Misi Satu Tahun

Misi Satu Tahun

Esok sudah 1 April. Masa berlalu dengan terlalu cepat. Rasa macam baru sahaja masuk tahun baharu, tapi yang pasti sudah empat bulan takwim berubah.

Sudah bulan April, maknanya saya cuma ada satu tahun sahaja lagi. Itu pun kalau Allah beri saya umur yang panjang...

Musim pilihanraya ni, kita selalu dengar perkataan 'ubah' atau 'tukar'. Pakatan Rakyat tak henti-henti menyeru kepada perubahan pemerintahan, sedangkan kerajaan pula tak jemu-jemu memujuk negeri-negeri di bawah pemerintahan pakatan rakyat untuk ditukar pemerintahannya.

Apapun yang berlaku, kita sepakat bahawa sesiapa yang adil, berintegriti, jujur, amanah, dan bersedia untuk mengangkat hukum Allah, itulah yang akan kita pilih menjadi pemimpin.

Kita juga sepakat bahawa sesiapa yang merendahkan hukum-hakam, yang menggalakkan dan menganjurkan kemaksiatan dan hiburan yang melanggari lunas syariat, korup, pecah amanah, dan berpura-pura memperjuangkan islam, itulah calon pemimpin atau parti yang akan kita tolak.

Kita bukan melihat warna, tapi melihat peribadi.

Saya rasa terpanggil untuk bercakap tentang perubahan.

Kita sedar ataupun tidak, kita sebenarnya terlalu mahu mengubah orang lain. Kita mahu ubah sistem itu, sistem ini, perlembagaan itu, undang-undang itu, dan macam-macam yang kita nak ubah. Semestinya kita manusia, kita berakal untuk memikirkan apa yang kita perlu ubah agar kehidupan kita makin lama makin elok. Makin lama makin membaik.

Tapi satu yang kita selalu terlepas pandang ialah kita lupa untuk mengubah diri kita menjadi orang yang lebih baik, hari ke hari.

Saya ingat kata-kata prof. Dr Muhaya, "Kehidupan sebenar kita ialah dunia dalaman kita".

Menarik sekali. Kerana dunia dalaman kita inilah yang membezakan kita dengan orang lain. Hatta Rasulullah S.A.W sendiri pun berbeza dengan para sahabat r.anhum hanya pada dunia dalaman sahaja.

Apabila Rasulullah suka berpuasa sunat dan selalu berlapar, maka para sahabat pun serupa.

Apabila Rasulullah suka bergaul dengan orang miskin dana anak yatim, para sahabat pun sama.

Apabila Rasulullah tegas dan berani berjuang, para sahabat pun juga.

Tetapi sifat pemaaf, pemurah, penyayang, lemah-lembut, dan segala akhlak mulia itu, tiada sesiapa pun atas dunia ini yang serupa dengan Baginda.

Begitu jugalah kita. Antara kita dengan pelacur, apa yang membezakan kita? Kita dengan perompak, apa bezanya kita? Kita dengan pencuri, apa yang lainnya?

Bezanya ialah hati kita.

Kita dengan orang munafik juga bahkan mungkin serupa. Mereka bersolat, kita pun solat. Mereka pergi menuntut ilmu. Kita pun sama. Tetapi apa yang ada dalam hati mereka hanyalah kepura-puraan. Mereka mahu mendengar kata-kata orang. Mereka mahu melihat pandangan orang.

Sedangkan seorang muslim itu bukan hanya melakukan yang baik-baik, berkata yang baik-baik, bahkan mereka juga berfikir hanya yang baik-baik.

Siapa kita di sisi keduniaan, itu bukan persoalan besar. Siapa kita dinilaian akhirat, itu yang lebih penting sebenarnya.

Misi satu tahun saya, insya-Allah untuk berubah menjadi yang lebih baik sebagai seorang muslim, seorang anak, seorang bakal suami, seorang bakal pekerja, seorang bakal bapa, dan sebagai bakal syuhada (amin!)
 

