate syarikat kapal terbang pula, kita ada flying hour limit.

Macam tulah hidup ini. Kita memang akan melakukan kesalahan. Tapi kesalahan apa yang diizinkan dan kesalahan apa yang tak diizinkan, itulah yang dipanggil sebagai limit ataupun hudud.

Aku ambil satu contoh.

Berzina.

Berkawan dengan perempuan, masih permissible. Tapi bila berkawan tanpa menjaga tatatertib seperti bersikap terlalu open book, itu dah jadi kesalahan. Walaupun salah dan dikira berdosa, tapi kesalahan ini belum sampai kepada had.

Limit yang dimaksudkan ialah berzina, iaitu bila berlaku hubungan seks di luar pernikahan. Bila itu berlaku, maka pelakunya telah melakukan dosa yang sangat besar dan dahsyat.

Itulah maksud aku dengan nakal dan jahat.

Orang nakal, dia buatlah apa-apapun, tapi at the end, dia masih takut untuk melakukan dosa besar.

Contoh lain, pakai seluar pendek. Walaupun ada yang masih tak menutup aurat, tapi solat jangan ditinggal.

Kawan aku pernah cerita, masa dia baru balik dari surau, ada seorang awek tegur dia.

"Saya nak tanya. Saya ni free-hair. Ada orang kata Allah tak terima sembanyang orang yang free-hair ni. Betul ke?"

Jawab kawan aku, "Tak pakai tudung ni satu kesalahan dan meninggalkan solat pula ialah satu kesalahan yang lain pula. Benda ni tak ada kena mengena sebab bila kita tak pakai tudung, kita cuma dosa tak pakai tudung dan kalau kita tak solat pula, kita cuma dosa sebab tak solat. Cuma kita haraplah bila kita jaga solat kita, Allah beri kita kekuatan untuk kita menutup aurat kita".

Dalam hidup ni, kita mesti mau selalu ingat bahawa kita ada hubungan dua hala, iaitu hubungan kita dengan Allah dan hubungan kita sesama makhluk. Kita ada dosa kepada Allah dan kita juga ada dosa kepada makhluk. Kita juga ada ibadah kepada Allah, kita juga ada ibadah dalam bentuk sesama makhluk.

Contohnya, kita berzikir, dan kita ada menolong orang.

Berzikir ialah ibadah kepada Allah, manakala menolong orang pula ialah ibadah dalam bentuk sesama makhluk.

Kita juga ada dosa meninggalkan solat, dengan dosa mengumpat.

Meninggalkan solat ialah dosa kita kepada Allah, manakalah mengumpat pula ialah dosa kita kepada orang.

Bila buat dosa kepada Allah, nak bertaubat tu senang sebab Allah Maha Menerima Taubat. Tengah atas motor pun, kalau ada rasa menyesal dan mahu bertaubat, Allah sudah maafkan kita. Tengah minum arak, belum sempat buang botol arak pun, Allah akan terima taubat kita kalau kita minta ampun.

Tapi kalau buat salah kepada manusia, contohnya kita curi hartanya, maka itulah yang paling susah nak deal sebab kita kena mohon kemaafan daripadanyya, dan barulah Allah akan berikan kemaafanNya kepada kita.

Jadi, kesimpulan aku ialah nakal ialah dosa kita tanpa melibatkan pihak kedua, manakala jahat pula ialah dosa yang melibatkan banyak pihak.

Tapi kita perlu ingat bahawa nak jadi jahat tu mudah sangat. Lebih-lebih lagi dengan adanya Facebook. Bila ada Facebook ni, kita makin galak nak share. Antara yang kita share ialah benda yang berdosa. Contohnya, kita ada awek lalu kita post gambar kita dengan awek kita. Mulanya benda tu jadi dosa yang biasa-biasa saja, tapi ia dah jadi besar kerana kita berbangga-bangga dengan dosa kita.

Contoh lain, pakai seluar pendek. Buka aurat ni dosanya makin besar dengan bertambahnya orang yang tengok aurat kita. Kalau pakai seluar pendek, yang tengoknya cuma tiga orang, maka dosanya tak sedahsyat bila kita post gambar di facebook kita dengan 30 orang tengoknya.

