NFBZ : Kredibiliti di sebalik perbezaan pendapat.

Saya percaya, kredibiti ialah suatu yang subjektif. Maka, atas sebab itu jugalah saya rasa bertanggungjawab untuk membela diri saya.

TEKA-TEKI- Ibarat sebiji kek. Kamu semua makan semua. Hanya tinggalkan kepada kami, sisa-sisanya sahaja. Dengan sisa-sisa inilah kami semua berebut-rebut meneruskan hidup. Lalu, apabila kamu rasa kamu hampir jatuh, kamu ungkit-ungkit kembali tentang sisa-sisa ini. Kata kamu, kami manusia yang tak tahu syukur. Sudah diberi sisa pun masih mahu bising.

Soalan: siapa 'kamu' itu. Jangan jawab disini. Sila PM (private message) saya :)
Saya susah hendak percaya yang kata-kata saya sebegitu mengundang tafsiran yang bereda-beda. Biarlah, itu satu indicator bahawa saya tidak sempurna.

Begini. Saat saya search perkataan 'pemimpin' di dalam al-Quran, saya bertemu dengan paling kurang, 38 ayat yang menceritakan tentang pemimpin. Dalam 38 ayat yang berbeza-beza itu, saya jatuh cinta dengan banyak ayat. Antaranya ialah dari dalam surah al-Maidah ayat 57.

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan sebagai pemimpin kamu..."

Gulp!!

Sekilas, ayat itu merujuk kepada seseorang yang sangat hampir dengan kita. Saya terfikir, adakah orang-orang yang mengatakan 'potong tangan bagi pencuri itu kejam' itu melafazkan bukan kerana dia main-main?

Kalian boleh bersangka baik. Tapi ingat. Bersangka baik bukan bererti membutakan mata. Bersangka baik, bukan bererti memperbodokan diri sendiri!

Apakah orang-orang yang mengatakan, 'wanita muslim yang enggan bersentuh kulit dengan lelaki ajnabi adalah tidak bertamadun dan tidak sopan' itu bukan mempersendakan hukum?

Jika itu yang kalian fikir, terpulanglah. Tetapi yang saya pasti, setiap orang tahu hatta kanak-kanak di bangku sekolah rendah juga tahu bahawa muslim tidak boleh bersentuh-sentuh sesuka hati.

Apa maksud saya dengan 'teka-teki' itu?

Kali ini, izinkan saya menyampaikan sebuah cerita.

Ia adalah cerita seorang manusia yang disambar api neraka yang menyala-nyala. Orang itu merintih. Kasihan. "Aduh... alangkah baiknya kalau-kalau aku dan kerabat-kerabat aku dahulu taat kepada Allah dan taat juga kepada Rasul". Orang itu sendu-sendan meratapi balasannya. "Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mentaati para pemimpin dan pembesar kami, tapi mereka menyesatkan kami daripada jalan yang benar. Oleh itu Ya Allah, timpakanlah kepada mereka azab yang dua kali lipatan (berganda-ganda) dan laknatlah mereka dengan laknat yang besar".

Barangkali, orang itu ialah kita. Mungkinkah?

Sila selak surah al-ahzab ayat 66 hingga 68.

Satu lagi kisah yang wajar kita hayati diselit dalam surah Sad ayat 59.

(Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): " Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu ". (Ketua-ketua itu berkata): " Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka ".Mendengarnya, pengikut-pengikut mereka itu pun menjawab: " Bahkan kamulah yang tidak perlu dialu-alukan, kerana kamulah yang membawa azab sengsara ini kepada kami, maka amatlah buruknya neraka ini sebagai tempat penetapan ".

Astaghfirullah...


Bulu roma saya meremang saat membaca kisah-kisah tentang neraka. Saya takut neraka, tapi saya aneh... walaupun begitu buruk tempat itu, ramai sungguh manusia yang tidak secebis pun diburu rasa takut itu.

Print Screen.

Saya minta maaf, jika dengan wujudnya artikel ini, kredibititi dan dignity saya sebagai penulis semakin tercalar. Saya sebenarnya mahu mewujudkan dua situasi dakwah. Yang serius dan tegas (di blog) dan yang santai (di Facebook). Alasan saya mudah. Saya tidak mahu orang-orang yang ramai berasa canggung dengan saya.

Ah, saya bukan terrorist apatah lagi extremist. Saya membawa mesej keamanan. Di tangan saya ialah obor persaudaraan. Dan wajarlah saya mengatakan, pemahaman kita di tahap yang berbeza-beza. Namun begitu, saya tetap yakin bahawa ada sebuah teknologi bernama 'private message' yang membantu kita untuk menghayati perbezaan pendapat (lebih tepat, kesilapan kita dalam memahami).

Apapun, ia cukup untuk menjadi pengajaran bagi saya agar bersikap lebih berhati-hati.

Dan akhir, saya yakin akan ada yang berfikiran sempit mengatakan ini adalah artikel politik. Tidak. Ini adalah artikel agama. Saya ulang. Ini ialah artikel agama.


Minoriti; aku benar-benar rindukan saat itu!

Minoriti; aku benar-benar rindukan saat itu!
Bagaimanakah rasanya menjadi minoriti?

Menjadi minoriti dalam institusi pengajian.

Menjadi minoriti dalam organisasi pejabat.

Bahkan, menjadi minoriti di bawah bumbung rumah sendiri.

Rasanya bagaimana?

Ia adalah satu perasaan yang tidak enak. Ya, saya pasti semua orang tidak menyukainya.

Tetapi, minoriti yang saya maksudkan itu bagaimana?

Ia berkisar tentang soal agama dan penghayatan di sebalik nilai-nilai agama.

Jika di kelas, mungkin anda yang minoriti ini akan disisihkan. Suara anda tenggelam. Buah fikiran anda ditolak. Atau mungkin, telinga anda akan sentiasa panas menerima ejekan dan sindiran-sindiran?

Dalam organisasi, mungkin anda akan diberikan layanan yang buruk. Mungkin juga anda tidak mendapat faedah-faedah yang seharusnya anda juga dapat. Atau mungkin setiap hasil kerja anda akan ditolak, atau diterima pun, hanyalah selepas dimaki dan dibebel panjang lebar.

Di rumah sendiri, itu paling perit. Syukur, saya tidak berpeluang merasai, tapi saya mendengar dari banyak sumber dengan lafaz yang pelbagai.

Layanan ibubapa yang double-standard lah...

Adik-beradik yang bersikap dinginlah..

atau mungkin, di herdik dengan terang-terangan dan terus-terusan?

Segalanya berpunca dari sebab yang satu- MINORITI

Saya simpulkan bahawa hampir kesemua bentuk tekanan yang diterima oleh golongan ini ialah kepada mental mereka. Fizikal, kebanyakannya tidak diusik. Sedikit pun tidak dicuit. Yang dirobek-robek, ialah emosi mereka.

Saya suka mengulang-ulang kata-kata ini; "Jangan bercakap tentang perjuangan kalau takut dengan implikasi"

Ya, menjadi minoriti bukan bererti kita tenggelam!

Saya tertarik dengan satu kisah yang diselitkan di dalam al-Quran. Oh! Dua kisah sebenarnya.

Kisah pertama ialah berkenaan Bani Israel yang dizalimi oleh Jalut dan tenteranya. Mereka berdoa supaya Allah mengirimkan seorang untuk memimpin mereka. Orang itu ialah Thalut. Sejak dari awal, mereka berbantah-bantah dengan pelantikan Thalut sebagai ketua, sedangkan itu ialah perintah daripada Allah. Dengan sisa amarah dan berat hati, berangkatlah sebilangan daripada mereka untuk berperang dengan Jalut. Ujian demi ujian Allah turunkan untuk menguji iman mereka. Salah satu ujian yang menggagalkan ramai manusia ialah ujian 'ketahanan iman'. Hanya sebilangan kecil sahaja yang kental hati mereka, taat pada perintah Allah. Lalu, dengan sebilangan kecil inilah Allah mengurniakan kemenangan. Yang paling indah, al-Quran ada menitipkan kata-kata segelintir orang yang beriman itu; "Betapa banyak kelompok kecil yang mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah! Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar."

Kisah itu terlalu indah dan misteri dan terdapat dalam surah al-Baqarah mulai ayat ke 246.

Satu lagi kisah yang memotivasikan diselitkan dalam ayat 65 dan 66 daripada surah al-Anfal.

Subhanallah...

Ini Bukan Peperangan.

Fokus artikel ini bukannya seruan kepada jihad al-Qital. Saya tidak meminta kalian menajamkan pedang. Saya tidak minta kalian mempersiapkan kuda perang. Yang difokus dalam artikel ini ialah 'menajamkan' ilmu pengetahuan dan 'mempersiapkan' kekuda kesabaran.

It is not about quantity.

Apabila orang mula mengatakan islam tidak mementingkan kuantiti tetapi kualiti, saya tidak tahu mahu bersetuju atau tidak. Yang pasti, nas-nas yang banyak... mengatakan bahawa umat mutaakhir (zaman ini) sangat ramai, persis buih-buih di laut. Dan ya, ia juga lemah seperti buih. Dengan bayu yang lembut sahaja pun ia akan lenyap. Sekadar itu.

Tapi, dalam masa yang sama, golongan 'minoriti' tidak sesekali wajar disamakan sebagai 'buih' itu. Minoriti, walaupun bilangannya sekerat dua, tapi akar mereka harus kuat. Cengkaman pada dasar bumi juga harus kukuh.

Golongan minoriti ini perlu menjadi 'pokok' yang rendang. Akarnya menunjang jauh ke dasar tanah. Dedahannya kukuh menampung langit. Dan pepucuk daunnya menghijau, melahirkan permai. Sedar atau tidak, 'pokok' ini ada tugas! Ya. Tugasnya ialah untuk memberi perlindungan kepada manusia dan haiwan. Itu tugas saya dan kalian, yang mengaku sebagai golongan minoriti.

"Jangan bercakap tentang perjuangan kalau takut dengan implikasi"

Pandangan saya jatuh pada sebatang pokok rambutan yang rendang. Dedaunnya memenuhi setiap ranting, meneduhkan manusia yang berehat di perdunya. Di hujung-hujung, bebuah rambutan melebat. Warnanya merah garang, membangkitkan selera. Setangkai demi setangkai ia dicantas dan dibaham oleh manusia-manusia yang rakus, tanpa sedikit pun mereka faham erti 'terima kasih'. Ah! Berlalu datang sang algojo. Di tangannya sebilah parang panjang. Dibenam parang tajam itu ke dahan pokok rambutan.

Saya seakan-akan mendengar pokok itu menjerit lantang. Sakitkah kamu wahai pokok rambutan? Ya. Dia sakit... tapi dalam kesakitan, saya pasti pokok rambutan masih akan senyum kerana dia tahu, buahnya dimakan orang. Dia bahagia kerana dia tahu, dedaunnya yang melebat itu memberi segar manusia daripada panahan cahaya matahari. Dia gembira, kerana dia tahu sekejap lagi sang algojo tadi akan menggunakan dahan dan reranting yang ditetak putus darinya untuk dijadikan kayu api. Pokok rambutan itu gembira kerana dia tahu, walaupun dia lemah namun dia dapat memberi manfaat.

Kalian dan kita... walaupun minoriti, walaupun disakiti, walaupun dicerca dimaki, jangan sesekali kita ralat untuk memberi manfaat kepada manusia lain.

Solusi.

Hanya satu sahaja penawar bagi kesakitan 'dicantas' iaitu sabar dan taqwa. Itulah dia 'istimewa'. Kerana taqwa ialah pembeza, maka ia juga ialah kunci bagi penyambungan antara iman dan kufur. Maksud saya, jika seorang itu bertaqwa, dia sedar bahawa dalam keadaan dia menjadi 'minoriti' di pundaknya ialah tanggungjawab berdakwah.

Lama-kelamaan, yang minoriti tadi akan menjadi majoriti.

Demi Allah, aku benar-benar rindukan saat itu!

 

Perkongsian : "Saya Benci Jiwa Saya!"

 
"Saya benci jiwa saya!"

Saat dia melafazkan kata-kata begitu, saya sebak. Walaupun dia jauh di seberang lautan sana, saya seakan dapat melihat derai tangisnya saat menulis ayat itu. Dia mengadu dan meminta nasihat daripada saya, melalui perantaraan Facebook chat.

Katanya, dia buntu. Dia tidak mampu mengelakkan dirinya dari melakukan dosa. Dia geram, kerana dia tidak berupaya menghalang dirinya daripada menginginkan perkara-perkara yang tidak elok di sudut pandang agama. Dia juga kecewa. Kecewa dengan dosa yang berulang-ulang. Dia tidak tenang! Sentiasa rasa kosong!

Sedaya upaya, saya akan bantu.

Iman.

Satu perkara yang menarik tentang iman, sifatnya ialah naik dan turun. Iman, terletak di dalam hati. Hati pula, sifatnya ialah berbolak balik. Saya tidak percaya, di dunia ini wujud manusia yang tidak pernah melakukan dosa kerana saya tahu, tiada seorang pun yang maksum.