Melayu di tahun 2013


Saya bukanlah orang yang paling layak untuk bercakap tentang ini kerana pada diri saya juga ada bermacam-macam kesalahan dan kekurangan. Tetapi jika kita hanya mahu mendengar kesempurnaan atau mendengar daripada orang yang sempurna, maka sampai bila-bila pun telinga dan hati kita takkan kita gunakan untuk menghadam nasihat. Untuk sebuah perubahan yang baik dan benar.

Allah S.W.T jadikan manusia berbagai-bagai bangsa. Ini disebutkan oleh Allah di dalam surah al-Hujurat. Allah boleh sahaja menjadikan bangsa manusia ini tunggal. Tak ada variasi. Tetapi Allah jadikan kita berbeza dan berlainan supaya kita saling berkenalan. Mudah-mudahan kita boleh mencedok nilai positif yang ada pada sesebuah bangsa dan peradaban tersebut.

Kita, orang melayu di tahun 2013, sebenarnya kita sudah mengalami satu revolusi zaman yang pada saya, lebih banyak yang keburukannya berbanding kebaikannya.

Masyarakat melayu islam di Malaysia, jika kita masih memegang kata-kata Hang Tuah, "Takkan melayu hilang di dunia", maka kita akan dapati bahawa melayu di zamannya sudah hilang dan pupus. Bangsa kita bukan lagi bangsa yang sama seperti dahulu. Lahiriahnya, kita sudah membangun.

Tetapi malangnya, kita cuma sekadar itu.

Hairan ya.

Kita tinggal di Malaysia. Malaysia ialah satu gugusan yang dibina asalnya, atas tanah orang melayu. Nama negara ini pun dahulu, Tanah Melayu. Bukan saja-saja sejarah memanggilnya Tanah Melayu. Ini memang tanah kita. Bumi dimana darah perwira bangsa kita tumpah, dan darah yang sama para petualang bangsa kita dibinasa oleh masa.

Tetapi, berapa kerat lagikah tanah yang dimiliki oleh orang melayu?

Berapa peratus lagikah aset yang dimiliki oleh orang kita?

Kita ketinggalan dari semua sudut. Ekonomi, kemasyarakatan, dan juga akademik. Kita berada jauh di belakang bangsa cina dan bangsa india padahal mereka, suatu ketika dahulu cumalah pelombong yang miskin dan penoreh getah yang dhaif.

Evolusi jiwa yang mereka lancarkan, hari ini telah berhasil. Kita sebagai penduduk asal, 'terjajah' di tanah sendiri. Persoalannya, mengapa berlaku?

Malas.

Pada saya, inilah penyakit yang paling teruk menggigit sendi-sendi manusiawi orang kita. Orang kita malas. Malas nak berusaha. Mahu hidup senang. Mahu kerja mudah. Tetapi malas mahu bersusah-susah. Malas untuk memerah keringat. Malas mahu berfikir.

Penyakit ini kita deritai sejak dahulu. Dari zaman nenek-moyang kita dan kini, zaman anak-anak kita. Berbanding dengan belajar, kita lebih suka untuk menghabiskan masa dengan gadjet terbaharu, keluar 'dating', berlibur, bersukan, dan membuang masa.
Former famous Pakistani pop-music singer.
Melayu ialah bangsa berhibur.

Buktinya ialah lambakan penyanyi dan pelakon melayu yang hari ini, umpama ulat sampah. Terlalu banyak, walaupun tiada kualiti. Kita tak ada cita-cita. Kita tak ada tujuan. Kita tak ada impian.

Anak orang lain, sejak kecil lagi bercita-cita untuk jadi golongan profesional. Kita? Nak jadi penyanyi. Nak jadi 'cover' hadapan majalah hiburan.