Eh, post ni dah jadi panjang (tiba-tiba). Aku nak tulis benda lain sebenarnya, tapi dah tertulis benda lain. Tapi insya-Allah, aku harap mesej aku jelas, iaitu:

1- Kalau buat dosa pun, jangan sampai buat dosa besar.
2- Jangan berbangga-bangga atau menujuk-nunjuk maksiat kita kepada orang.
3- Jangan tinggal sembahyang walaupun sekali, tak kiralah atas apa sebab sekalipun!
4- Jangan rasa lega dan selamat bila sudah buat dosa. Bertaubat on the spot walaupun esok mungkin akan terbuat dosa tu lagi. Siapa tahu lepas istighfar tu Allah cabut nyawa?
5- Jangan buat dosa kepada orang sebab nanti payah nak trace balik orang tu sebab nak kena minta maaf kepada dia.

Wallahua'lam. Sekian sahaja aku merepek.
 

Penakut

Penakut

Siang tadi aku terbaca (sengaja baca) cerpen yang ditulis oleh Abang Bahruddin Bekri. Kawan aku share kat wall Facebook dia. Dia kata cerpen ni best. Aku pun tertarik nak baca dan ya, cerpen tu memang best.

Best sampai buatkan aku rasa macam nak menangis sorang diri. Bukan sebab sedih. Bukan sebab terharu. Tapi rasa malu alah sendiri.

Aku ada share kat wall aku. Korang nak baca jugak, korang carilah sendiri. Tapi cerita yang Abang Bahruddin tulis tu, lebih kurang sama dengan sebuah kisah yang pernah berlaku tak lama dahulu. Pasal seorang ulama di Kota Damsyik yang bernama Sulaim As-Suyuti.

Aku rasalah, yang Abang Bahruddin ambil inspirasi daripada kisah ini. Tapi tak tahulah, sebab kalau aku, kalau aku nak menulis, aku suka ambil inspirasi daripada kisah-kisah teladan. Tak kiralah kisah lama ke baru, asalkan ada pengajarannya untuk aku.

Kisah Sulaim As-Suyuti ni sangat menarik. Kalau aku nak cerita pun, aku takut bila aku cerita semula, cerita tu dah tak jadi menarik. Takut ada elemen tokok-tambah yang melampau hingga jalan ceritanya dah jadi lain. Tapi aku sangat suka kepada pengajaran cerita ni.

Sangat-sangat!

Pasal taqwa. Masya-Allah. Macam dalam cerpen Abang Bahruddin, kedua-dua kisah ini bertemakan ketaqwaan. Sulaim As-Suyuti ni ialah seorang pemuda yang miskin. Hidupnya di masjid, menimba ilmu dengan gurunya di masjid. Makannya tak menentu. Ada makanan, dia makan. Tiada makanan, dia berlapar.

Suatu hari, dia memang benar-benar ketiadaan makanan. Oleh kerana terlalu lapar, dia pun tak boleh nak fokus kepada apa yang diajarkan oleh gurunya ketika itu. Fikirannya hanya memikirkan kepada makanan. Lalu dia nekad.

"Aku sudah hampir kebuluran", sangkanya. Jadi dia pun tekad untuk mencari apa-apa yang boleh dimakannya, sekalipun dengan cara mencuri kerana dia sudah berada dalam keadaan darurat dan menghampiri kebuluran kerana sudah berhari-hari tidak makan.

Lalu dia pun memanjat atap-atap rumah, dari satu rumah ke sebelahnya hingga dia sampai ke dalam sebuah rumah kosong. Didapatinya, di atas meja makan itu, ada hidangan yang ditutup oleh tudung saji. Dia lalu mengangkat tudung saji itu dan dia dapati ada sebiji terung yang telah direbus.

Sulaim lalu mengambilnya dan menggigitnya. Semasa giginya sudah terbenam pada terung itu, tiba-tiba hatinya bertempik, "Alangkah celakanya kamu. Kamu seorang yang belajar agama tetapi kamu masih mahu mencuri".

