'Drama King'

'Drama King'
Beberapa minggu lepas, dalam satu pertemuan dengan adik-adik, salah seorang daripada mereka bertanya, "Apa pendapat abang tentang dua golongan manusia ini, yang golongan pertama ialah golongan yang suka solat berjemaah, suka baca al-Quran, suka buat amal ibadah tapi hilang sensitiviti dalam agama. Bila solat, baca Quran... tak ada apa-apa kesan bagi dia. Dan apa pendapat abang tentang golongan kedua yang jarang-jarang solat berjemaah, jarang-jarang baca al-Quran tapi bila mereka beribadah, hati mereka sangat terkesan"

Lama saya terdiam hingga muka adik tadi berubah payau sedikit. Mungkin dia bimbang saya tak menyukai soalannya. Tak. Saya cuma berfikir, dan terus berfikir. Rumitnya soalan ini.

Pertamanya, apa yang dimaksudkan dengan hilang sensitiviti dalam agama?

Adakah, dengan banyak perilaku buruk-buruk? Banyak terlibat dengan benda langha? Banyak terlibat dengan perkara melalaikan seperti mengata orang, mengumpat orang, dan mengosipkan orang? Adakah hilang sensitiviti itu kerana mengagung-angungkan hiburan yang tak sihat?

Jika maksudnya begitu, saya sekeras-keras mengiyakan. Memang selama ini, saya perhatikan ramai manusia yang begini. Dia rajin ke surau. Dia rajin membelek mushaf, tapi dia juga rajin ketawa mengekek bila mengata orang. Ironis bukan?

Dan saya pasti, sedikit sebanyak keburukan ini ada pada kita kerana kita sama sekali tak pernah sempurna.

Saya suka mahu menegaskan dan memperingatkan diri saya sendiri khususnya, bahawa sifat solat yang sempurna ialah ia dapat menjadi satu pagar yang memisahkan diri kita daripada kelakuan keji dan juga perbuatan-perbuatan mungkar.

Banyak solat, banyak puasa sunat, banyak baca al-Quran... tapi mungkin sahaja Allah belum terima amal mereka. Sebab jika amal itu diterima, kesannya kita boleh nampak. Paling jelas pada peribadi. Sebagai contoh, dalam bab haji. Kita sering didoakan supaya memperolehi haji yang mabrur. Tapi mabrur itu bagaimana? Adakah dengan selepas pulang ke tanah air, kita kembali kepada sikap kita yang seperti siamang itu? Bukankah tanda-tandanya ialah kita berterusan dalam kebaikan, sebagaimana kita di tanah suci dahulu.

Inilah yang dia tandanya amal yang diterima Allah- Allah melorongkan hati dan jiwa kita untuk sentiasa istiqomah dan berterusan di dalam ketaatan.

Saya juga akan mengatakan bahawa tak semestinya orang yang banyak solat sunat, banyak puasa sunat, dan banyak beramal itu sebagai baik dan orang yang kurang amal itu sebagai tak baik. Saya tak kata.

Kerana kita berada di zaman akhir, yang banyak benar fitnah. Banyak benar tribulasi dan mehnah pada kesihatan iman kita.

Ada orang yang terselamat bukan kerana dia punya iman yang kuat pun, tapi terselamat kerana dia tak terdedah dengan angin jahiliyyah. Ada orang yang umpama lalang, meliuk-liuk dipukul jahiliyyah bukan kerana tak ada iman, tapi kerana dia tak cukup kuat sahaja. Tapi orang begini adalah lebih baik kerana dia merasai nikmat taubat. Dia juga merasai nikmat penyesalan.

Jika kita telusuri sejarah, kita lihat Fudhail bin Iyyad juga pernah punya sejarah hidup yang kelam. Dalam sebuah kisah hidupnya, dia ialah seorang samseng. Dia suka mengganggu orang di jalanan hingga para penduduk berasa takut untuk melalui jalan itu sekiranya ada Fudhail di hadapan. Sanggup mereka berpatah balik dan mencari jalan alternatif. Lihat, betapa dahulu Fudhail ini sangat tidak disukai masyarakat.