Kalau yang nak jadi golongan profesional pula, mereka mudah berasa puas hati. Merasa cukup jika dapat jadi doktor, tanpa ada niat untuk berusaha menjadi doktor pakar. Jauh sekali mahu menjadi pengarah dan menjawat jawatan yang lebih tinggi.

Yang lebih teruk pula, merasa cukup jika dapat jadi pengawal keselamatan. Sejujurnya, saya merasakan orang islam tak layak untuk menjadi pengawal keselamatan, penjaga tol, pekerja kilang, dan seumpamanya. Bukan saya menghina, tetapi Allah S.W.T memuliakan kita dengan islam. Kita sepatutnya bekerja untuk islam, tetapi bila kita sekadar orang-orang di atas, sedikit sebanyak ia mengganggu tugas kita sebagai abid (untuk beribadah).

Berapa ramai pengawal keselamatan lelaki yang tak boleh pergi bersolat jumaat?

Berapa ramai pemandu bas lelaki yang tak bersolat?

Berapa ramai pengutip tol yang tak diizinkan solat jumaat?

Berapa ramai pekerja kilang arak atau kilang rokok yang beragama islam?

Kita berasa selesa menggunakan alasan, "tak ada kerja lain yang sesuai dengan kelayakan saya", tetapi persoalan yang lebih besar adalah, "kenapa kita tak berusaha lebih gigih untuk mendapat kejayaan yang lebih besar supaya saya ada pilihan pekerjaan yang lebih elok dan halal?"

Jika kita amati pula iklan-iklan yang ditampal pada keratan akhbar, banyak syarikat yang meletakkan syarat pengambilan pekerja, "mampu berbahasa mandarin dengan baik".

Maksudnya itu ialah syarikat milik bangsa cina.

Bahkan ada beberapa syarikat yang lebih 'kafir harbi', meletakkan syarat, "wanita dilarang bertudung", kerana kemodenan dan integriti dinilai dengan skirt paras paha dan kemeja sendat, buat pelaris niaga.

Di mana syarikat melayu yang berdaya saing?

Ada memang ada. Tetapi kita boleh mengira dengan jari.

Bukankah Allah janjikan bumi ini untuk umat islam?

Tetapi mengapa umat islam mundur?

Bukan sahaja kita mundur dari sudut agama. Dari sudut agama, memang kita dah dua ribu tahun kebelakang. Kita beragama islam, tetapi berperangan jahiliyyah. Kita menyembah Allah, tetapi juga mengangkat 'tuhan-tuhan' lain selain Allah.

Masjid kita lenggang daripada aktiviti. Jika ada yang mahu datang pun, cumalah segilintir orang tua sahaja. Orang muda nan sihat lebih aktif di taman-taman rekreasi, berpegang tangan dan bergelak tawa dengan kekasih haramnya.

Ulama-ulama kita yang diberikan kuasa pula lebih fokus tentang hukum tarian poco-poco, hukum main gitar, dan hukum berqasidah. Bahkan ada yang lebih tekun mahu mengampu pemerintah dengan fatwa-fatwa jahiliyyah seperti 'tiada jihad di Palestin, dan demonstrasi ialah amalan orang kafir'.

Padahal majlis-majlis seks di sekitar kota Kuala Lumpur yang disertai anak-anak menteri islam kita, usahkan disentuh.

Pusat-pusat perjudian Genting Highland yang menjadi medan hiburan ahli politik melayu kita, usahkan dipandang.

Ah, malangnya.

Benarlah kata seorang ulama,

"Orang kafir apabila mereka makin jauh daripada agama mereka, mereka menjadi semakin berjaya dan mulia. Ini kerana agama mereka ialah agama yang jauh daripada kebenaran. Penuh dengan khurafat, kepercayaan, adat-adat dan amalan-amalan yang tak masuk akal dan mengarut. Sedangkan umat islam, apabila mereka makin jauh daripada agama, mereka akan semakin gagal dan semakin hina. Ini kerana agama islam ialah agama kebenaran yang sempurna dan lengkap".