Tapi, untuk berterusan mengulang-ulang dosa, ia satu perkara yang tidak munasabah.

Tuhan berikan kita akal. Mari kita gunakan ia.

Berikut ialah beberapa cadangan. Mungkin ia efektif bagi setengah orang, tapi tidak bagi setengah yang lain.

Setiap saat, kita berperang dengan keinginan kita yang pelbagai. Satu yang paling kuat mendominasi sempadan iman dan kufur ialah keinginan nafsu. Atas 'biasiswa' daripada syaitan, nafsu menjadi semakin menggila. Makanya, yang akan berlawan dengan nafsu yang ditungangi syaitan itu hanyalah iman. Iman umat ini, sehebat manapun ia, tetap seakan-akan kulit bawang. Nipis. Kita memerlukan 'bantuan luar'

Iaitu, dengan memiliki kawan-kawan yang baik.

"Kawan-kawan saya semuanya baik-baik"

Jika ya, baguslah. Tapi bagaimana pula dengan persekitaran kita?

Bagaimana jika saya katakan, di akhir zaman, Rasulallah telah banyak bercerita akan cabaran hidup masa kini. Dalam sebuah hadis, Baginda menganjurkan kita beruzlah (mengasingkan diri) sekiranya keliling kita, semua manusia yang rakus yang tanpa henti, mahu merobek iman kita yang sedikit cuma ini.

"Sudah hijrah, tapi tetap tak bertemu ketenangan"

Jika itu yang terjadi, saya bimbang ia berkaitan dengan kejahilan kita. Saya tertarik untuk membicarakan 'sebab-sebab' perlu menuntut ilmu kerana sepanjang saya berjalan di muka bumi Tuhan, Dia temukan saya dengan bermacam ragam manusia. Ada yang menuntut ilmu untuk nampak terkenal dan dipuji. Hakikatnya, kita perlu menuntut ilmu untuk diamalkan. Saya akan sebut dalam artikel lain.

"Saya sedang dalam proses itu (belajar ilmu agama), tapi tetap saya tak dapat ketenangan"

Akhirnya, ia kembali kepada pokok pangkal 'tenang' iaitu hati. Saya tertarik dengan sebuah kata-kata daripada Saidina Ali r.a ; "Sekiranya hatimu rosak, jangan bazirkan masamu untuk berdoa agar Allah perbaiki hatimu, sebaliknya berdoalah agar Allah tukarkan hatimu dengan hati yang baru".

Persoalan hati, cukup seni. Saya tertarik juga dengan sebuah hadis berkenaan 'halal, haram, dan syubhah' yang terdapat dalam kitab Hadis 40. "Yang halal itu jelas, yang haram juga jelas. Antara keduanya, ada yang samar-samar (syubhah)..".

Hadis itu masih panjang, tetapi di akhir, "...di dalam dirimu, ada segumpal daging yang jika ia baik, baiklah seluruh tubuh ini. Dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh ini. Ketahuilah, ia adalah hati"- Hadis mutafaqun alaih.

Saya pernah sebutkan di sini, dalam artikel ini. Saya suruh orang tanya, tapi semua orang faham. Baguslah.

Bagini... hati manusia berbolak-balik. Tak percaya? Kita boleh marah saat membaca berita cucu tendang datuk, tapi sesaat kemudian, kita pula yang jadi kurang ajar dengan orang tua kita.

Saidina Umar ra. selalu berdoa, memohon ketetapan hati, kerana dia tahu memang tiada jaminan hati kita akan kekal dalam kebaikan.

Hati banyak dipengaruhi oleh syubhah dan haram. Kerana itu, dalam sebuah lagi hadis riwayat Imam Muslim berkenaan fitnah di akhir zaman (zaman ini), " sesiapa yang mengintai-intai akan fitnah(ujian itu), maka dia akan ditarik masuk ke dalamnya".

Dalam artikel tutu pintu, tindakan kawan saya itu sangat saya sanjung, kerana dia bijak. Dia tidak "mengintai-intai" fitnah (ujian) itu kerana jika dia cuba-cuba dekat, dia tahu dia tidak boleh lari.

Anda juga begitu. Fitnah datang melalui telinga, mata, kaki, tangan, perut dan juga hati.

Telinga- jangan dengar musik-musik yang tidak mendekatkan diri dengan Allah. Mungkin bagi kita, ia tidak ada apa-apa. Sekadar hiburan, tetapi secara halus, ia mencemarkan hati kita.

Mata- jangan tengok benda-benda yang tidak mendekatkan diri kita dengan Allah. Seperti tengok perempuan bertudung. Sekalipun dia tutup aurat, tapi impak pada hati kita sangat sikgnifikan.

Kaki- jangan melangkah ke tempat-tempat yang tidak mendekatkan diri kepada Allah. Seperti ke pasar malam. Sekalipun tujuannya berjalan-jalan, tapi apabila berada di sana, hati kita akan sedikit sebanyak tercemar.

Yang berikutnya pun sama saja (saya malas nak tulis panjang-panjang)

Tukar Hati Yang Baru.

Bagi saya, ia memberi maksud 'taubat'. Apakah itu taubat?

Menurut alim ulama, taubat itu kekesalan. Kekesalan itu pula perlu ditangisi. Nah! Menangislah! Itulah kunci ketenangan. Ini pengalaman saya. Apabila kita menangis mengenangkan dosa-dosa, automatik hati kita akan tekad untuk beramal soleh. Allah akan beri ketenangan. Sungguh... menangis kerana meminta ampun ialah satu pengalaman yang cukup sempurna. Buatlah... (kecuali jika kalian terlalu suci untuk mengaku pernah berdosa)

Tapi ingat, taubat harus disertakan dengan pembaikian diri, contoh; amal soleh. Juga, perlu meminta kemaafan dari orang yang pernah kita zalimi (jika mampu)

Yang terakhir, yang paling ampuh ialah berpuasa sunnat. 

Apa signifikannya puasa dengan tenang?

Tenang ialah tanda tiada dosa. Jika sedang berdosa, ketenangan takkan timbul. Untuk melakukan dosa, hakikatnya memerlukan tenaga yang lebih daripada tenaga yang diperlukan untuk melakukan amal kebaikan. Jadi, jika puasa, automatik akan datang rasa malas (nak buat jahat)... dan penat... dan juga apabila kita ingat yang kita sedang berpuasa, serta merta niat jahat akan terkubur. Tak percaya? Cubalah.

Kesimpulan
Ketenangan ialah peranan hati. Maka, mahu atau tidak, kita tetap perlu hidupkan hati kita dengan ayat-ayat Allah dan zikir-zikirnya. 

Maaf atas kekurangan artikel ini.

Perkongsian : Maher Zain, Opick dan Hiburan

Maher Zain
Opick
Sebelum saya pergi lebih jauh, ingin saya tegaskan bahawa apa yang bakal anda baca ialah pandangan peribadi saya. Saya merujuk kepada al-Quran dan hadis sebelum menulis, tapi saya tidak immune pada kesilapan. Jadi, saya tidak memaksa anda menerima buah fikiran saya.

Pertama sekali, saya ingin berkata bahawa saya ialah salah seorang daripada segelintir manusia yang tidak suka menonton filem.

"Kecoh lah kau... Orang lain tak tengok, tapi tak ada pun cerita dalam blog".

Baiklah, saya tidak akan kecoh. Tapi saya rasa terpanggil untuk menjawab soalan sahabat-sahabat saya- "Kenapa tak suka?"

Sebab yang paling utama ialah kerana saya tidak sanggup melihat agama saya dipermainkan. Sesetengah pelakon, boleh berlakon sebagai 'ustaz' dalam suatu filem, tapi dalam filem yang lain, dia berlakon sebagai 'paderi'. Ada pula, dalam satu filem, dia berlakon sebagai 'muslimah', tapi dalam filem yang lain, dia memegang watak 'pelacur'.

Ia membawa saya kepada perasaan jengkel yang bukan dibuat-buat. Melihat bagaimana mudahnya syariat di pegang dan dilepas, membuatkan saya tak sedap duduk.

"Kenapa tak boleh sedangkan tema filem itu ialah dakwah?"

Saya ada jawapan. "Matlamat tidak menghalalkan cara". Saya ambil satu ayat daripada al-Quran. Surah Az-Zumar ayat 3- 'Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)'

Ayat itu panjang, tapi kalau kalian boleh nampak, ia berkisar tentang para penyembah berhala. Saat dikatakan kepada mereka, 'Mengapa kamu menyembah patung?'. Mereka akan menjawab, "Kami tidak menyembah atau memujanya patung-patung itu melainkan supaya kami dapat mendekati Allah dengan sedekat-dekatnya"

Kita ubah konteks ayat.

"Kenapa pelakon-pelakon itu perlu pakai pakain seksi-seksi?"

"Kerana dengan cara ini, kami dapat berdakwah dengan lebih baik". Astaghfirullah.... salahnya...

Itu baru satu, dan itu juga faktor utama.

Kedua, saya tidak menonton filem kerana 'saya tidak ada masa'. Saya sebenarnya hairan dengan para muslimin dan muslimat yang terjun ke medan dakwah. Bagaimana mereka masih punya masa untuk menonton drama jepun dan korea?

Satu filem mengambil masa 2 jam. Jika dua jam itu dihabiskan dalam usrah atau study, itukan lebih baik.

Tiga, saya punya banyak alternatif. Saya perhatikan, kaki wayang ini menonton kerana 'bosan'. Saya pelik juga, bagaimana boleh datang bosan itu. Tapi saya juga manusia dan saya akui bahawa ada ketika, saya bosan juga berdamping dengan bahan-bahan ilmiah. Alternatif saya ialah dengan membaca. Sejujurnya, saya punya banyak bahan-bahan bacaan. Dan bila saya bosan, saya akan membaca novel. Tapi, novel yang saya pernah habis baca hanya boleh dibilang dengan jari. Kerana realitinya, saya jarang-jarang bosan.

Ada juga orang bertanya, "Bagaimana pendapat Iqbal dengan dakwah melalui musik dan hiburan?"

Saya tak terus menjawab 'tidak' dan saya tidak akan terus menjawab 'ya'. Saya nak kalian semua tahu, saya ialah salah seorang daripada jutaan peminat Maher Zain. Hanya dia dan beberapa orang artis nasyid sahaja yang saya minat. Faizal Tahir? Mawi? Akim? semuanya saya kenal secara tidak sengaja. Sungguh! Saya muak dengan mereka.

"Siapa lu mahu kutuk idola gua ha?"

Saya manusia yang bernafsu, sama seperti kamu. Bezanya, layanan saya kepada nafsu mungkin lebih keras. Siapa Faizal Tahir untuk kalian hormati, lebih daripada kalian hormat pada ulama? Siapa Mawi, untuk disayangi, lebih daripada kita menyayangi guru agama?

Mereka (para artis) tidak layak untuk dijadikan idola. Sungguh saya kata di sini... Tidak layak!

Kembali kepada persoalan tadi. Saya sebenarnya setuju, bahawa dakwah boleh disalurkan melalui nyanyian. Saya sebut dua buah nama ini. Satu ialah Maher Zain dan satu nama lagi ialah Opick.

Mengapa Maher Zain dan bukannya Anuar Zain? Mengapa Opick, dan bukannya OAG?

Kerana lagu-lagu Maher Zain dan Opick bersumberkan ajaran al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W. Yang menyedihkan, lagu-lagu yang tidak didasari oleh al-Quran dan hadis inilah yang lebih mendominasi minda kita. Bukan orang lain, tapi diri kita juga yang menyokong mereka.

"Kami perlukan hiburan!"

Dengarlah lagu-lagu Maher Zain dan Opick. Saya tak jamin kalian boleh menangis, tapi saya yakin, di dalam lagu mereka tersirat pengajaran yang baik-baik.

"Kami mahukan hiburan!!"

Ya, saya tahu. Semua orang perlu dan mahu. Tetapi, bukan dengan cara membuka aurat dan mengagungkan makhluk lebih berbanding Tuhan.

"Hoi!!! Dengar tak? Kami nak hiburan!!!"

Ya, tak perlu jerit wahai nafsu. Saya tahu ia kegemaran kamu. Tapi sebenarnya, hiburan ialah saat-saat indah seorang hamba berdua-duaan dengan Tuhannya. Tuhannya akan memandangnya dengan kasih. Ketika itu, dirinya menangis.

"Tidakkah timbul rasa malu kerana membiarkan air mata kita tumpah kerana menonton filem, dimana teman wanita hero mati ditembak, tetapi dalam masa yang sama, mata ini jugalah yang tidak mahu menangis walaupun dosa yang timbul melaluinya tersangatlah banyak..."

Tolonglah islam...
Tolonglah mereka...

Jangan biarkan para artis terus-terusan membuat dosa kerana sokongan kita. Mungkin kita bisa terselamat dari azab Ilahi, tapi ingat juga. Allah tidak lupa... setiap sokongan kita bererti 'saham'.