Cepat-cepat dia meletakkan kembali terung yang hampir-hampir dimakannya itu ke tempat asal. Sambil beristigfar dan menyesal, dia pun segera meninggalkan rumah itu dan kembali ke majlis pengajian di masjid.

Selepas selesai majlis pengajian pada hari itu, semua orang pun pulang kecuali Sulaim, lalu gurunya pun memanggilnya.

Part ni lah yang paling menusuk hati. Tapi kalau aku cerita, mungkin tusukan tu tak kena tepat ke dalam hati. Jadi aku rasa baik korang baca dari sumber yang lain.

Gurunya bertanya, "Di sini ada seorang wanita yang baru kematian suaminya. Dia pula ialah orang asing di sini. Tidak ada yang menjaganya kecuali pak ciknya yang sudah sangat tua. Wanita ini mewarisi semua harta dan rumah peninggalan suaminya. Dia memintaku mencarikan baginya suami untuk menjaganya. Sudikah jika engkau memperisterikannya?"

Sulaim pun menjawab, "Ya".

Gurunya lalu bertanya pula kepada wanita itu, "Mahukah kamu menerimanya sebagai suamimu?"

Wanita itu menjawab, "Ya".

Lalu guru itu memanggil pak cik kepada wanita itu dan membawa dua orang saksi, lalu akad nikah pun dijalankan dengan segera dan sempurna. (Masya-Allah! Mudahnya nikah)

Selepas usai ijab-kabul, wanita itu membawa Sulaim pulang ke rumahnya. Isterinya membuka niqab wajah. Rupa-rupanya dia ialah seorang wanita yang cantik dan muda. Sulaim yang masih seperti bermimpi kerana dapat mengahwini seorang wanita jelita, tambah hairan sendirian. Dia merasakan rumah isterinya itu seperti familiar baginya.

Semasa Sulaim masih lagi kehairanan, isterinya pun bertanya, "Mahukah engkau makan, wahai suamiku?"

Segera Sulaim mengangguk lalu isterinya pun bergegas ke dapur, dan membuka bekas makanannya. Dia mendapati ada pada terung yang dimasaknya, ada bekas gigitan orang.

"Ah, hairan sekali. Siapa yang telah masuk ke rumah ini dan memakan terungku?"

Mendengarnya, Sulaim pun menangis lalu menceritakan apa yang berlaku sebenarnya.

Isterinya mendengar dengan penuh minat. Dengan senyum yang sangat manis, isterinya lalu berkata, "Inilah hasil daripada sifat taqwamu. Engkau meninggalkan sebiji terung yang haram bagimu, lalu Allah gantikan bagimu rumah ini dan seluruh isinya".

Subhanallah. Sungguh aku tak jemu ulang-ulang baca cerita ni. Itulah balasan kepada orang yang bertaqwa. Belum meninggal pun Allah sudah berikan padanya syurga dunia berupada isteri yang cantik dan solehah, serta rumah yang selesa.

Aku sebenarnya tak tahu kenapa, tapi sejak dua menjak ni, aku terlalu kerap memikirkan fasal perkahwinan. Mungkin aku berfikir terlalu jauh, dan berfikir tentang sesuatu yang belum aku ada hak untuk membuat keputusan atasnya.

Tapi selepas aku baca-baca balik dan aku fikir-fikirkan semula, sebenarnya apa yang kita dapat atas dunia ini ialah satu antara dua. Samada ujian daripada Allah ataupun anugerah daripada Allah. Allah ini bersifat dengan sifat Ar-Rahman.

Betapa Rahman nya Allah, semua orang Allah berikan nikmat. Orang yang paling jahat dan paling melawan Tuhan sekalipun, pun tetap Allah berikan kepada dia nikmat. Dia tak sembah Allah, dia tak mahu solat, dia melawan hukum Allah, dia menghina agama Allah, apa-apa sekalipun... tetap Allah beri padanya isteri, anak-anak, pekerjaan, kesihatan, rumah, kenderaan, dan macam-macam.

Tapi cara Allah beri, takkan sama dengan cara Allah memberi kepada hamba-hambaNya yang takut kepadaNya. Orang-orang yang bertaqwa, dia dapat apa-apapun daripada Allah dengan kasih-sayang. Allah memberi dengan penuh cermat, santun dan tepat.