Melayu bila jauh daripada islam, maka sampai kiamat pun kita akan tetap menjadi pendatang di tanah sendiri.

ISMA, UMNO, PERKASA, JATI, dan juga PAS...beringatlah bahawa melayu tanpa islam, tak akan ke mana-mana.
      

Pemuda-pemuda aneh.

Pemuda-pemuda aneh.
Ada beberapa perkara yang membuatkan jemari saya terbenam atas papan kekunci.

Pemuda-pemuda tarbiyyah.

Pemuda-pemuda dakwah.

Pemuda-pemuda yang menjadi agen perubahan masyarakat dan negara.

Pemuda yang gharib. Yang sedikit. Yang terpinggir oleh dunia.

Hari ini dan semalam, berderet masuk di news feed Facebook saya perihal kematian seorang aktivis dakwah IKRAM. Akhi Iman. Sebelum ini saya langsung tak mengenalinya, tetapi oleh kerana berduyun-duyun kiriman doa yang dipanjatkan oleh rakan-rakan Facebook saya, maka dengan sendirinya Allah izinkan saya untuk mengenali seorang lelaki yang sayangnya, saya kenal hanya selepas dia meninggal dunia... dalam jalan dakwah inilah.

Jauh di sudut hati, saya kagum dan sedikit cemburu (ghibtah) kerana walaupun saya tak mengenalinya dan dia juga tak mengenali saya, saya tahu dia seorang muslim yang baik. Yang pemergiannya dari alam fana ini meninggalkan bekas yang mendalam di dalam hati para pemuda dakwah yang lainnya.

Hari ini dunia menyaksikan betapa umat islam ketandusan nilai yang baik-baik. Agama yang suci ini sendiri telah dipotretkan dengan gambaran yang salah.

Gambaran yang jelek itu muncul daripada hasil tangan musuh-musuh islam.

Dan gambaran yang salah itu juga hasil daripada kegagalan kita untuk memahami islam dengan sebenarnya. Umat islam sendiri bersalah dalam hal ini. Umat islam sendiri gagal memahami apa tujuaannya dia hidup atas dunia ini. Umat islam sendiri gagal untuk menjadi qudwah dan teladan kepada masyarakat.

Jadi tugas siapakah untuk memberi gambaran yang benar tentang islam? Tugas siapakah untuk merubah segala kekusutan ini?

Itu tugas kita. Setiap umat islam, daripada segenap lapisan jiwa. Cuma, para pemuda adalah tunjangnya.

Baik pemudanya, maka akan baiklah masyarakatnya.
Buruk pemudanya, maka akan buruk jugalah komunitinya.

Sebab itulah kita mahu membina pemuda-pemuda yang soleh, dan kesolehannya itu lengkap. Sempurna.

Kita tak mahu pemuda yang hanya soleh dalam ibadah. Solatnya, puasanya, sedekahnya, tetapi apabila berdepan dengan maksiat di depan mata, dia tidak berasa mahu mencegahnya.

Kita juga tak mahu pemuda yang hanya ada semangat untuk mengubah, tetapi jiwanya dan akalnya kosong dengan ilmu lalu tindak-tanduknya akan menyebabkan timbul salah faham yang baharu.

Kita juga tak mahu pemuda yang ibadahnya bagus, ilmunya bagus, tetapi kehidupan dunianya tidak terurus hingga menimbulkan persepsi yang buruk tentang dakwah yang dia bawa.

Kita mahu pemuda yang mendekati sempurna.

Ibadahnya kelas pertama. Akhlaknya kelas pertama. Urusannya dengan Allah sentiasa dijaga. Urusannya dengan manusia sentiasa sempurna.

Nah. Inilah peribadi yang mahu dilahirkan dalam tarbiyyah.

Bukannya tin-tin kosong yang melaungkan tentang perubahan, tetapi dalamannya kosong daripada taqarrub dengan Yang Maha Esa.