Suara saya terhad. Saya tidak mampu mengubah para artis, tapi saya tahu... sedikit sebanyak, saya berupaya merubah para peminat artis. Mari dahulukan Allah berbanding mereka.

Perkongsian : Sekularkah kita?

Perkongsian : Sekularkah kita?
Saya tiba-tiba teringat akan Cikgu Azlina. Beliau ialah guru sains saya semasa saya darjah 5 dan darjah 6. Dia berkaca mata dan bermuka bulat. Kali terakhir saya bertemunya ialah semasa saya mencium tangannya semasa hari terakhir persekolahan di sekolah rendah. Tidak sangka, itulah kali yang terakhir kami bertemu kerana dia berpindah ke sekolah yang lain. Dimana? Saya sendiri pun tidak tahu.

Banyak benar kenangan manis yang walaupun sudah hampir sepuluh tahun berlalu, ia masih segar dalam kotak ingatan saya. Dari dahulu lagi, subjek sains ialah subjek yang saya gemar hinggakan saya pernah bercita-cita untuk menjadi saintis. Saya kira, minat saya terhadap sains itu dipupuk oleh beliau. Terima kasih Cikgu Azlina.

Saya tahu Cikgu Azlina yang saya maksudkan itu tidak akan membaca tulisan ini, tapi ketahuilah... jika saya diberi peluang, saya tersangat mahu untuk bertemu dengannya.

Tujuan saya menulis artikel ini bukan hanya terbatas untuk membicarakan tentang kebaikan Cikgu Azlina. Tapi saya juga mahu membawa para pembaca berfikir kepada sesuatu yang lebih.

Seringkali, kita mendengar perkataan "sekular". Apakah itu sekular? Kita boleh memberi bermacam-macam definasi, tetapi satu pun kita tidak boleh kata ia definasi yang paling tepat. Sekular boleh datang dalam berbagai-bagai bentuk dan keadaan. Salah satu yang perlu kita risaukan ialah sekular dalam beragama.

Bagaimana?

Dahulu, semasa saya darjah 5, kami pernah membuat suatu eksperimen berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan. Hebatnya sekular dalam didikan, kami langsung tidak diajar bahawa yang menjadikan oksigen itu ialah Allah, melalui perantaraan kaedah 'photosynthesis'. Saya dan kawan-kawan membesar dengan keyakinan bahawa oksigen dihasilkan oleh tumbuh-tumbuhan, bukan daripada Allah.

Saat melangkah ke sekolah menengah, saya diajar pula sesuatu yang dipanggil 'physics'. Saya minat fizik. Satu demi satu experiment dijalankan, tapi malang, tiada satu pun konklusi yang dikaitkan dengan kuasa Allah.

Semakin saya menganjak dewasa, saya semakin terdedah dengan apa yang dipanggil sekular ini.

"Seorang pemain bola sepak menutup aurat semasa bersolat tetapi di padang, dia membuka aurat"- itu juga sekular.

Melalui apa yang saya faham, sekular ini ialah apabila 'kita' mengasingkan islam daripada kehidupan kita. Islamnya kita, kita tinggalkan di masjid-masjid sahaja. Dalam sistem pendidikan, tiada nilai islam. Dalam sistem sosial, tiada nilai islam. Dalam perundangan, apatah lagi.

Saya pernah keliru.

Ya, saya pernah. Sekularnya saya satu ketika dahulu, hinggakan saya merasa "cukup". Saya merasakan islam itu hanya sekadar benda-benda asas sahaja. Solat lima waktu, puasa, bayar zakat dan tunaikan haji. As simple as that. Apabila saya buat benda-benda itu, saya sudah islam. Ya, itulah yang saya fikir. Saya pernah terfikir yang saya sudah beriman! Tak tahu malu betul saya!!! (dahulu)

Sekarang.

Saya sudah dapat melihat sesuatu yang mungkin orang lain belum. Islam itu sempurna. Sangat sempurna.

Benarlah firman Allah dalam surah al-baqarah ayat 206 ; "Wahai orang-orang beriman, masuklah ke dalam agama islam dengan keseluruhannya...(hingga akhir ayat)"

Saya tercari-cari apa yang Allah maksudkan dengan "keseluruhannya".

Adakah islam yang sampai kepada kita saat ini sudah menyeluruh?
Jawapannya 'tidak'.

Kerana islam yang ada pada kita sekarang ialah islam warisan, ikut-ikutan dan islam yang had-hari.

Pemahaman kita tentang islam sangat tercemar. Kita fikir, islam hanya cukup pada urusan di masjid surau sahaja. Kerana itulah, ramai dalam kalangan sahabat saya sendiri, sanggup ulang-alik sejauh 1 KM untuk memenuhi tuntutan perut, tetapi untuk 200 meter ke surau, ia sesuatu yang mungkin mustahil dilakukan. Kenapa?

Kerana kita diajar begitu. "Islam cukup dengan mengucap, solat, puasa, zakat dan haji".

Mahu salahkan siapa atas kefahaman yang salah ini? Jawapannya saya biarkan pada kalian. Tapi jujur, jika saya yang menjadi perdana menteri atau orang yang diberi tanggungjawab memerintah, saya akan cuba ubah kerana saya ada tiket untuk 'memaksa' rakyat berubah.

Sekularkah kita? Sekali lagi saya ulangi soalan ini, agar masing-masing berupaya membuat refleksi.

Kesimpulan.
Islam bukan hanya terbatas pada minit-minit kita di dalam masjid atau surau, tetapi islam terletak dalam setiap hembusan nafas kita. Jangan pisahkan islam daripada tindakan kita, walau sedetik cuma.

CERPEN: Kemuncak

CERPEN: Kemuncak
"Julius. Tunggu sebentar!"

Langkah kaki pemuda itu dimatikan. Dia menoleh kebelakang, kearah suara keras yang memanggilnya tadi.

"Ali? Ah! apa lagi yang dia mahu?", bisiknya dalam hati. Wajahnya yang selamba bertukar muram. Dia muak, bahkan terasa jengkel dengan sikap pemuda arab itu.

Seraya dia mempercepatkan langkah kakikanya, mahu menjauhi pemuda yang sedikit demi sedikit dianggapnya sebagai musuh. Ya, seorang musuh yang mesti dikalahkan.

Ali berlari-lari anak mendapatkan Julius. Sesekali, janggutnya yang lebat itu nampak seolah-olah berayun ke kiri dan ke kanan, mengikut deras kakinya melangkah.

"Julius, kau masih marahkan aku?", tanya Ali. Dia melunakkan suaranya dengan harapan sahabatnya itu lembut hati. Nafsanya sedikit tercungap-cungap kerana terpaksa berjalan pantas, menyaingi Julius.

Julius mencebek. Buat kali yang kedua, dia memberhentikan langkahnya. "Apa lagi yang kau mahu? Tidak cukupkah kau malukan aku malam tadi?", tanyanya separuh membentak. Mukanya tegang. Matanya yang kebiruan itu menjenggil, seolah-olah mahu keluar dari kelonsong mata.

Ali tersenyum manis. Tangannya melurut-lurutkan jambang dan janggutnya. "Maafkan aku pasal malam tadi. Aku tidak sengaja mahu membangkitkan soal itu"

"Tidak sengaja?", tanya Julius mengejek. "Apa memalukan agama aku itu tidak sengaja?"

"Julius... dengar sini dulu..", lembut suara Ali memujuk. Tangannya cuba mencapai tangan Julius tapi segera pemuda itu menepis dengan kasar. "Kau sendiri yang mahu tahu tentang sejarah islam dan kaitannya dengan agama kristian, bukan? Jadi apa yang aku katakan malam tadi, ialah petikan dialog antara orang-orang Nasrani dengan Nabi Muhammad s.a.w. Aku bukannya berniat mahu memalukan kau... "

Ali sedikit bengang, tapi dia menahan sabar. Teringat dia akan peristiwa malam tadi. Julius bersungguh-sungguh mahu bertemunya di Taman Breckford, kononnya mahu bertanya beberapa perkara kepada Ali. Ali yang sepatutnya menghabiskan malamnya dengan menyiapkan assignmet akur dengan kesungguhan sahabatnya tadi. Tepat jam 9 malam, dia sudah tercegat di taman itu. Walaupun begitu, bayang-bayang Julius hanya muncul selepas 10 minit dia menunggu. Sungguh tidak berdisiplin lelaki berambut perang itu.

"Apa yang kau mahu tahu?", tanya Ali. Mukanya sentiasa tampak tenang. Sememangnya pemuda berusia 24 tahun itu kaya dengan senyuman. Senyuman yang ikhlas, yang lahir dari lubuk hati.

"Aku ingin tahu tentang islam. Khabarkan aku tentang islam", Julius berbicara perlahan. Matanya yang membiru itu bulat memandang lelaki arab di sebelahnya. Tangannya dimasukkan ke dalam poket jaketnya. Malam itu sejuknya lebih sedikit berbanding kelmarin. Jika tidak berpakain tebal, mustahil ada orang mampu keluar dari rumah mereka.

Wajah Ali bercahaya. Dia teruja dengan permintaan rakannya. Tanpa lengah dan banyak soal, dia bercerita tentang islam. Ya, tentang islam yang asli. Yang belum dirobek oleh penipuan-penipuan daripada orientalis-orientalis barat dan media-media yang tidak bertanggungjawab.

"Islam ialah agama yang membebaskan manusia daripada menjadi hamba kepada manusia kepada menjadi hamba kepada Allah semata-mata", Ali melontarkan ayat pertama. Matanya melirik jauh ke dalam mata sahabatnya. Dia menduga tahap ke seriusan dan kesungguhan pemuda itu.

Julius mengangguk. "Itu saja?"

Ali tersenyum simpul. "Islam mengajar ummatnya untuk berkasih sayang, hormat menghormati, serta bersikap adil. Kami dituntut untuk menyayangi setiap makhluk tidak kira kawan ataupun lawan"

"Maksud kau? Bagaimana lawan juga dikasihi?", tanya Julius pelik.

"Kami dilarang daripada menyiksa binatang, apatah lagi manusia. Kami tidak dibenarkan memerangi orang melainkan selepas kami diperangi. Dan apabila memerangi orang, kami diperintah untuk membunuh secara elok. Tidak dibenarkan menyiksa, apatah lagi memperlakukan musuh seperti haiwan dan dihina", jelas Ali. Wajahnya tenang. Hatinya masih utuh dengan rantaian zikir sedari tadi.

"Bohong. Jika benar begitu, mengapa aku pernah melihat satu video di internet tentang orang-orang islam menyembelih hidup-hidup tahanan mereka?", tanya Julius sedikit tinggi. Masih segar di ingatannya bagaimana lelaki itu merengus menahan sakit apabila lehernya dikelar sedikit demi sedkit.

"Bagaimana jika aku katakan, di dalam satu papan telur, pasti akan ada dua atau tiga biji telur yang busuk?", tanya Ali pula. Dia mendapat sebuah idea untuk menjelaskan situasi sebenar buat lelaki itu.

"Aku percaya. Bukan semua telur dalam sebuah bakul baik-baik walaupun datang daripada ibu ayam yang sama", jawab Julius.

"Begitulah... Tidak semua orang islam faham ajarannya. Ramai yang tersilap dan tidak memahami islam yang sebenar. Islam ialah agama yang aman dan damai. Islam melarang manusia daripada bermusuhan. Islam juga menolak ummatnya daripada melakukan sesuatu perkara sewenang-wenangnya", jelas Ali.

"Jika begitu, jelaskan apa yang berlaku pada 11 September satu ketika dahulu?", Julius kembali melontar pertanyaan.

Ali menghela nafas. Dia sedar yang dia harus berhati-hati saat menitipkan jawapan. Bimbang-bimbang pada saat akhir, dia terperangkap.

"Itu bukan kerja orang islam. Itu agenda orang Yahudi. Mereka yang memfitnah orang islam sebagai pengganas. Akhirnya, imej umat islam telah diburukkan. Bukankah dahulu kau sendiri pernah membaca fakta-fakta yang menyokong bahawa tragedi itu bukanlah hasil tangan orang islam tetapi perbuatan zalim orang Yahudi semata-mata?", Ali memandang wajah lelaki di sebelahnya.

Julius teringat. Sebenarnya, dia sendiri yang menunjukkan artikel itu dan meminta penjelasan daripada Ali. Ah, bagaimana dia boleh lupa?

Angin malam tiba-tiba merembes kering memukul-mukul pipi mereka. Sejuk benar cuaca di bumi London ini.

"Julius, aku sejuk. Apa kata aku ke easy-mart depan sana dan dapatkan dua cawan kopi panas untuk kita?", tanya Ali. Dia memeluk tubuh, kesejukan.

Julius tersenyum tawar. Dia sekadar menangguk. Lantas, Ali pun bangkit dan menapak ke kedai yang hanya beberapa langkah sahaja dari taman itu. Tidak lama, dia kembali dengan dua buah cawan kopi yang masih berasap. Dihulurkannya secawan kepada Julius.

"Terima kasih", kata Julius sepatah. Dia menghirup kopi yang masih panas itu. Terasa nikmat sekali.