Mungkin apa yang aku katakan tu tak ada kena mengena dengan perkahwinan sebab zaman sekarang ni manalah nak ada lagi kes-kes macam Sulaim As-Suyuti ni.

Cuma, aku nak ingatkan kepada diri aku...

Kalau kita bertaqwa kepada Allah, kita tunaikan hak-hak Allah, kita beribadah dengan ikhlas dan tekun kepada Allah, kita jaga hubungan kita dengan Allah, kita berkhidmat kepada makhluk-makhluk Allah kerana tuntutan Allah... maka percaya dan yakinlah, Allah akan memberikan kita segala-galanya yang kita perlukan atas dunia ini.

Termasuklah pasangan hidup yang menyejukkan mata dan hati.

Bertaqwalah kepada Allah, kerana taqwa ialah kunci bagi perbehandaraanNya buat kita.
  

Luahan tekanan.

Luahan tekanan.
 
Aku ni bukannya jenis yang suka cerita masalah aku. Aku suka simpan sorang-sorang. Kalau nak cerita pun selalunya aku akan cerita kepada orang yang aku rasa selesa dengannya, sekalipun dia tak boleh tolong. Dengar bodoh saja pun tak apa dah.

Aku sebenarnya tertekan. Tadi aku update satu status kat Facebook aku. Aku malas nak copy-paste balik. Kalau korang nak baca, pergilah jenguk Facebook aku tu. Status tu dah mengundang salah faham yang dahsyat oleh sesetengah kawan Facebook aku yang mana mereka tu langsung tak kenal aku, tak faham situasi aku dan tak ada gambaran tentang keadaan aku sekarang.

Mereka menterjemahkan apa yang aku luah kat Facebook aku tu sebagai sebuah keluhan aku kepada ibabapa aku. Macam aku tengah panas hati dekat bapak aku. Macam aku tengah marah dan berlaku kurang ajar dengan mereka.

Come on lah. Baru baca satu status, dah buat konklusi yang bukan-bukan.

Tapi aku tak salahkan mereka kerana salah faham. Aku sendiri pun bila baca-baca semula, aku perasan yang aku macam terburu-buru menulis sampaikan apa yang sepatutnya difahami dengan lurus, difahami dengan bengkang-bengkok.

Demi Allah, aku memang tertekan sekarang ni. Rasa sempit saja dada ni. Tapi bila macam ni, aku tahu yang hanya Allah sahaja boleh beri aku tenang. Bila serabut-serabut cam gini, hanya dengan baca al-Quran, buat solat sunat, istighfar, hanya benda-benda tu sahaja yang boleh buatkan aku rasa rileks sekejap.

Tapi lepas tu, bila fikirkan semula... rasa serabut balik.

Sebab masalah aku ni bukannya masalah aku seorang. Bukan juga masalah mak ayah aku saja, atau adik beradik aku sahaja. Ini masalah yang melibatkan ramai orang dan banyak pihak. Aku tak nak cerita sebab ia terlalu peribadi.

Aku teringat balik kata-kata Kak Pah, yang pernah menghina perempuan india dalam satu forum di USIM tahun lepas,

"Ikan jerung pun ada masalah. Kucing pun ada masalah. Semua ada masalah".

Yalah. Semua orang ada masalah masing-masing. Saat ini, aku rasakan yang masalah akulah yang paling besar. Kononnya orang di sekeliling aku, (korang) tak ada masalah langsung. Padahal korang pun sama macam aku. Ada masalah juga. Cuma masalah kita tak sama. Mungkin masalah korang kecil. Mungkin masalah korang tak melibatkan pihak lain.

Itu saja. Tapi masalah tetap masalah, sebab kita hidup atas dunia. Dalam syurga sahaja tak ada lagi taklifan.

Aku selalu baca kata-kata motivasi, contohnya, masalah tak akan selesai dengan kita mengeluh. Macam kata-kata Imam Abu Ala al-Maududi, "Orang yang kepanasan tak akan rasa sejuk dengan menjerit-jerit atau mengeluh tentang kepanasan. Dia cuma akan rasa sejuk kalau dia pergi ambil air dan mandi"

Samalah dengan kita. Dengan aku, terutamanya.