Satu hari, dalam kebiasaannya mengganggu orang, dia memanjat rumah orang. Dan pada satu rumah itu, ada seorang wanita cantik yang sedang membaca al-Quran. Isi rumah itu sedang membaca ayat ini:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ 

"Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk dan tunduk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik" (al-Hadid ayat 16)

Lalu merembeslah keluar air mata Fudhail Bin Iyyad. Bibirnya merintih, "Ya Allah. Telah tiba masanya. Telah tiba masanya". Lalu dia bertaubat- taubat nasuha. Taubat sungguh-sungguh hingga tiada lagi daki jahiliyyah yang merintik. Semuanya diseka, semuanya dicuci dengan amal soleh dan pembaikian diri.

Itu suatu kisah yang sangat menakjubkan. Orang yang paling buruk, Allah pusing sedikit sahaja hatinya lalu dia berubah menjadi orang yang paling baik! Allah beri dia mendengar satu ayat al-Quran sahaja, dan hatinya terus sahaja berubah paksi. Sedang kita? Setiap sebulan khatam sekali bacaan al-Quran, tapi adakah ia benar-benar meninggalkan bekas dalam hati kita? Atau adakah kita membaca al-Quran, hanya wayang sahaja? Satu sandiwara menipu untuk menimbulkan titik-titik kekaguman dalam hati orang lain- kononnya aku lebih baik dari kamu.
Saudaraku. Suka saya saya mengingatkan tentang iblis. Dahulu, dialah penghulu semua malaikat. Dahulu, dialah ketua segenap ketaatan. Dahulu, dialah makhluk yang paling soleh. Tapi kerana satu keingkaran sahaja, Allah hinakan dia. Semasa Allah memerintahkan segenap malaikat untuk tunduk hormat (sujud) kepada Nabi Adam a.s, iblis enggan. Iblis ingkar! Kerana apa? Kerana dia merasakan dirinya adalah lebik baik daripada nabi Adam. Dia diciptakan daripada api, sedang Adam diciptakan dari tanah.

Hati-hatilah. Ada dua punca utama orang menjadi takbur. Pertama, kerana ilmunya dan kedua kerana amalnya. Mungkin kerana amal dia banyak, dia jadi hilang sensitiviti. Ada orang meminta-minta, dia rasa tak terpanggil untuk membantu. Jika ada orang perlukan nasihat, dia akan mencemuh dan mengherdik orang itu dahulu. Mungkin juga jika ada orang yang meminta tolong, dia akan berdolak-dalih.

Dan paling jelas, dia tak akan dapat menerima nasihat jika orang yang menasihatinya itu ialah orang yang lebih kebawah darjatnya berbanding dia, iaitu orang yang tak sehebat dia dalam beramal. 

Bukankah dahulu pernah berlaku satu kisah antara dua orang bani Israel. Satu orang alim, warak. Satu orang lagi fasik, bermaksiat. Ditakdirkan Allah, kedua-dua mereka ditemukan di satu jalan. Lelaki warak menarik wajahnya daripada memandang si fasik dan lelaki fasik itu menoleh ke arah lain- daripada memandang wajah si alim tadi. Tapi atas dasar apa?

Lelaki warak itu enggan memandang wajah lelaki fasik itu kerana lelaki itu terlalu banyak dosanya. Tiada langsung ketaatannya. Dan hatinya menyumpah seranah orang itu. Menyampah sungguh! Mual!

Manakala lelaki fasik dan banyak bermaksiat itu lain pula ceritanya. Dia menarik muka bukan kerana benci tapi kerana malu. Hatinya tak henti-henti mengeluh kesal, "Lelaki itu tak pernah buat maksiat. Setiap saat dia beramal soleh sedangkan aku tak pernah melakukan ketaatan"

Lalu apa Allah buat? Allah muliakan lelaki fasik ini berbanding lelaki alim tadi. Kepulan awan di langit memayungi lelaki fasik tadi. 