Seketika, mereka tenggelam dalam nikmat menghirup kopi panas itu.

"Ali... aku mahu tanya, apa pendapat kau tentang agama aku?", tanya Julius tiba-tiba.

Ali yang leka menghirup air kopi yang masih berbaki separuh itu tersentak sebentar tapi wajahnya masih tenang seperti tadi. "Kau mahu tahu pendapat aku tentang agama kristian?", tanya Ali semula. Dia meminta kepastian.

Julius mengangguk. "Katakan sahaja apa-apa. Aku janji tidak marah", katanya lagi.

Ali menghela nafas panjang. Matanya dilarikan ke hujung lorong pejalan kaki. "Julius, aku tak faham dengan agama kau. Kau katakan Isa itu anak Tuhan, bukan?"

Julius angguk. "Benar. Dia ialah anak Tuhan kerana dia dilahirkan tidak berbapa"

"Kalau begitu, kau setuju tak jika aku katakan seorang anak pasti akan serupa dengan ayahnya?", Ali cuba bermain dengan persoalan.

"Maksud kau?" Julius tampak berkerut. Mungkin pelik diasak dengan soalan sebegitu.

"Iyalah... anak ayam, pasti sama dengan ibunya. Anak kuda, sama dengan ibunya dan anak manusia, juga sama dengan ibunya", terang Ali.

"Ya. Jika begitu, aku percaya", Julius mengangguk dan tersenyum nipis.

"Jika begitu, apakah layak Isa menjadi anak Tuhan sedangkan Tuhan tidak mati, tetapi Isa mati?". Ali bersuara lembut.

Julius tidak senang dengan soalan itu. Dia mengeraskan suaranya, "Jika begitu. Siapa ayah kepada Isa?"

"Penciptaan Isa sama dengan penciptaan Adam, manusia pertama yang diciptakan oleh Tuhan. Tuhan berkuasa menghidupkan sesuatu. Jika dia hendak, dia hanya berseru. Kemudian, jadilah...", suara Ali lembut menerobos masuk ke dalam gegendang telinga Julius.

Julius semakin berang. Dia rasa terhina, atau lebih tepat. Dia merasakan bahawa Tuhannya sedang diperlekehkan.

"Kau pandai sekali berkata-kata. Jika benar Allah itu Tuhan, mengapa Dia tidak boleh dilihat?", gilirannya pula untuk menghentam Ali. Ali masih tenang dan bersahaja seperti tadi.

"Kerana Dia Tuhan lah Dia tidak boleh dilihat. Bukankah itu bukti bahawa Dia sangat hebat? Ini bermakna, Dia tidak serupa dengan makhluk. Jika Tuhan itu boleh dilihat, maknanya dia juga serupa dengan kita. Sama macam Isa,  dia bukan Tuhan, bukan juga anak Tuhan kerana Isa juga makan dan tidur. Dia juga mengantuk dan ke tandas. Apakah layak bagi Tuhan untuk memiliki sifat-sifat sebegitu?", tanya Ali sedikit tegas.

Julius berdiri. Dia berang. Urat-urat di wajahnya menimbul, tanda marah. "Celaka! Kau siapa mahu pertikaikan Tuhan aku?!!"

Ali beristighfar dalam hati. Dadanya berombak-ombak menahan rasa. Dia terkejut dengan reaksi negetif daripada Julian. "Julian, sabar... sabar... Aku tak ada niat sedikit pun menghina Tuhan kau. Aku cuma mahu kau berfikir perkara yang sebenar", Ali bersuara lembut. Dia berusaha mempamerkan wajah yang manis dan tenang walaupun dalam hati, dia terasa sedikit terbakar kerana diherdik sebegitu oleh temannya sendiri.

"Aaahhh! Aku tak mahu dengar lagi. Kau dengan agama kau sama saja. Penipu! Pembohong!", tengking Julius kuat. Beberapa orang yang lalu lalang di sekitar taman itu memandang-mandang mereka dengan penuh curiga.

Julius merengus marah. Wajahnya menyinga. Hatinya benar-benar terbakar.

Ali kaget. Dia turut sama berdiri. "Julius, dengar dulu... aku belum habis cakap lagi..", suaranya lembut, memujuk. Lantonan zikir-zikir dalam hatinya semakin hebat.

"Sudahlah! Aku tak mahu bercakap dengan pembohong lagi!", Julius bersuara keras kemudian terus melangkah laju meninggalkan Ali yang masih termanggu-manggu sendiran. Ali pula kembali duduk, kesal dan sedih.

Pagi itu, memang dia tercari-cari Julius tapi ternyata lelaki kristian itu sengaja menjauhinya.

Dan sekarang, Julius naik angin lagi. "Aku tak mahu jumpa kau lagi dan aku tak mahu dengar apa-apa lagi daripada kau! Faham?", suara Julius bergema kuat, memecahkan suasana hening dan permai pagi itu. Warga London sedang berpusu-pusu ke tempat kerja menjeling mereka berdua dari ekor mata. Mungkin pelik melihat orang bercakaran awal-awal begini.

"Julius...", Ali bersuara sayu.

"Sudah! Jangan ikut aku lagi!", katanya dengan kasar. Lantas, kakinya menyusun langkah dengan laju meninggalkan Ali yang dirundum rasa sedih yang tidak tergambar. Dek kerana marah yang masih menebal, Julius jadi cuai dan hilang pertimbangan. Saat mahu melintas jalan, dia tidak langsung memandang ke kiri dan ke kanan. Tanpa sedar, ada sebuah teksi sedang meluncur laju kearahnya.

Ali yang mengekorinya perlahan tersentak. Dia menjerit lantang. "Julius!! Hati-hati!!

Julius terpana. Saat terpandang teksi yang meluncur deras kearahnya, dia kaku, tidak mampu berbuat apa-apa. Teksi itu tersangat hampir. Sangat-sangat!

Boooommm!!

Satu bunyi yang kuat kedengaran. Julius terbaring di atas tanah. Kepalanya berpinar-pinar. Badannya sakit akibat terjatuh. Dalam kesamaran, dia melihat seorang lelaki tua tergesa-gesa keluar daripada kereta. Wajahnya cemas. Tidak jauh di depan teksi itu, seorang lelaki terbaring. Badannya berlumuran darah.

Hati Julius seakan disentap. "Ali!" "Ali!!!"

Dia bingkas berdiri dan meluru kearah sahabatnya. Keadaan Ali nampak teruk. Pemuda arab itu nampak sangat lemah. Mulutnya, kepalanya dan badannya berdarah akibat perlanggaran yang dasyat tadi.

Julius memegang tangan sahabatnya. Air matanya berjujuran melimpah. Dia menangis, kesal bercampur terharu. Ali telah menyelamatkan nyawanya. Tadi, dia memecut laju kearah Julius dan menolaknya ke tepi jalan. Malangnya, dia sendiri tidak sempat untuk mengelak teksi itu dan dilanggar.

"Arrghhh...", Ali mengerang perlahan. Dia menahan kesakitan. Julius merangkul tubuh sahabatnya itu. Dilihatnya sahabatnya itu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu. Lantas, dia mendekatkan telinganya ke bibir lelaki yang berjambang itu.

"Julius... aku... minta maaf...", Ali menutur dengan payah dan lambat.

"Dalam beg itu... ada hadiah untuk kau... ambil...", sambungnya lagi sambil jarinya menunding kearah beg.

Julius pula, semakin hebat tangisnya. Orang ramai sudah mula mengerumuni mereka. Pemandu teksi tadi nampak cemas. Dia dan orang ramai menyuruh agar Ali dihantar ke hospital dengan kadar segera. Julius akur. Dengan bantuan beberapa orang lelaki, mereka mengangkat badan Ali yang luka teruk dan tidak bermaya itu ke dalam teksi tadi. Sempat juga Julius menyambar beg sandang Ali yang tidak jauh dari situ. Beg itu kotor dengan darah.

Di dalam perjalanan, Julius merasakan genggaman tangan sahabatnya itu semakin longgar. Dia semakin nazak. Mulut Ali terkumat-kamit. Julius sekali lagi mendekatkan telinganya. Yang dia dengar ialah perkataan 'maaf' dan 'sayang'.

Julius mengangguk-angguk. "Ya.. Ali.. aku juga minta maaf. Aku juga sayangkan kau..". Dalam kesukaran, Ali mengukir senyum. Pemandu teksi itu memandu laju. Di wajahnya jelas terpampang rasa bersalah yang tebal.

Saat menghampiri pagar Queen Hospital, Ali memejamkan mata, mulutnya bergerak-gerak menuturkan kalimah Allah. Nampak sangat payah dan lambat-lambat. Cukup 3 kali, dia mengehembuskan nafasnya yang terakhir dalam dakapan Julius!

Malam itu ialah malam yang paling buruk buat Julius. Dia merasakan ketenangan yang nipis selama ini disentap. Dia masih memikirkan tentang Ali. Walaupun dia tahu saat ini, Ali sudahpun selamat berada dalam tanah. Petang tadi, dia turut hadir ke majlis pengebumian mayat Ali yang dijalankan oleh komuniti islam di sini. Matanya bengkang. Puas sudah dia menangis.

Di sisinya, ialah beg milik Ali. Dia masih menyimpannya kerana dia terlupa untuk menyerahkan beg itu kepada waris sahabatnya itu. Ali beragama islam dan berbangsa arab, tetapi dia juga ialah warganegara U.K kerana keluarganya sudah beberapa dekat menetap disini. Bahkan, Ali juga dilahirkan disini tetapi dibesar dan diberi didikan di Arab.

Julius mengambil beg sandang milik sahabatnya itu. Terketar-ketar tangannya membuka zip beg itu. Tompok-tompok darah kering masih jelas kelihatan pada bahagian bawah beg itu. Di dalam beg itu, terdapat sebuah buku dan sekeping surat.

Julius mengeluarkan buku tebal itu. Buku itu dibalut oleh satu lapisan plastik. Kulitnya keras. Tangan Julius masih terketar-ketar. Dadanya masih berombak-ombak. Cuma air matanya saja yang sudah pupus. Lambat-lambat dia menatap muka hadapan buku itu. "Terjemahan al-Quran dalam bahasa Inggeris".

Dia meletakkan buku itu di sebelahnya. Tangannya kemudian memegang sampul surat berwarna coklat. Terpampang pada sampul itu. "Untuk Sebastian Julius". Surat itu untuknya! Dia mengoyak sampul dengan perlahan-lahan. Saat itu, hanya Tuhan yang dapat mengambarkan bertapa sayu hatinya. Julius masih terketar-ketar. Dia mengeluarkan sepucuk surat dari dalam sampul itu.

"Buat sahabatku, Julius. Aku mohon kemaafan atas kejadian malam tadi. Namun aku mahu menegaskan bahawa aku sedikit pun tidak punya hasrat untuk mengguris hati kau. Aku sudah menganggap kau sebagai saudara aku sendiri, Julius. Aku tidak sanggup untuk terus-terusan melihat kau terkapai-kapai mencari kebenaran. Izinkan aku untuk menghadiahkan senaskah terjemahan kitab suci al-Quran kepada kau. Aku tidak memaksa kau mengikuti agama aku, tetapi aku berharap kau buka minda kau. Kaji dan renungilah satu per satu ayat-ayat al-Quran. Buatlah perbandingan dengan bible milikmu. Mudah-mudahan, kau menemui kebenaran. Salam kemaafan dari seorang sahabat yang tidak sempurna"- Ali Fathi Mohammed.

Nafas Julius tersekat-sekat sesudah membaca isi kandungan surat yang bertulis tangan itu. Dirasakan dunia ini gelap. Air matanya yang pupus sedar tadi kembali merembes keluar laju. Julius sedih. Tersangat sedih. Jika diberikan peluang, dia mahu kiranya dapat mengembalikan masa kepada insiden pagi tadi. Dia kesal. Sekiranya dia tidak melulu melintas jalan, pasti dia tidak akan kehilangan seorang sahabat yang sangat baik seperti Ali. Sahabat yang sanggup mempertaruhkan keselamatan dirinya untuk orang lain.

"Ali.... maafkan aku...", bisiknya dalam hati.

Julius berganjak ke meja di bilik empat segi yang disewa daripada Puan Morris. Dia memegang naskah al-Quran yang berat dan tebal itu. Sebelum itu, dia menyeka air mata yang masih bertakung di tubir matanya. Dikoyaknya penuh hati-hati pembalut al-Quran itu. Itulah kali pertama dia memegang al-Quran! Dan ayat-ayat pertama yang dibacanya ialah daripada surah al-Fatihah dan permulaan surah al-Baqarah.

Bagi orang yang pertama kali mengetahui isi kandungan al-Quran, Julius merasa kagum dan teruja. Tanpa sedar, sudah 2 jam dia menatap kitab itu dan dia terlelap dengan kitab itu masih lagi terbuka.