Tapi situasi aku tak sama dengan situasi orang lain. Aku ni umpama rumah tengah terbakar. Aku dah bergegas bawa baldi ke paip air yang 1km jauhnya. Tengah berpeluh-peluh nak ambil air pergi padamkan api, tiba-tiba masa aku pulas kepala pili, air tak keluar. Lepas tu aku ambil telefon nak telefon Bomba, operator tu kata yang pasukannya hanya boleh sampai selepas setengah jam kerana sekarang ni semua pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran di tempat lain.

Jadi aku hanya mampu melihat api sedang membakar sambil berdoa penuh harap supaya bila bomba sampai nanti, selepas bomba padamkan kebakaran, yang terbakar cuma dinding rumah aku sahaja. Isi dalam rumah tu aku harap berada dalam keadaan yang sediakala.

Ehem. Aku tahu cerita aku ni sadis. Aku bukannya tak redha. Aku cuma perlukan sedikit kata-kata semangat. Aku bukannya menyalahkan. Aku bukannya defensif. Aku cuma tak mahu dipersalahkan. Aku tak mahu dituduh penjahat.

Aku tak mahu dikatakan sengaja bakar rumah aku, atau sengaja biarkan rumah aku terbakar!

Alamak. Baru tadi aku kata aku tak mahu melempiaskan keserabutan aku kepada korang, tapi tanpa aku sedar, aku sudahpun bahagi-bahagikan keserabutan aku kepada korang.

Loser betul aku. Di saat teman-teman seusia aku di Syria mengangkat senjata nak melawan thagut, aku dekat Malaysia ni boleh lagi feeling-feeling sambil menyembur masalah peribadi aku kepada korang yang langsung tak ada kena mengena dalam hal ini.

Cuma bila aku berada di bawah tapak kaki dan dipijak-pijak, jauh di sudut hati aku, aku harap apabila aku berada di atas nanti, aku tak akan pijak-pijak orang bawahan aku. Takkanlah syarat nak berlaku adil ialah tak pernah dizalimi? Kalau macam tu sampai bila-bila kita tak boleh berlaku adil kepada orang yang lebih lemah dan rendah darjatnya daripada kita.

Aku juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang yang secara peribadi, hantar mesej kedalam inbox aku, tegur aku fasal apa yang aku tulis tu. Tapi macam yang aku cakap, korang sebenarnya tak faham.

Yang akan faham hanyalah orang yang belajar sama tempat dengan aku, dan akan kerja sama pekerjaan dengan aku. Even family aku pun tak faham walaupun habis segala tatabahasa, aku guna untuk menerangkannya.

Aku memang tak expect apa-apa daripada layman ataupun orang asing. Aku cuma harapkan mereka boleh bersangka baik dengan aku sahaja dan jangan anggap aku ni penjahat kerana kalau aku ni penjahat, kepada siapa aku buat jahat?

Aku, walaupun suka memendam sahaja, tapi sampai satu ketika, aku pun dah tak boleh pendam. Jadi aku pun tulis entry ni. Bukan sebab aku nak meluahkan kepada korang. Korang pun manusia macam aku juga. Sama-sama makhluk Allah.

Aku tulis cuma untuk menerangkan, supaya tak timbul lagi fitnah.

Dan aku teringat kisah Imam Muslim yang sanggup membuang wang 3000 dinar emas miliknya ke dalam laut, hanya kerana beliau bimbang terpalit dengan fitnah.

Sebab fitnah ni tak kenal sesiapa. Isteri Nabi pun teruji (terfitnah). Apatah lagi aku.
   

Nasibku orang bujang

Nasibku orang bujang

Siang tadi ada program jamuan hari raya MAS dekat parking lot depan bangunan HR.

Aku join, dengan kawan-kawan aku. Niat aku sebab nak makan free je. Penuhkan perut dengan makanan supaya malam ni tak payah pergi makan lagi dah. Jimat sikit.