Inilah jawapan saya kepada adik saya itu. Secara tuntas, saya dan dia bahkan semua kita wajib berjaga-jaga. Bimbang-bimbang ada secebis takbur tertanam dan bermukim dalam jiwa hingga menjadikan kita berasa gah dan sombong hingga pada hilang sensitiviti dalam beragama.

Maka jika itu berlaku, kita sudah menjadi 'drama king'.

Tahniah.

********
Saya sebenarnya tak berpuas hati dengan jawapan bagi soalan adik ni. Walaupun dia senyum tanda puas hati, tapi saya tidak. Jadi saya harap kalian yang punya pendapat atau penerangan lanjut, silalah kongsikan di ruangan komen ya.

Terima kasih. Moga Allah merahmati kalian dengan rahmat yang melimpah ruah.
  

Untukmu, puteri...

Untukmu, puteri...
Puteri,
Pernah makan ubat tak? Mesti pernah kan? Dulu masa puteri kanak-kanak, mak puteri mesti suapkan puteri ubat. Lucu pula membayangkan masa-masa dulu tu. Mesti masam saja muka puteri kerana dipaksa untuk telan ubat, kan? Tak apa. Saya faham puteri. Saya dulu pun macam tu juga; tak suka makan ubat. Pahit!

Yalah puteri. Kita punya pandangan yang sama. Ubat memang selalunya pahit, tak sedap dan kita pun tak suka. Tapi puteri, pahit-pahit ubat pun, ia penting dan ia bernilai.

Puteri,Tujuan saya menulis surat ini pun sama. Saya nak memberi 'ubat'. Saya tahu ia 'pahit'. Saya tahu puteri pun tak suka. Tapi puteri... kita kan sama-sama setuju yang pahit itu menyembuhkan. Jadi saya harap sangat puteri tak melenting. Baca, fikir, dan bertindak.

Puteri,
Allah berfirman dalam ayat 5 surah At-Tin: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dala bentuk yang sebaik-baiknya". Ayat Allah ini sangat betul puteri. Pada diri puteri, tiada yang tak cantik. Tiada yang tak indah. Tiada yang tidak menawan. Semuanya memikat. Sungguh!Tapi puteri, dalam ayat yang lain, Allah juga berkata: "Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh".

Puteri... saya tak bermaksud untuk mengatakan puteri itu 'rendah'. Tidak sama-sekali. Tapi puteri kena ingat, Allah kata kita ni 'rendah', tak cantik, tak indah, bahkan hodoh, bodoh, hina, dan jijik jika kita tak taat kepada Dia.

Puteri sayang,
Allah benar-benar Maha Pencipta Yang Agung. Ciptaannya sempurna. Buktinya jelas terpampan dan terpasung pada diri puteri sendiri. Puteri indah, cantik. Tapi atas dasar apa cantik itu? Atas tujuan apa jelita itu? Dan untuk apa diciptakan oleh Dia, dirimu yang indah? Untuk suka-sukakah? Saya rasa tidak. Untuk semudah petikan jari, keindahan itu dipertontonkan kepada semuakah? Saya yakin bukan. Untuk sebuah senyum jengkel, keindahan garapan Dia pada batang tubuh puteri dinikmati dengan khianat oleh mata-mata manusia? Sudah tentu bukan!

Lalu, kenapa Dia jadikan puteri sangat jelita? Sangat indah? Sangat menawan? Dan sangat mengiurkan? Jawabnya: "La'allakum tashkurun". Mudah-mudahan puteri bersyukur.

Puteriku,
Boleh tak jika kita berbicara sedikit tentang aurat? Saya tahu puteri jemu. Saya faham puteri bosan. Iyalah. Sudah ramai yang 'menghentam' orang-orang macam puteri kan? Orang yang 'free-hair', orang yang berpakaian singkat, orang yang bergaya seksi. Kata mereka, orang-orang macam puteri inilah yang bakal memenuhkan neraka. Sedihnya saya. Tak patut langsung mereka kata begitu. Adakah mereka itu bukan calon ahli neraka? Hingga mereka celupar sangat nak kata puteri begitu! Maafkan saya puteri. Saya kecewa dan tumpang bersedih.