Esoknya, dia bercuti. Alasannya ialah untuk menenangkan fikiran sedangkan yang sebenarnya, dia mahu membaca al-Quran. Dirasakan seperti bayang-bayang Ali berada di sisinya, menerangkan sepatah demi sepatah maksud-maksud al-Quran. Julius merasa tenang, bahkan kagum dengan setiap isinya.

Dia merasakan islam itu agama yang indah, sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Ali suatu ketika dulu. Tapi dalam masa yang sama, dia cuba melihat sejauh mana kebenaran tentang apa yang dibaca dengan apa yang dibuktikan oleh umat islam. Jauh! Terlalu jauh berbeza!

Dahulu, dia dan Ali pernah bergurau.

"Aku mahu tahu. Ada atau tidak negara islam di dunia ini?", tanya Julius separuh serius. Wajahnya bersahaja.

"Malaysia", jawab Ali sepatah.

Julius ketawa mengekek. Namun, Ali masih tenang. Dia tidak melatah, apatah lagi terasa.

"Kenapa Malaysia? Bukan arab?", tanya Julius. Wajahnya curiga.

"Kerana Malaysia nampak lebih stabil sedangkan arab pula seperti lembu dicucuk hidung. Pemimpin-pemimpin mereka sentiasa mengikut telunjuk barat terutamanya Amerika Syarikat. Bayangkanlah... saat jiran mereka, penduduk Palestin disembelih hidup-hidup oleh Yahudi, mereka sekadar membutakan mata, memekakkan telinga. Secalit pun rasa kesihan tidak timbul", keluh Ali.

"Tapi malaysia juga tidak kurang hebatnya. Aku baca di akhbar bagaimana kerajaan mereka membunuh ulama sebuah sekolah agama di utara Malaysia, kerana dakwaan mereka, ulama itu merancang mahu menggulingkan kerajaan. Bahkan, dalam Malaysia juga kadar jenayahnya tidak jauh beza dengan di U.K. Gejala buang bayi rakyat mereka sangat kritikal. Malang betul remaja-remaja mereka. Siang dan malam buat seks, dan mengandung. Bodoh", Julius ketawa mengekek. Dia tidak kagum langsung dengan Malaysia walaupun negara itu dicanang-canang sebagai negara islam contoh. Propaganda semata!

"Islam agama yang indah. Segala keburukan yang kau nampak ini bukanlah ajaran islam. Tetapi, ia adalah kesilapan kami, umat islam dalam mengikuti ajaran-ajaran ini", jawab Ali perlahan. Dan kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Julius.

Tidak semena-mena, dia menangis. "Ali... aku rindu kau", hatinya merintih.

****
Tanggal 11 september, Julius tampil ke sebuah masjid di London. Masjid itu kecil sahaja tapi sarat dengan orang islam yang beraneka bangsa dan paras rupa. Ia suatu perasaan yang hebat bagi Julius, saat memandang mereka yang sedang khusyuk beribadah, cara islam.

Julius duduk di atas satu kerusi yang dikhaskan buatnya. Hari itu, dia benar-benar bertekad untuk memeluk agama islam. Ya, selepas hampir 3 bulan Ali meninggal dunia dan dalam tempoh itu jugalah, dia mengkaji dan membaca al-Quran. Hari itu, dia mahu 'membersihkan dirinya'.

"Tuan-tuan sekalian. Alhamdulillah, hari ini ialah satu hari yang sangat istimewa kepada kita. Kita bakal menerima seorang saudara baru. Subhanallah", lantang suara Brother Hafiz di corong pembesar suara diiringi laungan takbir daripada para hadirin.

Brother Hafiz yang juga imam di masjid ini nampak sangat manis dan ceria. Dia tersenyum lebar kepada Julius yang duduk melayan perasaan sedari tadi. Brother Hafiz mempersilakan dia untuk tampil ke hadapan dan dikenalkan kepada semua hadirin yang bilangannya mencecah seribu orang mungkin.

Julius tersenyum segan. Malu kerana dilayan sebegitu molek oleh orang-orang islam di dalam masjid itu.

"Awak pasti dengan keputusan mahu memeluk islam?", tanya Brother Hafiz kepadanya.

Julius mengangguk dengan yakin.

"Ikhlas?", tanyanya lagi dan juga dijawab dengan anggukan oleh Julius. "Saya betul-betul ikhlas mahu menjadi sebahagian daripada kalian"

Brother Hafiz tersenyum lebar. Begitu juga dengan para hadirin yang menyaksikan peristiwa bersejarah ini. "Ikut saya baca", perintah Brother Hafiz.

Dia menuturkan satu per satu lafaz syahadah dan diikuti dengan lancar oleh Julius. Setelah selesai, takbir bergema di masjid itu. Julius telah menjadi seorang muslim. Seorang demi seorang lelaki yang hampir dengannya memeluknya silih berganti. Julius gembira bukan kepalang. Allah mencampakkan ketenangan buatnya.

Tiba-tiba, dia berbisik kepada Brother Hafiz. Brother Hafiz mengangguk-angguk.

"Tuan-tuan sekalian. Saudara baru kita mahu berbicara sesuatu dengan kita. Jom kita dengar apa yang ingin disampaikan oleh saudara Julius kita ini", bicaranya lembut dan sopan sekali.

Julius mengukir senyum. Tangannya mencapai mikrofon yang dihulurkan kepadanya.

"Tuan-tuan yang dikasihi oleh Allah. Pertama sekali, saya mahu memanjatkan rasa terima kasih kepada Allah kerana memberi saya hidayah, taufik serta petunjuk kepada saya untuk saya terjun ke dalam agama yang benar ini. Sejujurnya, dahulu saya merupakan seorang kristian yang kuat berpegang dengan ajaran kristian. Tapi segala-galanya berubah setelah saya mengenali seorang lelaki yang sangat istimewa bagi saya". Julius berhenti sebentar. Dia sebak. Dadanya mula berombak.

"Saya cemburu dengan tuan-tuan semua. Kebayakan daripada tuan-tuan dilahirkan sebagai orang islam. Lahir sahaja, terus diajar dengan islam. Tapi saya tidak. Saya lahir dari keluarga kristian dan dibesarkan dengan fakta-fakta yang saling bercanggahan dalam agama itu", Julius berhenti sekali lagi. Air mata yang ditahan-tahan tadi mulai jatuh.

"Saya mendapat islam dengan cara yang sangat sukar. Pertama sekali, saya terpaksa kehilangan seorang sahabat yang terbaik pernah saya jumpa. Dia seorang lelaki seperti kalian. Berjambang, berjanggut dan berpakain mirip dengan kalian. Dia mati saat mahu menyelamatkan seorang kafir daripada dilanggar kereta. Orang kafir itu ialah saya! Sebelum dia meninggal dunia, dia sering berpesan kepada saya supaya mengkaji al-Quran dan jangan melihat kepada ummatnya..", airmata yang keluar dari matanya semakin lebat. Julius memandang hadirin di depannya. Ramai yang tunduk. Mungkin turut menangis. Brother Hafiz memegang bahu Julius. Matanya juga berair menahan perasaan.

"Jujur kata saya. Jika bukan kerana saya mengkaji al-Quran, pasti saya tidak akan memeluk agama ini. Selama saya hidup 25 tahun ini, hanya seorang sahaja orang islam yang berhati mulia saya pernah temui, iaitu Ali. Yang lain, semuanya negetif. Saya pernah ke beberapa buah negara islam, meninjau cara hidup islam dan saya kecewa. Sangat kecewa melihat cara pergaulan mereka. Umat islam di banyak tempat, semuanya menyembah artis. Hiburan-hiburan berleluasa. Seolah-olah ia sesuatu yang dituntut dalam islam. Saya benar-benar kecewa. Kerana itu, saya tidak yakin dengan kebenaran islam. Walaupun begitu, saya tetap tidak putus asa dalam membaca dan memahami isi al-Quran. Dengan sebuah kitab yang dihadiahkan oleh sahabat saya, saya mengkaji dan terus mengkaji. hinggalah kepada saat ini...", ujarnya lagi. Suara Julius tersekat-sekat.

"Jadi, sebagai saudara baru... saya berpesan kepada diri saya dan hadirin semua. Sama-samalah kita menjaga diri kita supaya kita tidak menjadi duri dalam daging bagi agama kita. Jangan kerana kelakuan kita yang buruk, orang-orang seperti saya jadi jauh dengan islam. Tidak yakin serta tidak percaya dengan islam". Kata Julius sambil menamatkan ucapannya. Dia menyerahkan mikrofon kembali kepada Brother Hafiz. Lelaki itu menangis teresak-esak, lantas memeluk Julius. Nun, Julius terpandang sosok tubung Ali yang sedang memeluk tubuh lantas tersenyum sekilas sebelum hilang daripada pandangan.

"Terima kasih Ali...", bisik Sebastian 'Ali' Julius dalam hati. "Aku rindukan kau.."


 

Perkongsian: Tanyalah

Saya teringat satu ayat daripada surah ke al-Anbiya' ayat 7 : Tanyalah ahli zikir (ahli ilmu) jika kamu tidak tahu.

Saya bukan ahli ilmu, bukan ustaz, dan bukan ulama.

Di bayyinat, kita semua berkongsi. Saya tidak mengajar, tapi saya berkongsi.

InsyaAllah, saya akan berusaha menulis perkara-perkara yang berkait rapat dengan soalan-soalan ini.

Anda tolong saya jawab boleh?
Klik untuk besarkan gambar.


Klik untuk besarkan gambar.

Saya sebenarnya perasan, kadang-kadang kita nak tahu banyak benda, tapi kita segan nak bertanya. Jadi, saya sentiasa alu-alukan anonymous untuk bertanya. Apa yang saya tahu, saya jawab. Yang tidak tahu, saya akan simpan dulu.

Sedikit berkaitan bertanya.
Di Bayyinat, saya lebih suka minum daripada banyak cawan. Maksud saya, saya lebih suka mengambil kata-kata alim ulama, berbanding kata-kata saya sendiri. Tapi dek kerana 'cawan' ini bercampur-campur, saya terkadang lupa ia milik siapa.

Saya tidak mahu jadi seperti sesetengah orang yang sombong. Tidak mahu minum dari cawan, tapi terus daripada jag. Mereka lebih suka menggunakan kefahaman mereka yang cetek, mentafsir ayat al-Quran secara sembereno dan malangnya, tersesat. Mereka tidak mahu gunakan cawan, iaitu kefahaman dan tafsiran para alim ulama.

Orang begini perasan bagus dan tidak suka mendengar. Harap saya tidak begitu.

Sepintas lalu tentang Imam Ghazali.
Saya pernah baca di satu sumber tentang sifat Imam Ghazali yang sangat berhati-hati dalam memberikan jawapan hinggakan dalam banyak keadaan, jawapannya ialah "Maaf. Aku tidak tahu"

Saya bermuhasabah. Ternyata dalam banyak keadaan, saya kadang-kadang 'perasan pandai' dan mula memberi jawapan yang di hujung-hujung, ada perkataan 'kot'.

Kesimpulan
Teruskan bertanya. Jika saya tak boleh jawab, soalan anda akan saya larikan pula kepada ahli agama yang lebih arif. Secara tak langsung, bukan setakat anda dapat jawapan, saya juga dapat dan para pembaca yang lain juga turut mendapat manfaat.

Berkenaan dengan soalan-soalan di atas, saya telah menjawab kesemua soalan ini di dalam novel yang saya sedang usahakan ini. Doakan saya agar ia dapat disempurnakan secepat mungkin.

Tapi Sebenarnya tidak

Tapi Sebenarnya tidak
Orang fikir saya gembira kerana follower saya ramai. Dapatlah saya menyampaikan pengajaran-pengajaran daripada al-Quran dan Haddis.

Orang fikir saya gembira kerana ramai pembaca saya telah insaf, berubah dan memperbaiki diri selepas membaca artikel-artikel tulisan saya.

Orang fikir saya gembira kerana dakwah saya berjaya. Pasti banyak pahalanya. 

Tapi sebenarnya saya takut.

Saya tahu di depan Allah nanti, Dia akan mempersoalkan saya semula, atas segala apa yang saya lakukan ini. 

Saya tidak tersenyum... saya menangis...

Kasih Buat Nisa'

Kasih Buat Nisa'
Abbas Syafi merengus geram. Tin minuman yang tersadai di bahu jalan disepaknya. Melayang masuk ke dalam semak. Dia geram bercampur marah. Tangan kananya mengurut-ngurut dadanya yang bidang sedang kakinya melangkah laju. Dia mahu segera tiba.

Dari kejauhan, dia ternampak kelibat sahabat karibnya, Adhlan Nafis. Dia sedang duduk di tepi padang. Di tangannya ialah senaskah al-Quran. Abbas yang masih marah menjadi sedikit sejuk memandang wajah khusyuk sahabatnya yang sedang menikmati keindahan ayat-ayat Allah.

Dia mampir, dan mengambil tempat di atas rerumput segar dan menghijau, di sebelah Adhlan. Angin petang cukup memberikan sejuta macam kenikmatan dan ketenangan. Tapi bagi Abbas, nyaman angin petang itu belum lagi cukup untuk memberi rasa nyaman dalam hatinya yang bengkak sedari tadi.