Sebenarnya ada banyak benda yang aku nak komen. Tapi aku ni macam ikan bilis je dalam syarikat ni. Bahkan aku bukannya staf pun. Jadi, setidaknya aku tulis kat sini sahajalah. Mudah-mudahan ada orang yang baca boleh ambil ikhtibar dan buat refleksi diri, bersama-sama.

Aku perhatikan, masyarakat kita ni memang sangat sukakan hiburan. Tak kira usia, semuanya suka berhibur. Tadi aku perhati, ada seorang lelaki yang berpangkat atuk, pun masih ligan berjoget atas pentas. Seorang lagi pak cik ambil mikrofon dan menyanyi. Lagu lama. Tak silap aku, lagu P. Ramlee.

Tapi okeylah. At least suara dia boleh tahan sedap juga.

Tapi yang aku tak berkenan ialah bila gadis-gadis yang menyanyi. Lebih-lebih lagi gadis yang bertudung. Sepatutnya bila diri bertudung, adalah sedikit rasa sensitif terhadap agama. Tak adalah terkinja-kinja di atas pentas sebab perangai hodoh ni bukan Allah sahaja yang tengok.

Aku pun tengok. Orang tua pun tengok. Patutnya adalah sikit rasa malu.

Aku pun, sejujurnya, adalah juga tarikan kepada perempuan. Lagi-lagi perempuan yang cantik. Aku bukannya gay. Aku normal. Dan aku juga bukannya malaikat.

Keinginan untuk memandang perempuan tu memang lahir semulajadi dalam diri aku. Aku pun malu juga kalau-kalau aku kantoi dengan kawan-kawan aku atau dengan sesiapalah, kantoi tengok perempuan. Malu sebab aku tahu itu perbuatan yang tak elok. Mungkin juga berdosa.

Pada aku, cara yang paling mudah untuk jaga mata ialah dengan berkahwin. Sebab aku rasa bila kita sudah ada yang halal untuk kita, kita tak akan nak benda yang haram lagi dah. Logiklah kan. Kalau kau diberikan nasi goreng yang kau dapat dengan cara yang halal, dengan nasi goreng yang kau curi, dah tentu kau akan makan nasi goreng yang halal itu walaupun nasi yang halal tu tak sedap berbanding nasi curi tu.

Macam itulah bila ada isteri. Mungkin ada perempuan yang lebih cantik daripada isteri kau, tapi sebab kau ada iman, kau ada akal, dan kau ada kasih-sayang, pasti kau akan rasa isteri kau tetap yang paling cantik, menawan dan seksi.

Ceh. Bab kahwin ni aku cuma boleh sembang kencang saja. Aku pun tak tahu bila aku boleh kahwin. Nak tu memanglah nak. Siapa yang tak nak ada isteri kan? Tapi itulah... Allah knows the best. Aku berserah sahajalah. Nak usaha pun, ini sahaja yang dapat aku usahakan.

Cuma aku nak sebutkan bahawa di akhir zaman ni, memang berat sekali tuntutan supaya kita menjaga mata kita daripada memandang-mandang kepada yang haram. Bukan setakat tak boleh tengok aurat orang perempuan, tengok aurat orang lelaki pun haram juga.

Lebih daripada itu, memandang dengan sengaja kepada orang perempuan tanpa sebab-sebab yang munasabah, itu pun tak boleh. Ada orang kata, berdosa.

Aku selalu ingat cerita yang pernah berlaku di zaman Nabi. Kisah Fadl bin Abbas radialluanhuma (abang kepada Ibn Abbas). Ada lagi satu cerita yang berlaku kepada seorang sahabat remaja bernama Tsa'labah al-Ansori (aku pun tak berapa sure nama dia). Tapi sebab aku tak yakin sangat, aku nak cerita apa yang aku confirm sahaja. Cerita fasal Fadl bin Abbas. Dia pernah ikut Rasulullah menunaikan haji, iaitu masa bertawaf, Masa tu, dia telah memandang kepada satu jemaah wanita yang juga sama-sama sedang melakukan tawaf. Lalu Rasulullah pun tolak muka Fadl Bin Abbas, hingga pandangannya teralih ke tempat lain.

Kata Rasulullah kepada Fadl Bin Abbas, "Jika kamu mahu merasai kelazatan ibadah, maka jagalah pandanganmu".