Tapi tak apa. Puteri dengar dahulu apa saya nak cakap ni. Berlapang dadalah. Saya tak mencaci, jauh sekali membenci. Tapi kerana saya sayang, kerana saya kasih, dan kerana saya ambil peduli, saya sertakan diri puteri untuk sama-sama duduk di 'meja bulat' ini, bersama bercakap tentang aurat.

Puteri, bagaimana ya saya mahu bermula?

Mungkin petamanya saya patut benar-benar meminta maaf. Saya akui saya tak bijak. Saya akui juga saya tak cukup kretif dan berhikmah dalam berkata-kata. Tapi saya pohon benar, tiada sedikit luka pun saya tinggalkan dalam hati puteri yang indah itu. Tiada.

Puteri, kita sama-sama mengakui bahawa aurat bagi wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Setuju? Kerana kita bermazhab Syafie, maka kita yakini seluruh tubuh yang kecuali bahagian wajah dan pergelangan tangan ialah aurat. Lalu, daripada rambut hinggalah ke hujung kaki, selain daripada dua anggota zahir itu, wajib bagi puteri untuk menutupnya. Setakat ini masih boleh bersetuju?

Oh, apa dia? Kaki?
Ya. Kaki juga aurat puteri. Tapi tak apa. Kita fokus dahulu kepada perkara pokok.

Puteri mesti ada kawan-kawan wanita yang solehah, yang baik-baik kan? Tengok apa yang mereka pakai? Tubung labuh, jubah, stokin tangan, dan sarung kaki. Itu biasa bagi mereka. Tapi mungkin puteri tak tahu, selain mereka, ada juga satu golongan lagi yang bertudung. Mereka tidak menampakkan keindahan rambut mereka, tapi hanya itu sahaja yang mereka simpan.

Kecantikan batang tubuh mereka dibiarkan 'diratah' oleh nafsu serakah golongan pria. Bagi puteri, betul tidak orang macam ini?

Betul? Kenapa puteri kata betul? Oh... sebab kawan-kawan puteri yang baik-baik tu cakap kalau tak pakai tudung, berdosa masuk neraka. Iya?

Betullah tu puteri, tapi tak tepat. Puteri kena ingat satu; aurat wanita bukan semata-mata rambut. Tak pernah termaktub dalam mana-mana bahagian dalam agama, bahawa jika wanita sudah bertudung, bermakna aspek aurat dia sudah selesai. Tak ada puteri. Kata-kata sahabat puteri tadi tu tak tepat.

Yang masuk neraka bukan hanya orang yang tak bertudung, tapi orang yang berpakain mendedahkan keindahan batang tubuh, itulah yang paling layak dahulu. Tak kiralah dia bertudung atau tidak, labuh atau singkat... asal saja sisi penampilannya menggeletek nafsu lelaki, membangkitkan ghairah lelaki tanpa dia sendiri sedar, maka dia lebih patut ke neraka.

Maaf. Saya bukan nak menakut-nakutkan tapi hakikatnya memang begitu. Islam yang datang daripada Rasulullah ada dua elemen; 'basyiran' wa 'naziran', berita gembira dan peringatan. Saya cuma menyampaikan peringatan.

Puteri, pada diri orang yang tak bertudung, memang dia berdosa pada Allah. Tapi bagi yang berpakaian ketat dan mendedahkan keindahan tubuh badan, dia berdosa dua kali ganda. Lebih-lebih lagi, yang bertudung tapi berpakaian ketat, dia berdosa bahkan berganda-ganda!

Atas dasar apa saya bercakap begini? Sembereno? Tidak...