Salam dihulur. Sunnah sebuah pertemuan.

Adlan menghabiskan bacaannya dalam surah An-Nisa'. Kemudian, kepalanya dipaling memandang mata Abbas. Wajah sahabatnya itu tampak tegang, cukup untuk membuatkan Adlan rasa seakan menaggung rasa yang sama. Dia rasa terpanggil untuk menenangkan sahabatnya.

"Kenapa ni Abbas? Macam tengah marah aje? Ada orang curi selipar jepun kau ke?", tanya Adlan sambil berseloroh. Dia mengukir senyum, lebar lagi manis.

Abbas tersenyum nipis. "Taklah Lan.. aku sebenarnya tengah geram sangat-sangat ni".

"Geram kenapa?", tanya Adhlan. Riak wajahnya tenang, membayangkan sifatnya.

Abbas mengetap bibir. Marah benar pemuda itu. "Aku menyampah betul tengok perempuan-perempuan yang melaram tak tentu pasal ni!", luahnya tanpa segan.

Abbas dan Adhlan bukannya orang lain. Mereka bersahabat sejak lahir. Bersekolah kebangsaan sama-sama. Bahkan, ke sekolah agama juga mereka bersama. Persahabatan mereka bukan sesuatu yang biasa, kerana ia diwarisi daripada keakraban dua keluarga yang beragama.

Adhlan tergelak kecil mendengar luahan Abbas. Sedikit terkejut juga kerana langsung dia tidak terfikir bahawa sahabatnya itu akan melenting pasal ini. Tangan kirinya diletakkan di bahu sahabat yang dihormati itu.

"Biasalah Abbas... mereka tidak faham agama... kita berdoalah supaya satu hari nanti mereka beroleh hidayah dan taufik untuk bertudung", Adhlan memujuk dengan suara yang lembut. Seketika, pandangan mata mereka bertembung. Adhlan senyum memujuk.

"Erm.. ya.. Tapi Lan... aku bukan marah sebab diorang buka aurat. Yang itu aku kasihan, tapi aku marah dengan orang yang pakai tudung ini!", suaranya sedikit keras.

Dahi Adhlan berkerut-kerut. Dia terkejut bercampur aneh. "Maksud kau? Marah dengan orang yang sudah bertudung?"

Abbas mengangguk. "Perintah Allah kepada wanita ialah menutup aurat dengan maksud menyembunyikan kecantikan dan perhiasan. Betul?"

Adlan mengangguk. "Surah An-Nur ayat 31. kan?"

"Betul! Tapi kau tengok apa yang berlaku sekarang. Perempuan memang bertudung, tapi mereka menghiaskan tudung mereka pula! Setahu aku, di Malaysia ini, hampir semua umat islam bermazhab Syafie. Mazhab Syafie sepakat mengatakan bahawa aurat bagi wanita ialah semua kecuali hanya tapak tangan dan muka sahaja. Kaki pun aurat dan perlu pakai stokin", sambung Abbas penuh semangat. Berkobar-kobar, persis sebilangan ahli politik sedang menabur janji menjalang pilihan raya.

Adhlan mengannguk-angguk. Dia menunggu-nunggu sahabatnya menghabiskan bicaranya.

"Konsep aurat itu ternyata belum benar-benar kita fahami. Ramai anak gadis memakai tudung. Bahkan, ada yang bertudung dengan sempurna. Tudung tidak jarang dan dilabuhkan serta menutup dada. Mereka juga tidak pakai baju yang ketat dan singkat, apatah lagi short sleeve atau leggings. Bagi kebanyakan orang, mereka sudah berpakain sebagai seorang muslimah, tapi sebenarnya belum lagi", suaranya sudah semakin diperlahankan. Di hujung-hujung, ada nada kekesalan dan kesedihan. Abbas sedih!

Adhlan pula semakin teruja untuk mendengar hujah sahabatnya itu. Al-Quran yang dibacanya tadi, diletakkan dalam dakapannya. Kemas. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia seakan-akan meragui pendirian sahabatnya. Baginya, jika sudah bertudung, tidak memakai pakaian yang ketat dan menjauhi pakain yang jarang, apa lagi yang tidak kena?

Abbas melemparkan pandangannya jauh ke hujung padang. Ada sekawan lembu sedang meragut rumput. Lembu-lembu milik orang kampung, tapi dibiarkan bebas melata. Sesekali, tangannya dinaikkan ke kepalanya bagi membetulkan rambut yang melayang-layang ditiup angin permai, senja-senja begini.

"Lan... wanita itu makhluk yang cantik, kan?". Soalan yang bersifat agak provokasi diaju kepada temannya.

Adhlan tidak segera menjawab. Dia dapat mengesan ada sesuatu yang tersirat. "Ya. Sangat cantik. Bahkan, segala-gala yang ada pada wanita dari hujung rambut hingga kaki ialah satu kecantikan. Tiada tara. Aku pernah melihat dokumentari tentang wanita-wanita di negara arab. Di sana, peraturan berpakain ketat. Bahkan, sesetengah tempat mewajibkan wanita mereka berjubah labuh dan berpurdah. Apa yang ditayang dalam dokumentari itu ialah seorang wanita yang telah mencantikkan kakinya. Dia mewarnakan kuku, dan memakai kasut tumit tinggi. Dan wanita itu telah berjaya memikat seorang lelaki asing bukan islam hanya kerana itu. Lihat... betapa dengan hanya mencantikkan kaki, dia berjaya menggoda seorang lelaki", Adhlan pula bercerita. Bersungguh-sungguh.

Abbas tersenyum sinis. "See... kalau dengan kaki, lelaki boleh tergoda, ini apakah pula muka. Aku sebenarnya sudah lama memendam rasa sedih. Hendak ditegur secara terus, aku bimbang teguran aku ditolak mentah-mentah. Kawan-kawan perempuan aku di Facebook. Aku anggarkan, hampir semua meletakkan gambar mereka sebagai profile picture mereka. Mereka tidak tahu, bahawa ketika itu mereka sudah meletakkan sesuatu yang menarik perhatian lelaki. Ah! Lelaki macam aku! kadang-kadang tu... aku macam tak sedar bahawa aku sedang menatap gambar profile mereka. Lantas, aku istighfar memohon ampun kepada Allah kerana memandang hak milik orang lain. Wanita tak sedar bahawa kecantikan mereka hanya untuk tatapan suami mereka. kerana itu, mereka selamba meletakkan gambar mereka dengan senyum yang meleret sampai telinga. bahkan, sengaja dicomel-comelkan pula muka dan gayanya. Tak sedarkah, bahawa itu salah. Ia satu kecurangan kepada bakal suami mereka. Alih-alih, kita yang lelaki ini juga yang tergoda. Kalau yang beriman, alhamdulillah tidak terkesan. tapi kalau lelaki yang ada niat jahat, silap-silap mereka print gambar-gambar tu...", kata Abbas panjang lebar. Dia berhenti mengambil nafas. Dadanya berombak-ombak. Dia agak beremosi petang itu.

Adhlan yang sekadar menjadi pendengar setia duduk membatu. Dia memikir-mikir kembali kata-kata sahabatnya itu. Ada benarnya.

"Habis tu, takkan lah perempuan tak boleh letak gambar di Facebook kot?", tanyanya. Dia teringat akan adik perempuannya, Arwa Nasuha yang baru tingkatan 3. Adik perempuannya juga ada meletakkan gambar mereka sekeluarga di Facebook. Kalau ia tidak boleh, dia sebagai abang perlu tegur.

Abbas tersenyum tawar. Dia merasakan sahabatnya itu sengaja mahu mengujinya. Ah, masakan Adhlan tidak tahu kerana dia lebih arif dalam agama.

"Boleh. Setiap perkara yang bukan ibadah itu harus, kecuali ada dalil yang mengharamkan. Itu kaedah feqah. Dalil yang mengharamkan ialah menarik perhatian lelaki. Jadi, kalau nak letak gambar, silakan. Tapi pastikan gambar itu diambil beramai-ramai. Bukan si gadis bergambar seorang diri dengan senyum yang lebar sepuluh inci. Juga bukan dengan posing-posing yang sengaja di 'mautkan'. Bahkan, lebih layak jika gambarnya hanya sebesar syiling 10 sen. Ini tidak. Kebanyakan orang, gambar mukanya sahaja sudah penuh ruang. Tidak termasuk posing pipi yang detembamkan atau mata yang dikenyitkan. Ah, macam sengaja mahu menarik peluang lelaki memandang. Paling penting, niat mereka memasukkan gambar itu ialah untuk apa? Sekadar suka-suka? Atau sekadar mahu jika orang tahu rupa kita? Iyalah.. at least kalau orang tahu rupa kita, jika kita masuk hospital akan ada orang yang nak tegur kita...", suaranya sedikit mendatar. Matanya segera dialihkan kepada Adhlan yang duduk berjulur kaki ke utara. Sahabatnya itu senyum. Nampak lesung pipitnya di belah kanan.

"Ya. Aku setuju yang itu. Maknanya, dalam Facebook pun kita perlu menjaga perhubungan. Tapi aku semacam tidak setuju sedikit. Bukankah kita, para lelaki disuruh untuk merendahkan pandangan kita?", tanya Adhlan dengan wajah yang berseri-seri.

Abbas terdiam. Dia terperangkap dengan soalan itu. Otaknya ligat berfikir.

"Lan... maaf... aku tak tahu.. Erm, apa kau pula yang cerita, aku dengar..". Suara Abbas perlahan, antara dengar atau tidak. Di pucuk pokok rambutan, dua pasang burung murai menyanyi riang, saling bersahutan.

Adhlan tersenyum penuh makna. Hatinya sebenarnya kurang setuju dengan kenyataan sahabatnya yang berbaur seakan-akan menyalahkan wanita sepenuhnya.

"Dalam surah An-Nur ayat 30, Allah memerintah orang beriman merendahkan pandangan. Kalau kau perasan, perintah merendahkan pandangan itu turun sebelum daripada perintah menyuruh wanita berjilbab. Perintah wanita disuruh turut merendahkan pandangan dan melabuhkan jilbab hingga dada turun pada ayat 31, selepas itu"

"Kejap.. jilbab tu tudung ke?", Abbas menyampuk.

Adhlan ketawa kecil. Rupa-rupanya sahabatnya itu tidak tahu maksud jilbab. Tapi tadi, bukan main berapi dia bercakap. Dia mengangguk sebagai jawapan bagi persoalan Abbas Syafi.

"Maka, kalau kita nak salahkan perempuan 100 peratus, macam tak betul pula. Lelaki terlebih dahulu perlu merendahkan pandangan. tapi aku akui, kita punya nafsu dan keinginan syahwat yang berkali-kali ganda lebih berbanding mereka, para gadis. Kerana itu, kita susah nak kawal mata...", sambung Adhlan lagi.

Abbas mengiyakan kata-kata sahabatnya itu. "Ya, betul tu sahabat. Aku teringat juga kata-kata Ustaz Mujib masa kita form 4 dulu. Kita dilarang memandang wanita tanpa tujuan, walaupun wanita itu sudah menutup aurat. Waktu tu, semua orang dalam kelas kita pelik. Aku angkat tangan, aku tanya dekat ustaz..kenapa tak boleh? Kita bukannya pandang aurat mereka? Kau masih ingat jawapan Ustaz Mujib?", tanya Abbas. Wajahnya ceria bercampur teruja kerana mengenangkan zaman persekolahan dahulu. Lebih manis, dia dan Adhlan duduk bersebalahan. Maknanya, kenangan itu milik mereka bersama. Ah! Hebat sungguh ukhuwah mereka.

Adhlan senyum manis. Wajahnya juga bertukar ceria. "Iya. Masakan aku lupa... Ustaz kata, dari mata turun ke hati. Zina bermula daripada berkenal-kenalan. Berkenal-kenal pula bermula dengan pandang-memandang. Jadi, pandangan ialah permulaan".

Abbas mengagguk. "Ustaz Mujib juga bercerita tentang sahabat Rasulalalh s.a.w yang bernama Fadhl Bin Abbas ra. Masa itu, dia sedang bersama dengan Rasulallah. Tiba-tiba lalu satu kumpulan jemaah haji wanita. Fadhl bin Abbas pun mengerling tengok mereka tapi Rasulallah menolak mukanya daripada memandang-mandang jemaah muslimah itu. See... betapa pentingnya lelaki menjaga pandangan, hingga wanita yang menutup aurat dengan sempurna pun tidak boleh kita tengok dengan sengaja...", wajah Abbas muram saat menuturkan kata-kata ini. Dia tunduk memandang batu-batu kerikil halus di tanah. Dia  bermuhasabah. Yang pasti, dia seringkali melanggar perintah ini. Seringkali matanya yang dua itu meliar, memandang tanpa had.