Bukan juga generasi yang merdu melantunkan qasidah, syair, nasyid, dan selawat tetapi tidak ada usaha untuk mengubah fasad-fasad yang ada atas dunia sekarang ini.

Sungguh,

Kerja agama ini sentiasa memanggil-manggil kita, para pemuda.

Allah menyeru kita ke darul salam,
Maka pelawaan apakah lagi yang lebih menggiurkan melebihi syurga yang kekal itu?

Ayuh berpenat-penat seketika, sebelum berehat selamanya.




Al-Asr

Al-Asr

Sejak zaman sekolah lagi, asal ada perjumpaan sahaja, pasti akan ditangguhkan dengan bacaan tasbih kafarah dan surah al-Asr. Selepas dekat sepuluh tahun, saya tak pernah mahu bertanya, "Eh, kenapa baca surah al-Asr ek? Kenapa tak baca surah al-ikhlas ke, surah al-kafirun ke, surah Yassin ke?"

Surah Yassin. Er, hafal ke?

Rupanya ada falsafahnya kenapa kita baca surah al-Asr selepas selesai perjumpaan kita. Iaitu refleksi masa.

(Saya pernah jumpa dalam kitab hadis, hadis tentang sunnah membaca tasbih kafarah selepas selesai satu-satu urusan atau perjumpaan tetapi belum lagi tentang membaca surah al-Asr. Mungkin memang ada tapi sebab saya ni cetek ilmu agama, saya yang tak berjumpa).

Demi masa.

Sungguh, manusia semuanya dalam kerugian. Kecuali orang berimam dan beramal soleh lalu mereka itu saling ingat-mengingati antara satu sama yang lain di dalam kebenaran dan kesabaran.

Memberi makna, jika hidup bukan atas dasar untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar, maka hidup ini sia-sia.

Jika hidup bukan untuk melakukan perkara yang benar, maka sia-sialah.

Jika hidup bukan untuk bersabar dengan ujian-ujiannya, maka sia-sialah.

Pernah seorang brader datang rumah saya, berbual-bual.

"Korang masa student inilah nak belajar buat usaha agama. Nak tuntut ilmu agama. Sebab bila korang dah kerja, dah ada anak bini, dah banyak komitmen, korang mesti akan tak mampu buat punya. Tapi kalau masa bujang kau dah boleh beri komitmen untuk dakwah dan agama, maka lepas kahwin pun insya-Allah, Allah akan berikan kau kekuatan untuk kekal dalam usaha agama ini. Lebih kencang lagi!"

Masa tu saya tak faham sangat. Jadi saya angguk, senyum, dan gelak (sebab brader tu gelak).

Tapi sekarang, saya sudah mula memahami.

Maha Suci Allah yang memberi hikmah kepada brader tadi untuk berkata suatu yang benar.

Saya belum kerja. Belum kahwin. Belum ada anak.

Tapi saya dah seakan-akan merasakannya. Kalau dulu boleh sangat nak istiqomah dengar kuliah maghrib, tapi sekarang ada masa-masanya, lepas solat sunnat saya terus kena balik rumah untuk study dan turun balik bila masuk waktu isyak.

Exam yang bertubi-tubi memang memaksa untuk kita bersikap adil dengan kewajipan-kewajipan kita.

Saya teringat pada satu ayat dalam al-Quran. Surah al-Qasas ayat 77. Allah kata kepada umat manusia,

"... dan janganlah kamu lupa akan bahagianmu di dunia..."

Ada beberapa pengajaran daripada sesi tadabbur ringkas bagi ayat ini.

Pertama, Allah nak kita fokus kepada akhirat. Sebab tu Allah seakan-akan memberitahu, "Kamu bekerjalah untuk kehidupan akhirat, tapi jangan lupa yang kamu juga ada bahagian untuk sisi dunia kamu".