Cuba puteri ingat balik, apa tujuan Allah mewajibkan wanita berjilbab. Kita sama-sama rujuk surah al-Ahzab ayat ke 59: "Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak gadismu, dan isteri-isteri orang mukmin; "Hendaklah kamu menutup jilbabnya keseluruh tubuh mereka", kerana yang demikian itu agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang"

Apa yang puteri dapat ambil pengajaran? Kita sama-sama lihat tujuan jilbab itu- "...agar mereka itu lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak akan diganggu..."

Ya. Itu tujuannya. Ada yang kata, tak bertudung membangkitkan nafsu. Benarkah kata-kata mereka ini? Betulkah dengan hanya tunjuk rambut, nafsu lelaki akan bergelojak? Mungkin pada kes-kes yang kritikal, lelaki 'gila' teroleng-oleng. Tapi bagi lelaki yang kebanyakan, dan yang majoriti lagi normal, setakat nampak rambut, nafsu ini belum lagi terdorong untuk penzinaan.Tapi jika batang tubuh itu dibiarkan ditampal dengan benang, atau dibiarkan dilekatkan dengan fabrik halus, ya. Itu memang satu ancaman pada nafsu. Ia benar-benar membuka ruang kepada zina. Atau yang lebih kita takuti, ia membuka ruang kepada jenayah rogol.

Puteri kena ingat, Allah jadikan puteri sebagai makhluk yang cukup indah. Cukup cantik. Setiap inci tubuh puteri ibarat kilauan mata Medusa; yang mengikut kepercayaan Orang Greek lama, jika kita memandang kilaun mata Medusa, kita akan keras dan menjadi batu. Samalah! Jika sekali lelaki terpandang keindahan batang tubuh puteri, mereka akan membatu. Susah untuk mengalihkan pandangan kerana nafsu sudah menguasai dimensi sedar. Kerana itu saya minta puteri berhati-hati. Kita hidup di zaman yang serba tak kena. Tak ada orang baik di sini. Jika mahu selamat, sama-sama patuh pada solusi yang Allah tetapkan. Puteri kena tutup aurat, dan kaum lelaki seperti saya pula perlu menjaga kehormatan kaum wanita seperti puteri.

Kerana itulah saya tak pernah tergesa-gesa menyuruh orang bertudung. Sebaliknya, saya suka kalau puteri dan kawan-kawan bermula dengan memakai pakaian yang sopan-sopan. Takrif sopan bagi saya ialah yang longgar, yang labuh, yang tak menayang bentuk badan, terutamanya pada bahagian dada. Contoh pakaiannya ialah baju kurung.

Sedikit demi sedikit, bertukarlah kepada tudung. Saya tahu puteri suka berfesyen dan bergaya. Tak jadi masalah jika tak melampau batas. Bukankah kita orang islam ada batas-batasnya? Puteri bebas mahu menggayakan tudung. Tak pernah jadi kesalahan untuk bergaya asal saja prinsipnya tak digadai. Apa dia prinsip itu?Yang ini penting. Sangat penting. Prinsip bertudung ialah untuk mempamerkan identiti seorang muslimah.

Kerana itu saya kecewa dengan gadis yang bertudung tapi terlompat-lompat, terjerit-jerit, dan terjerut bila bertemu artis. Kerana itu juga saya sedih dengan gadis bertudung yang bercengkerama, berpegangan tangan bahkan sudah membintangi klip-klip video telefon bimbit dengan aksi ghairahnya. Saya pernah menangis juga. Adakah ini muslimah?

Muslimah wajib ada identiti!

Makanya, orang yang begini dosanya ada bonus- iaitu mendatangkan fitnah kepada agama. Puteri masih ingat tidak dahulu, pernah ada kes video seks guru agama tersebar. Kononnya bertudung labuh, tapi berzina dengan teman lelaki. Ramai yang mengeluarkan kenyataan bersifat mengeji, menghina dan marah. Berang. Tapi semuanya dibuat atas perkiraan emosi. Benar kita marah. Benar kita kecewa. Tapi kita tak pernah nak bersoal jawab, menyelidik kenapa gadis bertudung labuh pun tercampak ke kancah zina.