Adhlan juga sama. Dia melepaskan nafasnya. Berat dan lambat. Dengan suara yang agak mendatar, dia menyambung ,"Erm... dalam hadis pun ada disebut bahawa pandangan mata itu salah satu daripada panah-panah syaitan. Bahkan, dalam satu hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulallah berkata... sekiranya kita mengalihkan pandangan daripada melihat kecantikan wanita, Dia akan beri kita kemanisan ibadah. Subhanallah...", Adhlan menginsafi diri.

Abbas yang galak menempelak kaum hawa tadi tertunduk kesal. Manik-manik halus bergenang-genang di tubir matanya.

"Terima kasih kawan kerana berkongsi. Terima kasih kerana saling mengingatkan...", tangannya dilarikan ke atas bahu Adhlan. Sebuah senyuman terukir indah di bibirnya. Dia bersyukur kerana memiliki sahabat sebaik Adhlan. Nikmat memiliki sahabat yang baik itu sebenarnya bukan nikmat yang kecil!

Adhlan turut senyum. Lebar. "Terima kasih juga atas segala perkongsian ini"

Beburung yang berterbangan di atas pucuk pepohon rendang itu menyanyi ceria, tumpang gembira dengan ukhuwah fillah ini.

Cerita: Tutup Pintu

Cerita: Tutup Pintu
Lama saya tak bersua muka dengan seorang sahabat ini. Dia ialah salah seorang sahabat saya yang agak rapat. Kami bersahabat sejak lahir. Ya, dia jiran saya. Tapi, sejak kami membawa haluan masing-masing, kami lebih banyak berhubung di Facebook sahaja. Dia jauh di atas lautan samdera sedang saya pula sibuk dengan kuliah saya.

Dia seorang 'orang laut'. Jika diperincikan, dia  sedang praktikal di atas kapal laut. Seorang pelatih di satu akademi laut dan tak lama, akan mula bekerja secara tetap.

Untuk kebaikan bersama, saya namakan dia sebagai J.

J lahir dalam keluarga yang teguh beragama. Ibunya mengajar mengaji sedang ayahnya juga sering ke masjid. Satu ketika saya berziarah, mereka sekeluarga sedang mendengar bicara hikmah Ustaz Kazim Elias di televisyen (melalui VCD). Satu hakikat yang tidak ternafi, J ialah seorang anak yang baik.

Selepas lebih setahun kami tidak bersua muka (sekadar di FB), akhirnya Allah temukan kami. Satu perkara yang mencuit hati dan membuatkan saya tersenyum seorang diri ialah pada satu ketika, saya ke rumahnya selepas solat magrib di masjid. Sengaja. Saya mahu mengajak dia solat isyak berjemaah di masjid. Tanpa sedikit penolakan pun, dia laju mengikut.

"Aku sebenarnya segan nak datang masjid"

Saya terkejut. Dahulu, dia sangat rajin ke masjid. Seraya saya bertanya sebabnya.

Jawap dia ringkas. "Aku malu. Takut pun ada juga. Sebab aku memang dah lama sangat tak pergi masjid"

Dahi saya berkerut. Dia seakan-akan dapat memahami persoalan yang bermain di kantung fikiran saya. Lantas dia menyambung, "Ya lah.. selama ni aku solat atas kapal aje. Solat jumaat pun tak buat".

Riak wajahnya melambangkan perasaan kesal yang menebal. Sedikit kata-kata bersifat memujuk saya cuba susun. Moga dapat menjadi motivasi buatnya.

Usai solat, kami berbual panjang. Antara yang banyak saya tanya ialah tentang pengalaman beliau. Oh, bukan calang-calang orang dapat jadi penghuni kapal laut, hanya sesekali-sekala dapat  bertemu tanah lapang.

"Susah. Banyak dugaan lah iba", wajahnya kelat. Tiba-tiba.

Saya ketawa kecil. "Dugaan macam mana?" Sangkaan saya, dugaan berupa rindu kampung halaman. Nyata itu bukan yang dia maksudkan.

"Dugaan perempuan. Dugaan arak. Ah, banyak lah"

Terdiam saya. "Er..walaupun kapal tu semua orang Malaysia, muslim?"

"Erm. Kapten tak boleh halang. Janji masa kerja, diorang kerja. Selagi kerja jalan, memang kapten pun tak boleh halang"

"Macam mana pelacur-pelacur tu masuk? Diorang bawa ke memang pelacur-pelacur tu datang sendiri?", tanya saya. Teruja untuk tahu lebih lanjut.

"Datang sendiri! Aku tiap-tiap kali macam tu, aku kunci bilik aku rapat-rapat!", suaranya sedikit ditinggikan, berbaur semnagat.

Saya lega dan syukur. Sekurang-kurangnya saya yakin bahawa sahabat saya ini tahu cara untuk menyelamatkan diri. Paling penting, dia masih teruna :)
********
Mengingati cerita ini memberi saya rasa keinsafan yang mendalam. Bukan mudah mahu katakan tidak kepada 'zina'. Kerana itu, cara terbaik ialah mengunci pintu bilik rapat-rapat. Bayangkanlah... dalam keadaan diri anda seorang diri, datang seorang wanita menawarkan khidmat seks. Saat iyu, hanya iman yang dapat berkata tidak.

Ironinya, jika berlaku zina di saat itu, tiada siapa pun yang tahu, peduli dan ambil pusing. Yang tahu cuma tuan punya badan dan Allah S.W.T. Wajarlah untuk saya katakan bahawa sahabat saya bernama J tadi memiliki ciri-ciri manusia yang dinyatakan sebagai lelaki yang bakal dinaungi di padang Mahsyar kelak; 'Lelaki yang menolak ajakan zina kerana takutkan Allah'.

Mengenangkan itu membuatkan saya insaf. Lebih-lebih lagi peristiwa ini berlaku pada kawan rapat saya sendiri....

Jika saya yang berada di situasi beliau, bagaimana?

Tutup Pintu.
Setiap maksiat yang kunjung, punya pintu masuknya. Dan pintu masuk yang terpaling besar ialah attitude kita. Kita suka untuk bermain-main di tepi gaung.

Apa maksud saya?

Dalam hadis 40- "Yang halal itu jelas. Yang haram juga jelas"

Daripada dua itu, ada yang samar-samar (makhruh/ was-was). Sesiapa yang mengelak daripada terjun ke dalam kesamaran, maka dia telahpun menjaga kesucian agamanya.

Nah! Di sinilah 'pintu masuk'. Kalau nak selamat daripada maksiat, TOLONG kunci pintu ini. Jangan berlebih-lebih dalam perkara yang harus.

Bukankah dosa yang besar, bermula daripada dosa yang kecil?

p/s- siapa tak faham, boleh request artikel susulan :)

VIDEO : Why Hijab?

VIDEO : Why Hijab?

Jangan tipu diri sendiri lagi...

p/s- short update only. Sorry :)

NFBZ : Aduhai si Peminta

NFBZ : Aduhai si Peminta
gambar hiasan
Mutaakhir ini, banyak sungguh cerita pasal tipu-menipu. Bukan setakat Tipah sahaja ditipu, orang masjid juga ditipu. Antara yang hangat ialah cerita tentang kewujudan sidiket-sindiket yang meminta sedekah di masjid-masjid atas alasan mahu membantu orang-orang yang miskin di negara mereka.

Dalam sebuah rencana yang saya pernah baca, Malaysia dilabel sebagai syurga pengemis. Rakyat Malaysia tersangat pemurah. Di mana-mana sahaja, akan ada golongan manusia yang akan meminta seringgit dua untuk mengalas perut. 

Lalu, Islam memandang isu ini bagaimana?

Jelas lagi bersuluh, amalan memberi makan kepada orang miskin ini adalah sesuatu yang sangat dituntut. Dalam banyak keadaan, ia menjadi wajib seperti tuntutan zakat. Dalam banyak hadis juga, Rasulallah melarang kita daripada menghampakan orang-orang yang meminta. 

Pendek kata, memang perbuatan ini memberi sedekah ini ialah satu amalan yang sangat-sangat mudah dilakukan. Ganjarannya pula sangat besar dan hebat. 

Panjang pula berkata, “Tak mau aku sedekah. Entah-entah dia menipu tak”

Panjang kata lagi, “Ada tangan, ada kaki, usaha la sendiri. Aku pun cari duit guna tulang empat kerat aku la!!”

Aduhai. Sedihnya. Memang tidak dinafikan, kata-kata sebegini sudah sinonim dengan kita. Lebih parah, ada yang memaki-hamun golongan dhaif ini sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran islam.

Allah melarang kita daripada memaki dan menghina golongan miskin ini.
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik- Surah Ad-Dhuha ayat 10
Saat menulis artikel ini, fikiran saya mengimbau kembali apa yang berlaku semasa saya sedang menunggu bas di hentian Pekeliling. Seorang lelaki lewat 30-an menghampiri saya yang sedang duduk dan memberi salam. Salamnya saya jawab dan senyumnya saya balas.

“Bang, boleh mintak tolong tak?”

Saya mengangguk.

“Begini, saya nak balik kampung saya. Tapi duit saya tak cukup lagi RM 2.50 lah. Saya dah mintak tolong kat driver bus, tapi dia tak sudi tolong. Jadi terpaksalah saya minta pada orang. Boleh bang?”
Raut wajahnya benar-benar sayu. Beg yang disandangnya sedari tadi diletaknya atas tanah.

Saya tersenyum. Dan tanpa banyak soal, RM 2.50 bertukar tangan. Lelaki itu gembira. Dia mengucapkan terima kasih. Kami bersalaman dan di hujung-hujung perpisahan kami, saya minta dia mendoakan saya. Dia menjawab insyaAllah. Saya rasa bahagia.

Dalam bas, sekali lagi saya terkenang akan lelaki itu. Saya bersyukur Allah datangkan dia kepada saya. Maknanya, Allah beri saya peluang untuk beramal ibadah. Tapi jauh di sudut hati saya, semacam kekesalan timbul.

Ah, bodoh betul saya. Lelaki itu meminta RM 2.50, itu bermakna bahawa dia benar-benar tidak punya wang walau 10 sen lagi. Seharusnya, saya beri lebih. Mana tahu dia boleh gunakan untuk makan, atau pun untuk dia menelefon ahli keluarganya untuk mengambil dia dia stesen bas. Mengapa tadi saya tidak terfikir? Nampaknya lelaki itu terpaksa meminta lagi kepada orang. Kesihan.

Tapi inilah Malaysia. Di sini, ada orang yang kaya, semakin kaya dengan rasuah. Ada yang miskin, semakin miskin dengan penindasan. Walaupun tidak semua jadi kaya dengan rasuah, tapi sedikit sebanyak sumber rezeki kita ini boleh diragui dan dipersoalkan.

Budaya ‘menghulur tanpa banyak soal’ ini sebenarnya sudah pernah diajar secara tidak langsung oleh abang sulung saya. Masa saya tingkatan 3 jika tak silap, saya bercuti di rumahnya di Tawau, Sabah. Satu ketika dia membawa saya ke Bandar Tawau. Ada benda yang mahu dibeli. Hanya kami berdua, dengan motosikal.

Tiba-tiba, abang saya berhenti di bahu jalan. Dia berhenti berdekatan seorang wanita tua yang sangat tidak terurus keadaannya. Sekali lihat kita akan berkata dia orang gila. Dengan baju yang buruk, muka yang comot dan rambut yang kusut-masai, perempuan itu sangat kasihan. Lebih memilukan, dia sedang menyelongkar tong sampah besar. Mungkin mencari makanan, mungkin mencari barang terpakai.

Abang saya menghulurkan beberapa not kertas berwarna merah kepada mak cik itu. Mak cik malang itu tak habis-habis mengucap terima kasih dan tangannya seperti mendoakan abang saya. Saya sekadar diam memerhati.

Lalu abang saya berkata, “Kalau kita ada duit lebih, jangan lupa orang-orang yang susah ni”. Namun, saya selalu melupakan pesanan ini hingga saat ini.

Konflik: Beri atau tidak?

Jika beri, mungkin dia menipu? Berpura-pura sebagai pengemis, tapi orang sihat.

Tapi bagaimana jika dia betul-betul tak sihat?

Beri saja lah. Mengapa mesti mahu berkira sangat? Kikir dan kedekut. Bukankah itu sifat yang ada pada Qarun. Tycoon yang memiliki harta sebesar gunung tapi sangat kedekut.

“Harta ini ialah hasil usaha aku! Kau nak, kau usaha lah sendiri!”

Betulkah ia hasil usaha kita? Astagfirullah. Ketahuilah, jika Allah tak mahu beri rezeki, satu sen pun tidak akan kita dapat. Jika Allah nak beri rezeki, satu sen pun tidak akan hilang dari simpanan kita.

TETAPI, jika memang kita sudah nampak dengan mata kepala kita yang si peminta sedekah itu menipu, maka tidak apa jika kita tak mahu memberi kerana kita dilarang membantu orang melakukan maksiat dan dosa.

Sebaliknya jika kita tak tahu dan tak nampak, maka berilah seringgit dua. Jika dia menipu, itu dosa dia dengan Allah. Bagi kita yang memberi, Allah akan balas dengan pahala yang boleh bercambah-cambah.