Cuba fikir. Perempuan bertawaf pakai apa? Sudah tentulah pakaian yang menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan sahaja. Kepada perempuan yang memakai pakaian se-simple dan sesempurna itupun sudah datang larangan daripada memandang-mandang, bagaimana dengan anak gadis kita pada hari ini?

Ramai anak gadis kita, kawan-kawan perempuan kita, adik beradik kita, yang sudah hilang kesedaran atas apa yang mereka pakai. Mungkin bagi diorang, bila sudah bertudung maka itu makna 'sudah menutup aurat'.

Betul ke yang aurat perempuan hanya rambutnya sahaja? Kalau macam tu, kat mana kita nak letakkan hadis, "Mana-mana wanita yang keluar dari rumah dengan berwangi-wangian hingga menarik perhatian, maka keluarnya itu umpama seorang pelacur".

Mana nak letak larangan-larangan tentang tabarruj? Pakai baju yang lip-lap, yang kaler menyerlah, dan seumpamanya.

Belum lagi aku cerita pasal satu grup perempuan yang pakai tudung labuh siap berhandsocks lagi tapi buat perangai gedik dalam tren KTM, minggu lepas.

Masa tu aku dari Sungai Buloh nak ke Stesen KTM Serdang sebab kawan aku tunggu aku kat sana. Kitaorang nak pergi kenduri kahwin kawan sekolah kitaorang.

Aku tak tahu di stesen mana gadis-gadis muda ni naik (macam sebaya aku je). Tapi aku cuma perasan yang diorang ni ada bila aku dengan diorang bergelak ketawa. Bukan setakat gelak-gelak je, tapi juga bersembang kuat-kuat dan buat lawak bodoh.

Pelik aku. Aku yang lelaki ni pun senyap. Bahkan bangla-bangla yang duduk di kiri dan kanan aku ini pun senyap je. Tapi perempuan pula yang terlebih seronok dapat naik tren yang penuh dengan lelaki ni. Berjubah dan handsocks pula tu!

Itu pasallah aku update status Facebook aku cepat-cepat. Aku tulis,

"Loose clothings, jubah, and handsocks is just a small part of a great word, modesty".

Apa maksud modesty? Korang faham tak maksud modesty pada segi bahasa, dan pada segi istilahnya?

Aku rasa ramai yang tak faham. Buktinya, masalah sosial dalam kalangan muda-mudi masih belum selesai. Sekarang ni bukan setakat masalah sosial, tapi masalah jenayah pun dah mendadak naiknya. Semua ni ada hubung kaitnya walaupun mungkin bukan secara langsung.

Tak apalah. Nantilah aku cerita apa yang aku faham pasal modesty, baik kepada lelaki macam aku atau perempuan macam korang.
        

Ketagihan

Ketagihan

One thing about me yang tak ramai orang tahu. Aku suka main games. Agak gamer jugaklah. Dari aku kecil sampailah dah agak dewasa, dah macam-macam game yang aku dah main.

Daripada konsol video game yang pakai cartridge, game SEGA macam Super Mario Bross tu, aku main PsOne pula sampai hampir semua game aku pernah ada dan khatam. Lepas tu main game dekat komputer pula, dan macam-macam lagilah.

Sekarang ni, aku tengah terjebak dengan game yang very addictive- Football Manager.

Sebenarnya game ni aku pernah main dulu, dan aku pun pernah uninstall dah pun. Tapi sejak minggu lepas, sejak aku habis (tamatkan) kesemua 41 oral assessments aku, aku ingat aku nak rileks dan berseronok sedikit. Jadi aku pun install semula game ini (ambik daripada kawan).

Tapi apa yang berlaku, aku rasa macam aku sudah ketagih.

Aku sudah habiskan terlalu banyak masa di depan komputer untuk main game. Memanglah aku dah habis assessment. Dah boleh nak celebrate. Dah boleh nak rileks, goyang kaki, tapi sebagai seorang muslim, aku tak sepatutnya begitu.

Akhirnya, aku buat satu keputusan yang berat. Uninstall semula game yang sangat-sangat aku suka ni.

Sebabnya, aku teringat...