Bahasa mudahnya seperti, "Kau ni kerja gigih sangat, tapi jangalah sampai lupa anak bini kau kat rumah tu"

Kita pula terbalik. Kita fokus gila-gila kepada dunia, dan kita seakan-akan perlu ditegur, "... kerja, kerja juga. Sembahyang jangan lupa".

Nampak tak? Sembahyang dah jadi subjek kedua (sekunder) sedangkan kerja jadi isu utama (primer).

Buktinya ialah berkenaan dengan masa berkualiti kita. Saling bertanya kepada diri masing-masing.

Di mana dan bagaimana kita habiskan masa berkualiti kita?

Ofis, bagi yang kerja pejabat.
Hangar, bagi yang kerja repair kapal terbang macam saya.
Sekolah, bagi yang masih belum ambil SPM.
Fakulti Sains, bagi yang masih belum bergraduasi.

Tapi Allah Maha Baik. Allah tak azab atas sebab itu. Sebab lihat dalam surah al-Jumaah, ayat 9, 10, dan 11, Allah kata bila diseru untuk solat maka tinggalkanlah segala urusan jual beli (bagi yang berniaga). Tujuannya apa? Untuk ingat Allah.

Lepas tu Allah kata lagi, bila dah selesai solat maka bertebaranlah untuk mencari kurnia-Nya atas muka bumi ini.

Inilah yang kita buat. Kita yang kerja ofis, yang kerja di tapak pembinaan, yang kerja bawa teksi, yang kerja dewan bandaraya, dan sebagainya... kita kena ingat bahawa Allah tak suruh kita blah macam tu saja. Tapi Allah suruh kita ingat kepada-Nya, supaya kita beruntung.

Untunglah. Sebab kalau tak ingat Allah, maka kita akan buat benda-benda haram masa bekerja. Bila banyak dosa, maka banyaklah penyesalannya.

"... jangan lupa bahagianmu di dunia..." juga isyarat bahawa islam memahami kebutuhan (kalau terjemahan bahasa indonesia; keperluan) manusiawi kita. Kita perlu ketawa. Kita perlu bertenang. Kita perlu berehat. Kita perlu bergurau. Kita perlu senyum. Kita perlu tidur.

Kita perlu main game (eh! itu saya sahaja kut. Hehe).

Dan seumpamanya.

Tapi kena faham. Benda-benda tu semua ialah untuk portion yang sangat sedikit. Sebab matlamat kita ialah akhirat. Tapi benda yang tak haram, yang kita suka... tidaklah dilarang selagi tidak melalaikan dan menyesongkan.

Saya sendiri masih main game. Tapi satu jam main, saya dah rasa puas dan seronok. Anehnya, ada orang yang main berjam-jam tapi tak puas-puas lagi. Akhirnya, setiap kerja tertangguh dan tak menjadi.

Ish... ish...

Mungkin ia ada kena mengena dengan keberkatan masa. Masa yang Allah beri pada setiap orang adalah sama. Semua orang dapat 60 saat dalam seminit dan dapat 60 minit dalam sejam. Tetapi ada orang yang boleh buat sesuatu dalam satu jam, yang orang lain buat benda yang serupa tetapi berjam-jam.

Jadi kita kena selalu doa kepada Allah supaya Allah beri kita keberkatan waktu.

Kalau tak silap saya, Imam Syafie rahimahullah (kalau saya silap sila betulkan), pernah berkata: "Masa itu umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu".

Nampaknya kita bukan lagi telah dipotong, tapi telah menjadi daging kisar kerana dicincang-cincang oleh masa, kerana banyaknya masa yang telah kita bazirkan.

Ayuh kita beristighfar untuk kesilapan dan kesalahan kita yang berlalu.

Dan sama-sama kita berazam, selepas ini kita akan lebih memanfaatkan masa kita dengan cara melakukan apa-apa yang mendekatkan diri kita dengan Allah S.W.T