Jawabnya mudah puteri. Hari ini zina bukan lagi pintu pada aurat yang terbuka, tapi ia juga kerana pergaulan yang tak ada sisi penjagaannya. Lelaki dan perempuan, tak kiralah bertudung atau tidak, jika ia sudah mula melebihi batas-batas dan disiplin-disiplin yang ditetapkan, maka sama-sama mereka bertiga; bersama syaitan, merangkak ke pintu zina dan mungkin ia akan membuka pintu kebinasaan yang lebih besar iaitu pintu nereka.Cuma beza antara bertudung, berpakaian ketat, dan pergaulan bebas ialah pada tahapannya.

Puteri tak perlu tergesa-gesa bertudung, tapi puteri cuma perlu segera melindungi keindahan batang tubuh. Puteri juga tak perlu terkejar-kejar membuang atau menyorokkan pakaian-pakaian yang seksi dan mendedahkan batang tubuh, sebaliknya yang paling penting ialah puteri kena menanam batas atau pagar pada perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Benar dia kawan kita. Benar dia teman lelaki kita. Dan benar, dia tunang kita. Tapi prinsip tetap prinsip. Jangan gadaikannya.

Dan akhir kata, saya tegur kerana sayang. Ya, kerana sayang. Jangan puteri marah, jangan puteri meradang. Kita sama-sama menelan ubat. Kita sama-sama merasa pahit. Tapi untuk hari esok yang lebih sihat, biar kita sama-sama menelan.

Salam takzim,
Hatimu.
 

Musibah dalam tarbiyyah?

Musibah dalam tarbiyyah?
Tahukah anda apakah musibah yang paling berat bagi seorang yang mengaku dirinya pendakwah?

Bagi saya, musibah yang paling besar itu ialah bilamana dirinya sudah lagi tidak memeluk bimbingan wahyu. Setiap kata-kata, setiap perbuatan, setiap contoh yang dipertonton, bahkan setiap derap langkah dan hembusan nafas... semua sudah tidak dilorongkan oleh panduan wahyu. Sebaliknya, semua itu dipacu oleh kemampuan akal yang terbatas bahkan sesekali digelincirkan pula oleh nafsu. Itu musibah terbesar! Setidak-tidaknya, bagi saya.

Dakwah ialah tugas paling mulia.

Mengapa saya berkata demikian? Kerana semua rasul daripada Nabi Adam yang memulai, hinggalah Nabi Muhammad sebagai penutup kenabian, semua mereka melaksanakan dakwah. Bahkan semua sahabat Rasulullah juga melakukan dakwah. Dapat kita simpulkan bahawa berdakwah ialah suatu kewajipan yang dituntut kepada semua manusia tapi berbeza tahapannya mengikut individu itu sendiri.

Dari mana wujud perbezaan tahapan ini?
Banyak. Antaranya ialah pada kedudukan sosial, dan paling asas... ia berbeza kerana faktor tarbiyyah.

Baiklah. Kita tinggalkan dahulu topik ini. Sebaliknya kita tumpukan dahulu kepada aspek tarbiyyah. Tarbiyyah itu apa? Dalam bahasa yang mudah untuk difahami oleh orang umum, tarbiyyah itu didikan; bagaimana kita mendidik diri sendiri dan orang lain untuk memahami islam. Inilah yang saya cakap pada permulaan tadi. Tarbiyyah ialah cara kita berinteraksi dengan wahyu; al-Quran dan hadis nabawi.