"Bila Allah beri kita kesedaran, maka cepat-cepatlah kita berubah. Takut-takut kalau kalau kita berdalih lagi, esok lusa hidayah yang sama, yang Allah telah beri itu, Allah akan tarik semula".

Benda ni banyak berlaku kepada kita. Lagi-lagi golongan remaja.

Kita ni bukannya tak tahu. Bukannya tak pernah terdetik dalam hati nak berubah. Bukannya tak ada keinginan dan panggilan-panggilan atau jeritan-jeritan kecil dari dalam hati untuk kita berubah jadi lebih baik.

Aku yakin, mesti ada. Yang tak pernah solat pun, sejahat-jahat mereka pun, Allah pasti tetap akan datangkan perasaan halus itu dalam hati mereka. Setiap orang, mesti akan ada keinginan untuk berubah dan menjadi lebih baik.

Tapi ada yang berdalih.

Ada yang menunggu-nunggu.

Dan ada yang membina alasan.

Cuma sedikit sahaja orang yang ambil peluang itu untuk berubah dan merekalah orang yang berjaya.

Alhamdulillah. Sekarang ni, Allah beri aku kesedaran untuk aku gunakan masa terluang aku kearah perkara-perkara yang lebih baik dan utama berbanding dengan main game. Jadi, di atas masa-masa yang telah aku bazirkan kepada benda-benda yang harus (bukan maksiat), aku harap Allah akan maafkan aku.

Aku ada minat. Setiap orang pun ada minat. Cuma kita perlu fikir macam mana untuk kita salurkan dan uruskan minat kita supaya kita hidup bukan untuk bersuka-suka atau bersenang-senang sahaja, tapi hidup untuk agama Allah.

Jadi berhati-hatilah dengan masa lapang kita. Kita tak ada satu saat pun untuk melakukan benda yang tidak berfaedah, kerana hakikatnya, kita memang sudah tak ada masa!
   

Selfie

Selfie
Hujung minggu lepas, masa tengah lepak-lepak dengan kawan-kawan STAR, ada seorang sahabat memperkenalkan aku kepada satu istilah baru, iaitu selfie.

Aku tak tahulah korang pernah dengar tak, tapi aku baru minggu lepas pertama kali tahu akan kewujudan istilah ini. Bila aku tanya dia kenapa orang panggil selfie kepada golongan manusia yang suka ambik gambar sendiri-sendiri dan sorang-sorang, dia pun kata,

"Sebab tu jenis manusia yang syok sendiri dan tak fikir pasal orang lain".

Lalu aku teringat balik kepada satu kitab kecil yang aku pernah beli di Masjid Negeri Shah Alam. Kitab bertajuk Ayyuhal Walad tulisan Imam Ghazali.

Kecil pada saiz dan harga, tapi besar pada nilai. Kitab ini mengumpulkan kompilasi nasihat-nasihat Imam Ghazali kepada anak-anak muridnya.

Antara nasihat yang paling menyentap ulu hati aku, bila aku teringat balik, bunyinya lebih kurang macam ni...

"Lalukanlah apa-apa sahaja yang kamu suka di atas dunia ini tetapi awas dan beringatlah, pada setiap perbuatan kamu itu ada balasannya di sisi Allah".

Kita hidup atas dunia ni bukannya atas dasar seorang diri. Apa yang kita nak buat, kita boleh buat. Apa yang kita tak nak buat, kita tak payah buat. Tapi jujurnya, memang semua nak macam tu. Nak ikut suka hati kita saja dalam setiap perkara.

Tapi benda tu tak mungkinlah boleh. Kalau kita bos pun, kita ada kuasa nak buat apa-apa yang kita suka pun, kita tetap tak mampu nak kawal kesan daripada tindakan kita awal-awal tadi.

Sebab itulah kita perlu faham, kita hidup ni bukan untuk diri kita sahaja.

Asalkan kita dapat makan, beres.
Asalkan dapat kerja, beres.
Asalkan dapat bini, beres.

Tak beres lagi. Banyak lagi benda yang kita terlibat, walaupun kita sendiri tak sedar.

Oklah. Dah maghrib. Nanti aku sambung lagi...