Ingat kata-kata ini. Jika kita terasa berat sangat untuk memberi, tanya kepada diri. Tidakkah kita malu dengan Allah sedangkan dia yang memberi kita rezeki dengan percuma?

NFBZ : Newton's 3rd Law of Motion

NFBZ : Newton's 3rd Law of Motion
Newton’s 3rd law ada mengatakan bahawa ‘For every action, there is an opposite and equal reaction’. Sebagai bakal jurutera penyelenggaraan pesawat, Newton’s Law adalah sesuatu yang mesti terpahat kemas dalam kotak memori. Benar, ini ilmu dunia. Tapi setiap ilmu datang dari Allah.

Saya masih terdengar-dengar pesan seorang abang setahun yang lepas. “Seringkali, pelajar-pelajar medik disuruh untuk mengaitkan apa yang mereka belajar dengan kekuasaan Allah tapi amat jarak pelajar-pelajar engineering di minta berbuat demikian. Sedangkan, pelajar engineering lah yang dapat merasai lebih kekuasaan Allah dengan pelajaran mereka”

Logiknya, bukankah Allah itu engineer yang paling hebat? 

Saya bukan mahu bercakap tentang kerjaya. Saya cuma mahu melihat Newton’s 3rd Law tadi dari pandang sisi agama, dan mengaitkannya dengan diri saya. Ya, diri saya yang punya sejuta kedhaifan dan aib.

Saya percaya selama ini Allah menyembunyikan aib saya, dan saya berterima kasih atas itu. Tetapi, saya rasa sangat bersalah kepada Dia. Moga-moga dengan kemunculan artikel ini, orang-orang yang senasib dengan saya boleh bermuhasabah dan mengambil pengajaran betapa Allah sangat baik- Dia menyorokkan keburukan kita.

Saya tak sangka bahawa saya pernah melafazkan kata-kata ini kepada seorang sahabat rapat saya:
“Aku tak suka ko membanding-bandingkan aku dengan dia. Dia cuma baik dari satu sudut. Dalam sudut yang lain, dia bukannya baik pun”.

 Waktu itu saya sendiri hairan. Mana datangnya ‘kekuatan’ untuk saya berkata sebegitu? Jauh dari pangkal hati, saya akui ia datang dari sifat ego yang lama bertakhta serta dibantu oleh aroma kesyaitanan yang laju mengalir mengikut aliran darah.

Saya sombong. Mungkin itu lebih tepat.

Kesal dengan kata-kata tadi. Lebih-lebih lagi, melihat reaksi muka sahabat itu berubah. Saya rasa saya ini sangat sombong.

“For every action, there must be equal and opposite reaction”

Inilah cabaran saya dan sesetengah daripada kita. Kita berdarah panas, berjiwa muda. Kita lelaki, punya ego setinggi menara KLCC. Kita lelaki, punya amarah sehangat bahang sahara. Kita lelaki, punya keangkuhan seperti singa. Tapi kita juga lelaki yang asalnya dulu tidak ada. Allah ada kan kita, dan kita…
Kita hanya hamba. Tak layak untuk kita miliki kesombongan walau sebesar biji sawi.

Air mata bergenang di tubir mata. Keluar malu, mengalir segan. 

Benarlah kata orang:
Semakin banyak kita memberi nasihat, semakin sedikit kita mendengar nasihat orang.
Semakin banyak kita tahu kesalahan orang, semakin sedikit kita nampak kebaikan orang.

Dan saya rasakan bahawa ia benar-benar berlaku pada diri saya. Semakin banyak saya memberi nasihat, saya merasa semakin susah saya menerima nasihat orang.

Saya seolah-olah hanya menerima nasihat daripada orang yang jauh lebih alim. Seolah-olah hanya ustaz-ustaz saja yang boleh beri saya nasihat. Sedangkan saya selalu bermain dengan kata-kata : “Kita selalu sibuk dengan saiz jarum, sedangkan yang lebih patut kita sibuk ialah tentang apa kandungan yang akan disuntik kepada kita”

Bukankah sepatutnya setiap orang melihat kepada apa yang ditegur, bukan melihat kepada orang yang menegur?

Saya insaf. Rupa-rupanya saya juga begitu. Mohon bantuan, mohon doa kalian. Moga Allah bantu saya robohkan tembok angkuh dan takbur ini.

Saya selalu mendengar cerita tentang ulama zaman dahulu kala. Pada tengah malam, mereka akan buang najis dalam tandas angkut (zaman dulu guna tandas angkut). Tiada sesiapa tahu sampailah mereka wafat. 

Seorang ustaz juga menasihatkan supaya lelaki mengemas rumah, basuh baju sendiri, jahit baju sendiri, masak sendiri, bla..bla..bla… Antara sebabnya, ia sunnah Rasul. Dan antara lain, ia mampu melenturkan rasa hebat diri. Dan nyata, saya jarang buat semua itu. Kesannya sudah mula menapak jelas.

Astagfirullah.

Orang juga kata, semakin kita kenal keburukan manusia, maka kita akan jadi makin tak kenal kebaikan orang itu. 

Ada betulnya. Bukankah seharusnya begini-
“Jika orang lain ada 100 keburukan dan hanya 1 kebaikan, kita perlu memandang kepada yang 1 itu”

“Jika diri kita memiliki 100 kebaikan dan hanya 1 keburukan, pandanglah pada yang 1 itu”

Lihat kebaikan orang dan lupa kebaikan kita. Itu yang dituntut dalam islam. Dan bagi orang beragama, itu sukar. 

Ini benar-benar ujian buat orang beragama. Ujian keikhlasan. Ada orang, pangkat di sisi manusia besar, tapi cuma bercakap tentang ‘niat puasa, niat semabahyang, cara pakai ihram bla..bla..bla..’ Ada pula manusia yang tak popular, tapi lantang dia berkata ‘menutup aurat tu wajib, menganjurkan hiburan yang melaikan itu haram, dan lain-lain’.

Dan golongan kedua inilah dimaksudkan oleh Habib An-Najar dalam surah Yassin sebagai “mereka yang tidak mengharapkan apa-apa imbuhan daripada kamu”. Saya mahu jadi golongan ini!

Terbabas jauh nampaknya perbincangan kita. Secara tuntas, saya mahu menjadikan ini sebagai satu motivasi kepada ‘ahli agama’ kerana hakikat dosa itu lebih banyak dilakukan oleh orang agama berbanding orang awam. Dosa yang lahir daripada hati dengan sembunyi-sembunyi.

Ah! Aib sungguh rasanya. Mungkin beginilah perasaan pabila mulia di sisi manusia, tapi hina disisi Tuhan.
Mujurlah juga Allah beri kita peluang memperbaiki hati. Kerana pandangan Allah terarah pada hati, maka perlu kita memperbaiki hati.

Hati mencorak ikhlas, dan hati ini jugalah yang menconteng riak, ujub dan takbur. Semuanya Allah benci kecuali ikhlas. Kerana ini penyakit orang beragama, maka saya mahu kita melihat hati kita masing-masing. Saya yang menulis inilah yang paling teruk dirobek oleh penyakit ini. Saya menangis derita tanpa air mata. 

Astaghfirullah.. astaghfirullah.. astaghfirullah..

Mari bersihkan hati.


Perkongsian : Berminat Menjadi Guru?

Perkongsian : Berminat Menjadi Guru?
“Iqbal, ko tak nak jadi murabbi (pendidik)?”,tanya seorang sahabat masa kami sedang makan.

Saya memandang bebola matanya lalu saya memberikan jawapan saya. Dia mengangguk-angguk. Dia menyambung, “Aku rasa aku ni takde tanda-tanda pun akan jadi murabbi. Memang tak layak kot”. Ada getar di akhir suaranya. Saya gagal mentafsir.

Perbualan itu mengimbau kembali perbualan saya dengan bapa saya masa saya sedang berkira-kira mahu melanjutkan pelajaran selepas SPM. Tahun 2008.

“Kalau boleh, ayah nak kamu jadi cikgu”. Saya tak membalas. Dan ayah juga tak perlukan jawapan balas.

Seketika, ada yang mengusik. “Kahwinlah dengan cikgu. Mereka ada banyak cuti. Ada banyak masa untuk didik anak-anak”. Satu guraun yang masuk akal.

Dan akhirnya, hari ini Iqbal Syarie bukan seorang guru. Juga bukan seorang murabbi (pendidik).

Minat?

Orang kata, kalau nak kerja perlu ada minat. Saya mencongak. Minat saya apa? Macam-macam. Tiada yang spesifik. Kalau nak dikaitkan dengan bakal karier dan kerjaya saya, saya sendiri bukannya minat sangat dengan kapal terbang. Mungkinkah saya akan bermasalah kelak? Harap-harap tidaklah. Bukankah minat itu boleh dipupuk?

Mengajar juga perlu minat. Dulu, saya tak minat untuk mengajar. Tapi itu dulu. Masa saya tak faham agama. Kini, lain pula isi hati saya.

Saya belajar sesuatu hakikat. Rupa-rupanya, seseorang bukanlah semestinya menuntut di maktab atau di university baru boleh mendidik.

Ibu dan ayah saya bukan lepasan university. Mereka belajar tak tinggi, tapi mereka ialah guru terbaik saya.

Guru Dan Murabbi.

Kerjaya sebagai guru ialah kerja yang sangat menguntungkan. Mungkin di dunia, ia fakta yang diragui, tapi di sisi agama, kerjaya ini mendatangkan pulangan yang sangat lumayan.

Tiga amal yang akan berterusan ke dalam kubur. Salah satu ialah ilmu yang bermanfaat. Bayangkan, jika seorang guru berpenat lelah menanam mutiara ilmu dalam dada anak didik mereka. Dan kelak, ilmu itu diguna pakai untuk sesuatu yang membantu ummat, maka sahamnya dapat jua kepada guru itu hatta dia sedang dalam kubur.

Jika saat itu dia disiksa, mudah-mudahan berkat ilmu yang bermanfaat, Allah angkat azab itu. Siapa sangka?

Saya Juga Mahu.

Sebenarnya, konsep “guru” ini tidak boleh kita sentengkan dengan salah faham masyarakat kita. Kita meletakkan tanggungjawab mengajar 100 peratus di pundak guru. Ya, itu kerja mereka. Tapi kita juga tidak terkecuali.

“Sampaikan dariku walau satu ayat”- riwayat Bukhari.

Di sana, wujud falsafah ‘pendidik’. Kita dituntut untuk memberi tahu sesuatu yang kita tahu. Kita tahu sahaja! Dan ia kembali kepada kita, setakat mana kita mahu ‘menyampaikan’.

Saya membelek kitab shahih Bukhari. Allah temukan saya dengan satu hadis yang cantik. Diceritakan bahawa Abu Hurairah merupakan insan yang paling banyak meriwayatkan hadis. Sedang orang lain sibuk dengan bisnes dan pertanian, beliau sibuk menuntut ilmu. Menurut Abu Hurairah lagi, dua ayat dalam al-Quran ini menyebabkan dia tekun dan bersungguh-sungguh meriwayatkan hadis. Ayat dari surah al-Baqarah ayat 159 dan 160.

“Sungguh, orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan dan petunjuk, setelah Kami jelaskan kepada manusia dalam kitab (al-Quran), mereka itulah yang dilaknat Allah, dan dilaknat pula orang mereka yang melaknat”.

Jelas bukan bahawa ilmu itu amanah yang perlu disampaikan dan diheboh-hebohkan. Kerana itu, saya sama sekali tidak mengharamkan copy-paste pada artikel-artikel saya jika ia atas tujuan yang tulus. Bukankah Allah Maha Membaca isi hati?

“Saya tak berilmu, bagaimana mungkin saya boleh berdakwah?”

Ada orang merasa rendah diri untuk berdakwah. Rendah diri yang silap konsepnya. Bukankah hadis itu jelas? Dakwah lah atas apa-apa yang kita tahu. Tidak tunggu jadi ulama baru nak dakwah. Kalau macam tu, sampai bila pun kita berhutang dengan Allah.

Hadis dari Abu Hurairah ini saya sebut lagi sekali. Hadis yang sangat molek, berkenaan dengan ‘mengajar’. Jika kita ajak dan ajar orang buat baik, kita akan dapat pahala pada setiap amal yang kita ajar. Jika kita ajak dan ajar dia buat jahat, kita juga dapat dosa yang sama tiap kali dia buat walaupun kita tak buat.

Maka, platform sebagai blogger dan penulis ini sangat membantu kita mencapai salah satu daripada dua manusia ini. Saya tak berhajat menghurai panjang persoalan guru kerana saya akan kupas lebih lanjut pada hari guru nanti. (insyaAllah, kalau panjang umur)

Apapun, satu sahaja yang bermain di fikiran saya saat ini...

Saya mahu didik diri saya dan nafsu amarah saya. Selagi belum ada tanda-tanda kejayaan, saya tidak akan cuba-cuba ‘mendidik anak dara orang’. (faham kan?)

Jadi buat yang suka bertanya soalan berbaur seperti itu, ketahuilah bahawa saatnya masih lambat lagi :)