Makanya, bagi orang yang melalui jalan tarbiyyah... diri mereka harus ada perbezaan dengan orang awam. Ya. Jika dilihat kepada sahabat nabi dengan orang arab jahiliyyah, kita sendiri boleh melihat perbezaannya. Jika anda meragui pernyataan saya ini, maka rujukilah sirah. Ada satu kisah yang berkait dengan seorang sahabat nabi yang bernama Abu Dzar ra. Suatu ketika, Abu Dzar tanpa sengaja telah memarahi hamba sahayanya yang berkulit hitam dengan perkataan 'hitam' yang melambangkan perkauman (rasist). Perkara itu sampai pada pengetahuan Rasulullah lalu baginda berkata kepada Abu Dzar ra, "Sesungguhnya sisa-sisa jahiliyyah masih bermukim dalam dirimu". Lalu Abu Dzar tersedar dan langsung bertaubat atas perbuatannya yang membayangkan dirinya masih bersisa dengan jahiliyyah.

Saya kira ini jelas. Orang yang mengikut jalan tarbiyyah sebagaimana yang pernah dimulai oleh Rasulullah kepada sahabat Baginda, patutnya punya perbezaan yang ketara dengan orang jahiliyyah yang tak mengikut jalan tarbiyyah. Tapi hari ini, kita sama-sama bersedih. Mengapa?

Bila masuk bab hiburan, tarbiyyah atau tidak... sama sahaja.
Bila masuk bab bola, tarbiyyah atau tidak... sama sahaja.
Bila masuk bab k-pop, tarbiyyah atau tidak... sama sahaja.

Di mana perginya sensitiviti kita?

"Cerita tu baguslah! Ada nilai-nilai dan mesej-mesej yang baik"

Ini komen seorang 'pelajar Universiti tarbiyyah' kepada satu filem tu. Katanya, ada mesej yang bagus. Tapi malangnya, mesej yang baik itu cuma kurang lima minit sahaja daripada dua jam yang panjang itu. Sebaliknya, babak-babak ranjang adalah lebih banyak dan panjang. Tidakkah orang yang ditabiyyah harus rasa terhina bila ada sebuah filem yang begitu; memasukkan yang batil dengan haq- memanipulasi haq, hingga menjadikan kebenaran itu kelihatan tempang!

Patutnya orang yang ditarbiyyah ajak kawan-kawan supaya jangan tengok, tapi sekarang... orang yang ditarbiyyah pula 'banyak masa' untuk bersedap-sedap dengan nafsu.

Sedih! Itu baru satu. Bagaimana pula dengan orang yang belajar al-Quran, yang bercakap tentang dakwah dan tarbiyyah tapi terkejar-kejar pada artis-artis? Mereka tak ada ekor. Mereka bukan monyet, tapi mengapa orang yang mengikuti jalan tarbiyyah mahu menjadi ekor mereka!

Ya. Saya tahu anda meminati mereka, tapi jangalah tergedik-gedik. Orang lain menjerit-jerit, takkan kita nak sama menjerit? Kalau orang lain nak bermandikan api, takkan kita nak mandi dengan api juga, jadi sama-sama terbakar? Begitu?

Di depan kaca televisyen pun sama juga. Masa menonton perlawanan bola sepak. Orang lain memaki hamun pemain di tengah padang yang gagal menjaringkan gol, kita pun sama memaki hamun! Macam-macam kita jeritkan, kita marahkan, dan kita lemparkan. Semacam kita tak ditarbiyyah; tak dididik dengan agama pula!

Bacalah dengan mata hati. Saya bukan menzahirkan kesedihan, tapi saya cuma menzahirkan kerisauan. Risau, kerana Allah berfirman dalam ayat 38 surah Muhammad;


"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian - kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ALLAH AKAN menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu"

Kalau kita yang ditarbiyyah ini pun tak mahu serius menolak jahiliyyah, maka Allah tak rugi. Tapi kitalah yang rugi. Kita menanam janji pada setiap minggu, dalam setiap halaqah, dalam setiap liqo' untuk berjiran di syurga tapi selepas beberapa saat kita berlepas diri daripada pertemuan itu, kita kembali mendampingi jahiliyyah.

Tapi jangan risau. Agama ini tetap akan menang. Cuma risaulah tentang nasib kita di akhirat kelak.

Bagaimana?
Dah tahu dimana tamayyuz kita?